Saturday, November 28, 2009

LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 8

Berita Terkini.

Saya telah mendapat tahu yang telah tersenarai untuk menunaikan haji pada tahun 2008 seminggu sebelum kursus haji perdana, saya merasa cukup gembira mendapat berita tersebut, saya diberi no telefon Ibu pejabat TH di Kuala Lumpur oleh pegawai TH Pendang, minta saya sendiri yang bertanya disana, dan akhirnya saya dimaklumkan tarikh penerbangan saya iaitu 21 November 2008. Alangkah seronoknya waktu itu, saya menitis air mata kegembiraan.
Pada hari Jumaat, semasa kuliah haji di Masjid Teroi saya maklumkan kepada Ustaz dan rakan-rakan yang saya telah tahu, ini menyebabkan mereka pula yang rasa gelisah, kerana belum mengetahui.

Kuliah hari tersebut membincangkan mengenai kursus haji perdana yang akan diadakan di serentak diseluruh Negara. Mood pun semakin meningkat.

Kursus Haji Perdana.

Selang tak berapa lama dari kursus haji intensif kami dijemput untuk kursus haji Perdana yang diadakan di dewan Wawasan Jitra iaitu pada 17-18 Oktober 2009. Isteri saya tidak dapat menghadiri kursus tersebut kerana beliau terpaksa mengikuti kursus PTK di Pulau Pinang bermula 11 Oktober hingga 18 Oktober 2008.

Peserta boleh memilih untuk pergi sendiri atau dengan menaiki bas yang diurusakn oleh TH dengan sedikit bayaran. Saya memilih untuk pergi sendiri dengan kereta kerana pada hari akhir kursus Perdana saya perlu segera ke Pulau Pinang untuk menjemput isteri saya.

Anak-anak telah saya tinggal di kampong saya bersama datuk mereka. Petang tersebut saya datang awal sedikit kerana saya bimbang tiada tempat parking kerana kawasan dewan wawasan seperti pengalaman aktiviti lain sukar untuk dapatkan tempat parking. Saya sampai dan terus mendaftar diri mengikut daerah- masing-masing dan diberi tanda nama peserta kursus, seterusnya diarahkan ketingkat dua untuk tempat penginapan.

Apabila sampai di tingkat dua barulah saya tersedar yang saya tertinggal sesuatu barang, iaitu tikar untuk dijadikan alas tempat tidur apabila terpadang beberapa bakal jemaah sedang membentangkan tikar diruang koridor tingkat 2. “malam ini jenuh sejuk” , dulu pernah juga tidur atas simen di kompleks daya bumi, malam tahun baru, ini saya cerita sedikit, malam tahun baru saya dan beberapa rakan datang kedataran merdeka, Kuala Lumpur dengan hajat tidak mahu pulang pada malam tersebut selepas sambutan malam tahun baru. Tahun berapa saya tidak ingat, kalau tak silap tahun1989. tidur atas lantai simen telalu sejuk, ditambah dengan tiupan angin di kawasan terbuka.


Pada mulanya saya rasa macam hendak pulang mengambil tikar tetapi rumah jauh sangat, saya pun nekad tak mahu guna sebarang alas untuk tidur malam ini. Ramai para bakal jemaah telah mengambil tempat masing-masing, saya terus kehadapan melihat ruang. Rupa-rupanya dalam sebuah bilik ada ruang masih banyak , bilik tersebut pula lengkap dengan karpet. Ruang tepi dinding bilik tersebut telah diisi oleh para jemaah. Saya mengambil ruang ditengah-tengah. Kedudukan para jemaah tidak tersusun, kaki dan kepala saling bertentangan. Tiada siapa yang berani memberi arahan untuk membuat susunan yang lebih teratur dan kondusif untuk malam itu. Ada juga dikalangan jemaah yang menyuarakan yang mereka hendak berbual malam ini.

Kami diarah untuk turun berjemaah solat Maghrib dan Isyak lengkap dengan pakaian ihram. Sudah menjadi kebiasaan mesti ada yang lewat, mereka yang lewat akan terpingga-pingga mencari tempat, dan selalunya mereka akan duduk di kawasan yang pada mulanya dijadikan laluan. Tindakan mereka tersebut akan menyusahkan lagi mereka yang lebih lewat. Bilangan jemaah yang ramai berbanding kemudahan bilik air di bangunan dewan tersebut, masing-masing mesti mencari masa dan mengambil peluang menggunakan bilik air.

Sembahyang Maghrib pada malam itu agak lewat sedikit kerana menyusun saf supaya teratur dan ‘betul’. Bakal jemaahpun perlu diperbetulkan saf !. Makan malam mengikut kumpulan masing-masing selepas Solat Maghrib.

Memakai pakaian ihram memang tidak selesa tambahan pula tidak memakai pakaian dalam, untuk latihan ini, boleh lah pakai, tapi awas disana nanti jangan pakai pula. Kalau pakaipun siapa yang tahu.?!.

Semasa masuk kedewan , para jemaah diberi sehelai bag plastic untuk diisi selipar.

Selepas solat Isyak bermulalah siri taklimat serta ceramah. Kursus tersebut dirasmikan oleh DYMM Sultan Kedah. Antara penceramah undangan ialah Ustaz Md Isa Abdul Rahman. Kuliah adalah berkisar cara mengerjakan haji dan umrah, teori dan amali.

Pada malam tersebut, selepas minum diadakan latihan amali tawaf dan melontar. Ada juga dikalangan jemaah yang asyik bersembang di bilik, petugas TH terpaksa naik memanggil mereka turun untuk latihan amali. Semasa latihan tawaf, agak kekok kerana ruang yang sempit berbanding bilangan yang ramai, namun begitu semasa sae, agak lebih selesa kerana diadakan diluar dewan, Hujan yang turun pada petang hari pertama menyebabkan latihan melontar hanya dibuat didalam dewan dan oleh beberapa jemaah sahaja.

Komen Pegawai TH: Sikap yang ditunjukkan semasa kursus ini akan terbawa-bawa semasa berada di tanah Suci, mereka meminta bakal jemaah mempunyai sikap yang positif dan tidak mensia-siakan peluang mengerjakan ibadat haji.

Bagi saya kursus ini cukup bermakna, ia merupakan latihan dan mempelajari cara sebenar melakukan rukun-rukun dan wajib haji, namapak macam boleh buat tetapi hakikatnya jika tidak direhasel dan dipraktikkan sudah tentu akan kekok. Orang kampong saya termasuk sepupu saya juga ada bersama semasa kursus haji perdana. Begitu juga sahabat saya Cikgu Ahmad dari SMT Jalan Stadium dan isteri beliau turut serta dalam kursus haji Perdana.

Saya terpaksa meninggalkan kursus lebih awal pada hari kedua dan bergegas ke Pulau Pinang untuk mengambil isteri saya, sebelum itu saya singgah mengambil anak-anak untuk dibawa bersama ke Pulau Pinang. Cenderamata yang diberikan oleh beberapa syarikat diwakilkan kepada cikgu Mansor untuk mengambilnya.


Sesuatu yang mengembirakan para jemaah ialah sesiapa yang terpilih untuk Kursus Haji Perdana sebenarnya telah terpilih untuk keTanah Suci tahun ini. Berbanding tahun-tahun sebelumnya walaupun dipanggil untuk kursus haji perdana belum tentu dapat pergi. Wassalam

No comments:

Post a Comment