Thursday, November 26, 2009

LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 6

Assalamualaikum wbt.

Cikgu Mansor dah dapat surat. Setelah masuk bulan 3 ada dikalangan bakal jemaah telah menerima undangan yang mengatakan nama tersenarai untuk rombongan haji tahun ini atau nama dalam senarai menunggu. Cikgu Mansor kian giat mengikuti kuliah haji. Selain di Masjid Teroi, beliau pergi juga di Yan. Saya dan isteri hanya menghadiri kuliah di Masjid Teroi sahaja, sebab hari Jumaat petang sahaja yang saya kelapangan. Saya pergi bertanya di Pejabat Tabung Haji status rayuan saya. Tiada sebarang perkembangan.

Saya berdoa agar saya dapat diterima sebagai tetamu Allah pada tahun ini, atas sebab-sebab yang telah saya katakan dahulu. Selang tak berapa lama, mereka dipanggil untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Mungkin mereka ada peluang tahun ini, Saya belum menerima apa –apa berita. Akhirnya saya menerima surat yang dihantar oleh Syarikat pengendali haji yang menawarkan perkhidmatan mereka, saya tidak memberi sebarang respon terhadap surat tersebut kerana dalam hati saya berkata, kalaupun saya diundang saya akan memilih untuk pergi secara muasasah. Bukan masalah kewangan, tapi saya yakin tentu lebih meriah pergi bersama orang yang bersusah payah mengumpul wang berbanding dengan pergi bersama-sama dengan mereka yang senang mengumpul wang. Mungkin saya bertemu orang-orang ‘alim kampung’ dalam muasasah , yang dapat memberi faedah kepada saya. Sesekali terfikir juga , mungkin nama dah ada dalam senarai, kalau tidak masakan ada tawaran sedemikian yang datang dari orang yang berniaga !. Cikgu Lutfi pun dah dapat surat. Pada bulan April sepucuk surat tawaran telah saya terima dan meminta saya menjawab samada menerima atau menolak tawaran menunaikan haji tahun ini.

Pada 22 April 2008 Saya tanpa membuang masa telah pergi ke Tabung Haji Pendang untuk menyerahkan surat terima tawaran tersebut. Walau bagaimanapun tawaran tersebut hanyalah untuk senarai menunggu. Masih ada harapan untuk ke Tanah Suci tahun ini. Pada 5 Mei 2008 saya dan isteri diarah membuat passport haji di TH Pendang. Tahun sebelumnya, buat passport pun belum tentu dapat pergi. Saya dan isteri telah diminta untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di Klinik Daerah Pendang. Pada hari tersebut iaiatu 17 Julai 2008, selepas waktu sekolah 2.30 petang saya tergesa-gesa ke klinik kesihatan Pendang untuk tujuan pemeriksaan kesihatan dan suntikan. Oleh kerana tergesa-gesa dan diambil bacaan tekanan darah, maka bacaan tersebut agak tinggi dari biasa. Saya sebenarnya ada mengalami tekanan darah tinggi sejak berumur 25 tahun dan mula makan ubat semasa berumur 32 tahun, kerana waktu itu saya selalu membawa pelajar keluar bersukan dan lain-lain aktiviti, oleh kerana takut jatuh di tengah padang maka saya mula mengambil ubat darah tinggi. Ujian kesihatan pada hari tersebut tidak lulus, diminta datang sekali lagi pada hari lain. Pada kali kedua iaitu 24 Julai 2008 saya datang sekali lagi, saya berehat hampir satu jam di klinik sebelum diambil bacaan tekanan darah dan didapati bacaan tekanan darah adalah normal. Saya telah diberi suntikan yang dimestikan kepada semua jemaah yang akan ketanah suci, satu suntikan itu sahaja. Pegawai Tabung Haji ada mencadangkan untuk suntikan tambahan yang perlu dibayar sendiri oleh jemaah. Saya dan isteri tidak menyuntiknya. Saya hanya kata saya sudah suntik ubat tawakkal, cukuplah dengan satu suntikan sahaja.

Pemeriksaan kesihatan ini perlu untuk memastikan bakal jemaah mempunyai ubat sendiri semasa berada ditanah suci, jemaah dapat mengenalpasti sakit masing-masing dan TH dapat menganggarkan keperluan ubat yang akan dibawa ketanah suci. Ada dikalangan jemaah yang tidak tahu yang mereka telah sekian lama menghidap darah tinggi dan kencing manis, bila terpaksa periksa untuk ketanah suci barulah ‘sedar’ mereka menghidap penyakit merbahaya. Wassalam

No comments:

Post a Comment