Tuesday, November 24, 2009

LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 4


Kursus Haji

Tahun 2006,

Bila balik kampong keraplah ibu bapa saya bertanya pasal pergi haji, mereka sering juga megajar isteri saya cara mengerjakan haji dan menceritakan pengalaman haji mereka. Maka tergeraklah hati saya untuk pergi berkursus haji. Dalam congakan saya adalah lebih baik pergi berkursus terlebih dahulu walaupun tarikh lambat lagi , 5 tahun lagi, Saya pura-pura mengajak isteri saya membuat rayuan untuk pergi lebih awal dari tarikh yang diberikan, dia kata belum bersedia, nak belajar Quran dulu dan sebagainya. Maka saya beri kebenaran kepada isteri saya pergi belajar Quran dengan ustaz Ghani. Pegawai agama di Pejabat Agama Daerah Yan, suami kepada kawannya yang tinggal tak jauh dari rumah kami untuk belajar membetulkan sebutan dan tajuid. Saya tak pergi belajar Quran ke ?, Sebenarnya memang saya ada keinginan untuk belajar Quran dengan lebih mendalam, tapi belum berkesempatan, dulu belajar Quran dengan nenek sendiri , banyak ponteng dari belajar, pergi juga belajar di Masjid oleh ustaz bertauliah sebelah petang, tapi ustaz kata kepada saya, sekali anak Khatib mai, dah ada misai, mai pula lagi sekali dah ada janggut. ‘Khatib adalah panggilan ayah saya, yang selalu baca khutbah di masjid, hari Jumaat dan juga hari raya, tapi ayah saya bukan imam, bukan bilal, bukan siak, hanyalah anak kariah yang ada ilmu agama sikit , ada sijil sekolah arab.

Saya sempat juga pergi belajar lagu, konon-konon nak tahu macam-macam lagu seperti dalam program akedemi Quran di TV9, namun pakatan kami disurau kampung itu tak menjadi.

Isteri saya pergi belajar sebelah malam, siang sekolah, waktu petang saya kena ajar dia dulu, sebab takut ustaz marah kalau tak boleh. Waktu ni baru tunjuk skill. Tarik lagu bukan main, nak mengajar tak boleh, tunjuk contoh boleh lah sikit, (tapi saya tetap berazam akan pergi berguru tajuid)

Tahun itu isteri saya sedang mengandung anak ke 6 kami, dan saya harap sangat anak kali ini akan pandai Quran kerana telah belajar sejak dalam kandungan.


Tahun 2007

Kebetulan saya terpandang iklan kursus haji anjuran Masjid Teroi sewaktu memandu makan angin petang-petang. Lebih kurang 12 km dari rumah kami Dari jalan Jenun straight ke Jalan Yan. Kursus tersebut telah bermula. Saya mula menghadiri kursus Haji pada 9/2/07. Pada mulanya saya membawa anak kecil kami yang baru lahir, Kursus selepas waktu Asar. Kursus di berikan oleh Ustaz Razak, bekas Pengurus Tabung Haji Guar Chempedak, sekarang bertugas dengan TH Travel.

Saya ingat saya seorang saja orang luar kariah yang datang, rupa-rupanya kawan saya, Cikgu Mansor dan isteri juga datang, Cikgu Fairuzah dan suami (ustaz yang mengajar Quran kepada isteri saya) juga datang, cadang nak datang senyap-senyap , tak mahu beritahu siapa, rupa-rupanya kawan saya pun sama, nak datang senyap-senyap, tak mau bagi tau kepada orang, sembunyi le konon!.

Dah terbongkar rahsia bahawa kami ada keinginan untuk pergi Haji. Tapi saya terangkan bahawa kami hanya baru berkursus, dijangka tahun 2011 baru kena giliran ke tanah suci.

Setiap kali datang kuliah, saya yang jaga anak dahulu (Amin), sementara isteri sembahyang berjemaah, sebaik dia selesai sembahyang, saya berikan anak kepadanya dan dia akan riba sampai habis kuliah. Kadang anak saya menangis, harap tak ganggu kuliah sangat. Kak Yah , Isteri cikgu Mansor adalah pengasuh kepada anak saya Amin, Amri, dan Adibah.

Pada mulanya saya nak berkursus secara sambil lewa sahaja kerana tahun ke Tanah Suci lambat lagi, tapi bila dah dengar kuliah, rasa tak boleh main-main, mesti kena beri perhatian penuh. Sepanjang tahun 2007 tak pernah ponteng kuliah, kuliah diadakan pada hari Jumaat pukul 5 petang hingga 6.30 petang. Saya akan catat semua ilmu yang diberikan. Masa pun berlalu. Anak kecil dah mula buat bising, sesekali menjerit dan menangis, umurnya semakin meningkat.




Tahun 2008

Tahun ini saya rasa semakin bersemangat untuk meneruskan kuliah , kuliah bersambung semula, masih pada hari Jumaat, 5.00 ptg, waktu yang paling sesuai untuk saya, dan tiada alasan untuk tidak datang berkursus, kecuali malas. Keseronokan berkursus tahun lepas membuatkan saya rasa seperti mahu pergi mengerjakan haji tahun ini juga, pada bulan Januari 2008 saya menulis surat memohon rayuan untuk mengerjakan haji tahun 2008. Saya datang bertanya di Pejabat TH Guar Chempedak, seorang pegawai kaunternya beritahu supaya saya penuhkan akaun sebanyak lebih kurang 9,000 dan tulis surat rayuan dan serahkan kepada Tabung Haji. Keesokan hari saya penuhkan akaun saya dan isteri , seminggu kemudian saya bawa surat bertemu dengan seorang lagi pegawai kaunter yang urus urusan haji. Beliau berkata, rayuan belum dibuka, saya kata balas minggu lepas Abang tu kata suruh hantar surat rayuan disini. “Tak begitu abang” kata saya sambil menoleh pegawai kaunter tersebut. Tak apalah kalau tak mahu terima lagi, saya bawa balik surat ini. Dalam hati merungut juga pasal , lain arahan dari pejabat yang sama, biasalah….

Balik rumah saya berbincang dengan isteri, saya kata tahun ini kita mesti buat rayuan, lalu saya mengambil keputusan untuk pos surat rayuan terus ke Ibu Pejabat TH di Kuala Lumpur. Selang beberapa hari dalam bulan Februari, saya ke TH Pendang, membawa salinan surat yang sama bertemu pegawai yang menguruskan Haji, saya beritahu yang saya hendak buat rayuan, beliau kata, tulis surat, saya kata siap dah, terus saya keluarkan surat tersebut dan berikan kepada beliau, beliau membuat semakan di komputer dan melihat nama saya yang sudah lama didaftarkan sejak tahun 2001. Saya juga beritahu yang saya telah menghantar surat kepada Ibu pejabat TH. Tapi saya tak komen kepadanya tentang pegawai di Guar Chempedak. Syukurlah atas layanan yang diberikan. Komen saya, kalau betulpun rayuan belum dibuka, terimalah surat saya, simpan dalam fail, bila ada arahan supaya terima rayuan, daftarlah surat saya sebagai perayu. Allah yang menentukan, kita merancang, tak dilayan orang tu, dilayan oleh orang ni. Saya tak berkecil hati, itu hanya dugaan kecil, dugaan lebih dari itupun kita telah lalui.

Kuliah tahun ini saya tidak bawa anak lagi, sebab dia sudah pandai buat bising dan tak tahan lama, mula menganggu rakan kuliah yang lain. Saya tinggalkan anak dirumah pengasuh yang baru. Kak Yah tak mengasuh tahun ini kerana nak beri tumpuan untuk mengerjakan haji, kerana nama mereka disenaraikan untuk tahun ini.

Sebelum ke kuliah saya tinggalkan anak, selepas kuliah singgah ambil, anak-anak yang lain duduk dirumah bersama kakak yang dalam tahun 5. Tak jadi masalah sebab kami tinggal di kuarters, dari segi keselamatan tak ada masalah.

Saya beri tumpuan yang lebih tahun ini, dengan tekun dan rasa-rasa rayuan tahun ini akan dapat. Tahun ini musim haji jatuh bulan 12, waktu cuti sekolah, anak-anak tak perlu dihantar ke sekolah, kalau tidak susah juga. Isteri sayapun bersemangat seolah-olah tahun ini akan dapat pergi. Surat rayuan baru dihantar semangat telah ada. ‘Sampai Seru’ agaknya. Sekian, wassalam

No comments:

Post a Comment