Wednesday, November 18, 2009

PANDANGAN

Assalamualaikum wbt.

Ini adalah pandangan peribadi saya, bukan mewakili institusi saya. Pandangan ini telah lama saya tulis namun hari ini baru dapat di paparkan, sebagai penjawat awam saya perlu berhati-hati dalam memberi pandangan supaya tidak mempersoalkan dasar dan jika pandangan ini di paparkan awal sekalipun, mungkin dalam longkang juga tempatnya, dan saya sendiri tak perlu mencampur tangan urusan dasar kerana saya hanyalah penjawat awam diperingkat pelaksana, bukan peringkat penggubal.

Sudah menjadi kebiasaan apabila sesuatu perubahan hendak dilakukan terutama perubahan yang drastik, maka akan keluarlah komen-komen dari berbagai pihak. Selalunya mereka akan membincangkan yang kontra. Dalam artikel ini saya akan memberi pandangan terhadap tiga perkara iaitu;

Pertama : Benarkan Sekolah dinaik taraf menjadi Kolej Matrikulasi.

Mungkin ini satu sejarah bagi seorang guru. Sekolah tempat berkhidmat ‘dinaik taraf’. Saya tidak membaca ‘dinaik taraf’ sebaliknya saya membaca sekolah ditutup. Saya berpendapat sedemikian adalah kerana jika sekolah dinaik taraf, pelajar tingkatan 4 dan 5 akan terus berada di sekolah berkenaan, disamping itu kursus baru di tambah, iaitu kursus Matrikulasi Teknikal dijalankan bersama-sama tingkatan 4 dan 5 diinsitusi yang dinaikkan taraf tadi. Perkara yang dilaksanakan ialah pelajar tingkatan 4 dan 5 diberhentikan pengambilan.

Sebagai seorang guru, saya tidak akan menyekat proses pembangunan fizikal dan pembangunan mental/ rohani seseorang individu. ‘Naik taraf’ tersebut amat baik kerana ia memberi laluan kepada pelajar aliran teknikal di sekolah Menengah Teknik meneruskan kesinambungan pengajian dalam bidang teknikal sebelum menyambung diperingkat Ijazah di Universiti. Sebelum ini saya percaya ada sekolah yang dinaik taraf kepada Maktab Perguruan atau lain-lain.

‘Naik taraf’ secara drastik tersebut dari satu sudut amat baik, kerana dalam masa yang singkat Matrikulasi Aliran Teknikal dapat diwujudkan, namun kos melepasnya ialah tiga buah Sekolah Menengah Teknik terpaksa dikorbankan.

Saya berpendapat Sekolah Menengah Teknik tidak perlu dikorbankan, sebaliknya amalan menumpang dan bergerak bersama-sama lebih praktikal dalam hal begini. Biarkan Matrikulasi Teknikal dilaksanakan di SMT sementara peruntukan tertentu disediakan untuk mewujudkan sebuah kampus yang lebih terkini dan futuristik. Menjadikan sebuah sekolah yang seakan-akan sebuah kolej tidak memadai, rekabentuk sekolah tetap sebuah sekolah, walaupun diubahsuai.

Matrikulasi Aliran Teknikal boleh dilaksanakan sebagaimana MARA melaksanakan Kursus Matrikulasi di Kolej MARA, mereka menguruskan perjawatan dan menguruskan kemasukan pelajar.


Perkara kedua : Keistimewaan dalam pengambilan pelajar

‘Naik Taraf’ tidak memberi sebarang keistimewaan kepada lepasan SMT, kerana kemasukan kekursus aliran teknikal terbuka untuk pelajar lepasan SPM yang lain, saya bangga jika ramai yang dapat masuk ke matrikulasi aliran teknikal, kerana saya yakin yang masuk adalah dikalangan pelajar bumiputera yang perlu disokong pengembaraan akademik mereka, namun dalam dunia yang penuh dengan persaingan, saya bimbang lepasan SMT yang rata-ratanya berkelulusan sederhana sahaja akan terpinggir, kekosongan di Matrikulasi Aliran Teknikal diisi oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sains ataupun mana-mana pelajar cemerlang bukan dari SMT. Peranan dari pegawai-pegawai lepasan ‘Teknik’ di Bahagian Matrikulasi amat diperlukan dalam memastikan pelajar SPM lepasan SMT diisi dalam Matrikulasi Teknikal. Peranan mereka sebagai “the hidden hands” yang mengatur agar lebih ramai pelajar SMT dapat memasuki Matrikulasi aliran teknikal.

Pada pandangan saya Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional juga perlu memainkan peranan dalam memastikan lepasan SMT mendapat lebih banyak peluang ke Matrikulasi Aliran teknikal.

Perkara ketiga : ‘Naik Taraf’ menyebabkan ramai guru ditukarkan.

Para guru terpaksa berkorban memohon pertukaran (ditukarkan) walaupun ada dikalangan mereka yang bercita-cita menjadikan sekolah ini sebagai sekolah terakhir mereka, ada yang membina rumah dikawasan berdekatan , ada yang membeli rumah dikawasan tersebut. Faktor ini mungkin tidak diambil kira oleh pegawai-pegawai atasan, kerana mereka boleh berpegang kepada aku janji dan lain-lain pekeliling yang mengatakan seseorang penjawat awam sentiasa boleh diarahkan bertugas dimana-mana.

Namun ‘naik taraf’ ini telah menguris keselesaan mereka. Bagi yang berkelayakan mereka boleh memohon jawatan pensyarah, namun adakah semua layak walaupun mereka memiliki ijazah masing-masing dengan pengkhususan tertentu.

Pihak BPTV boleh memujuk guru-guru dengan memberi sekolah pilihan pertama mereka sebagai hadiah naik taraf tersebut, namun hadiah tersebut tetap tidak sama nilainya dengan usaha membangunkan sekolah oleh guru-guru terutamanya guru-guru yang melapor diri di SMT mulai tahun 2004. Guru-guru yang bertukar kesekolah baru terpaksa berkelakuan sebagai orang baru, malah mungkin terpaksa memperkenalkan diri sepertimana ‘freshie’ memperkenalkan diri.

Guru-guru kanan yang membina kerjaya diintitusi sekolah kehilangan kekananan apabila menyertai Kolej Matrikulasi, mereka akan menjadi pensyarah sama seperti guru-guru yang mereka arah suatu ketika dulu. Ataupun jika mereka tidak menyertai Kolej Matrikulasi adakah mereka akan mengisi jawatan yang mereka sandang sebelum ini.

Dalam artikel ini saya hanya membincangkan tiga perkara , apa yang saya tulis hanyalah pandangan sahaja, kesimpulan yang dapat saya katakan ialah ketiga-tiga perkara tersebut bukanlah isu besar, semuanya dapat diselesaikan secara bijaksana oleh pegawai di Bahagian yang berpengalaman,setakatmana kebijaksanaan pegawai dijabatan, dibahagian yang sering dipertikaikan oleh guru. sebagai guru saya sentiasa mahukan kejayaan kepada pelajar, tidak tertakluk kepada pelajar saya sahaja, pengorbanan adalah lumrah dalam kehidupan, jika kita berfikir secara positif kemana sahaja kita ditukarkan semuanya akan memberi kebaikan kepada kita. Insya Allah.

No comments: