Assalamualaikum wbt
Saya mengambil kesempatan ini untuk menulis pengalaman saya mengerjakan ibadat haji pada tahun 1429H bersamaan tahun 2008M, iaitu bermula perjalanan 20 November 2008 dan selamat sampai di tanah air pada 5 Januari 2009. Semoga pengalaman yang saya coretkan ini dapat dikongsi bersama sebagai iktibar dan pengajaran, yang baik silalah ambil, yang buruk harap tuan/puan jadikan sempadan dan tidak lakukan sedemikan.
Sesekali rasa takut juga untuk menulis pengalaman ini, kerana bimbang ‘Haji tak mabrur cerita saja lebih’ atau kemabruran haji di ‘tarikh balik’. Namun setelah berfikir panjang saya mengambil keputusan berkongsi pengalaman, dan semoga Allah memabrurkan haji dan umrah saya serta isteri juga jemaah yang menunaikan haji tahun 1429 H.
Namun jika tak mabrur, makbul pun Alhamdulillah.
Ayat-ayat dan bahasa yang saya gunakan dalam tulisan ini tidak menentu, saya tidak memberi penekanan untuk membetulkan tulisan saya atau mengolah ayat supaya lebih gramatis, puitis atau sebagainya, juga saya tidak mengedit ejaan serta imbuhan.
Terlebih dahulu saya memohon maaf jika dalam pengalaman ini mungkin akan terjumpa episod saya membangga diri, atau saya merendahkan diri orang lain atau Nampak macam saya sahaja yang betul, orang lain salah, semua itu berlaku adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Yang baik datang dari Allah dan yang buruk adalah kelemahan saya sendiri. Harap maaf.
Seawal cerita.
Saya mengambil borang untuk mendaftar haji di Pejabat Tabung Haji Kuala Nerang, membuat pemeriksaan jenis darah di klinik berkat Kuala Nerang dan mendaftar untuk mengerjakan haji pada tahun 2001 di Pejabat Tabung Haji Pendang. Kuala Nerang ialah tempat asal isteri saya, manakala Pendang adalah tempat saya (kampung berdekatan). Simpanan dalam tabung haji telah lama dibuat, kerana sudah menjadi ‘adat’ orang Islam mesti kena pergi haji (bagi yang mampu), takkan tak mampu pula !, mesti kena usaha bagi mampu !, Islam mahu umatnya mempunyai harta dan kekayaan, kerana dengan kekayaan banyak ibadat dapat dilaksanakan, kaya tapi jangan bakhil. Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima, dan kemiskinan akan membawa kepada kekufuran. Abdul Rahman bin Auf adalah antara contoh sahabat yang kaya pada zaman nya, kekayaan beliau digunakan untuk perkembagan Islam. Bayangkan kalau semua orang Islam kaya , sudah tentu ekonomi dunia di kuasai oleh Islam, Syiar Islam dapat dilaksanakan ( satu ibadat), jual beli menurut sistem Islam (ibadat), Perbankan ikut Islam (ibadat), Kontrak ikut Islam ( ibadat), Kalau nak tulis hadis dan ayat Quran dalam coretan ini , susah sikit sebab saya tidak mahir dan saya sendiri bukan seorang ustaz, sekadar membaca kitab-kitab tulisan rumi sahaja.
Apabila ekonomi dunia dikuasai oleh orang Islam, maka secara automatik politik dunia akan dikuasai oleh Islam, seterusnya Islam tak akan diperkotak katikkan oleh orang bukan Islam.
Marilah kita sedar, suatu hari nanti jika kita terus lemah. apabila hendak ke Mekkah, kita perlu memohon visa dari Amerika atau Israel. Semasa perang di Iraq dan Afganistan, perkara seperti ini telah terjadi !. Malah semasa negara kita dijajah Inggeris dahulu, bagaimana peraturan yang dikenakan kepada rakyat Malaysia ?. (jika ada yang dapat ceritakan boleh beri komen dalam blog ini).
Saya hanya mendengar cerita kesusahan hendak ke Mekkah oleh nenek saya saja, susah dalam perjalanan, bukan susah dalam sekatan yang kita tidak nampak oleh penjajah.
Dahulu kena tunggu kapal di Pulau Pinang, tunggu sebulan atau lebih, bila kapal tiba baru boleh belayar, waktu menunggupun dah kena sediakan bekal yang banyak, Jalan Burmah Pulau Pinang cukup sesak pada musim orang nak pergi haji, orang menghantar yang lebih ramai dari yang nak pergi.
Kemudian zaman kapal terbang, musim haji ramai orang ke lapangan terbang hantar saudara nak ke Mekah, lepas hantar boleh pergi berkelah, waktu itu dapat berkelah di Pulau Pinang cukup hebat, Batu Feringgi, Taman Bunga, akuarium dan lain-lain tempat yang menarik. Wassalam