Monday, December 14, 2009

LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 24


Assalamualaikum wbt

Setelah berada lapan hari di Madinah, tiba giliran kami untuk berangkat pulang, rasanya tidak puas berada di Madinah, tidak puas merasa kesejukan Madinah.

Pada 3 Januari 2009 iaitu hari kami dijadualkan berangkat pulang, selepas sarapan pagi saya dan isteri berjalan-jalan di kompleks membeli belah di sekitar Hotel kami menginap, saya dan isteri masuk ke Masjid Nabawi untuk melihat sepuas hati keindahan masjid tersebut. Waktu itu terserempak Ustaz Razak (yang mengajar kami di Masjid Teroi) membawa jemaah haji TH Travel yang baru sampai untuk menziarahi Makam Nabi, beliau mengajak kami mengikutnya sekali, tapi saya maklumkan bahawa kami akan pulang pada hari ini. Cuaca pagi tersebut mulai sejuk, jubah dan sweeter yang saya pakai tidak cukup tebal, saya juga tidak memakai stokin, sesekali mengeletar menahan sejuk.
Awan mendung mula menyelubungi Madinah.

Bag pakaian telah di ikat kemas, kerana selepas solat zuhur di Masjid nanti kami akan segera berangkat. Ziarah wadak di Makam Nabi telah saya buat, begitu juga isteri saya. Sedih rasa hendak meninggalkan Madinah.

Selepas solat zohor kami bergegas kembali kehotel, bag-bag pakaian telah diangkat oleh pekerja-pekerja pengangkutan. Kami mengumpul sedikit wang untuk diberikan kepada pekerja-pekerja. Kasihan melihat mereka mengangkat bag-bag yang berat dan besar. Mungkin melebih 30 kg. Barang-barang saya dan isteri 120 kg , ‘bag beranak’ masa datang dua bag sahaja masa balik 5 bag. Masa datang dua orang sahaja , masa balik tiga orang.

Saya dan isteri bawa bag lebih, kerana sudah menjangka bag yang sedia ada tidak mencukupi, manakala kawan-kawan lain membeli bag tambahan. Saya membeli guni untuk menyarung bag dan menyarung kotak tambahan yang penuh berisi.

Lebih kurang pukul satu tiga puluh tengahari bas kami bertolak ke Madinatul hujaj di Jedah iaitu tempat transit jemaah haji sebelum berangkat menaiki pesawat. Disini akan di buat operasi check in.

Pada mulanya saya merasa alangkah baik jika dapat naik pesawat terus dari Madinah, namun pengalaman menaiki bas dari Madinah ke Jeddah lebih menyeronokkan, cuaca sejuk, pada mulanya mereka minta dibuka air cond dalam bas tetapi, cuaca diluar menyebabkan suhu dalam bas lebih sejuk.

Pemandangan gunung-ganang, sungai yang kontang, unta liar, ladang memberi pengalaman baru.

Bas berhenti disatu hentian pada waktu maghrib. Saya segera ketandas untuk membersihkan diri sebelum solat. Masing-masing seolah-olah sengaja lambat masuk kemasjid, saya tahu alas an lambat masuk ke masjid.

Seorang dari jemaah kami melaungkan azan, suara saya tidak sedap untuk melaungkan azan, talah lama saya tidak melaungkan azan, “lebih baik kamu berebut untuk melaungkan azan” dan “seboleh-bolehnya kami menolak apabila disuruh menjadi imam”. Inilah alas an yang melengahkan mereka ke masjid. Macam mana ni haji, pakat takut nak jadi imam. Alim sungguh mereka sampai tak mau jadi imam sembahyang.

Nak tak nak akhirnya seorang arab suruh saya jadi imam sembahayang maghrib. “ ana, jamaq wa qasar” saya cakap arab, cari alas an tak mau meimami mereka. Saya suruh orang lain jadi imam, akhirnya saya jadi imam solat tersebut.

Bukan tak pernah jadi imam, masa di Kg Ulu Segama, Lahad Datu dulu, imam jumaat, khutbah Jumaat, hari raya, khutbah raya, saya yang selalu kena.

Lebih kurang pukul 9.00 malam kami sampai di Madinatul Hujaj. Pemandu bas bawa kami terus ke Airport, akhirnya berpatah balik ke Madinatul hujaj. Kami dibekalkan dengan makanan dan ditempatkan kedalam bilik mengikut kumpulan seperti di Mekah dahulu. Malam tersebut saya tidur nyenyak.

Solat subuh di Masjid yang disediakan disitu, disini ada imam masjid, jadi tak lah kalut nak cari siapa nak ditolak jadi imam. Selepas solat kami diberi sarapan pagi, kemudian di minta membawa barang masing-masing untuk timbang dan check in.

Barang saya lebih 60 kg, dan saya kena bayar RM 200 untk barang yang lebih. Ada juga yang lebih sehingga 100 kg, tapi kena bayar sedikit sahaja. Rezeki masing – masing, boleh minta kurang. Selesai semua rasa lega. Ada juga dikalangan jemaah yang membeli lagi selepas timbang barang, kerana tadi kena bayar sikit sahaja, duit lebihan yang disediakan untuk bayar digunakan untuk membeli lagi. Macam mana peniaga musim haji tak suka.

Setelah selesai semuanya kami diarah menaiki bas untuk kelapangan terbang, kami diminta membuang semua barangan tajam dari bag yang hendak dibawa masuk kedalam pesawat. Saya Cuma membawa bag sandang TH dan bag seret sahaja kedalam pesawat, berbanding orang lain yang masih ada berkilo-kilo barang yang hendak dibawa masuk bersama kedalam pesawat.

Kami dihadiahkan sebuah al Quran setiap seorang semasa hendak masuk ke terminal Lapangan terbang, Kelihatan para jemaah begitu ceria hendak berangkat pulang

Setelah masuk kedalam pesawat dan pesawat menuju Malaysia, hati berasa lapang dengan amal ibadat yang dilaksanakan. Masa datang duduk dibahagian belakang kapal terbang, masa balik duduk kelas bisnes, dari dulu duk idam nak duduk di kelas bisnes, kali ini dapat juga merasa.


Pukul 6.45 pagi kami sampai di Bayan Lepas. Saya sembahyang subuh diatas kapal terbang. Di lapangan terbang juga disediakan kawasan untuk jemaah sembahyang subuh. Sebelum pemeriksaan imegresen. Saya sempat mengelap badan di bilik air dan menukar pakaian. Manalah tahu ada orang yang nak peluk kita semasa sampai.

Setelah selesai kami dibenarkan keluar dan mengambil barang di tempat bagasi dan seterusnya mengambil air zam-zam yang disediakan.

Abang Yusri, Kak Nor dan anak-anak beliau sedia menunggu diluar. Tak jauh dari Balai ketibaan, bag kami pun tak banyak sangat, maka sekejab sahaja kami dapat keluar dari terminal dan menuju ke kampong saya.

Lebih kurang satu setengah jam sampai di kampong, siapa pun tak sedar yang kami sudah sampai. Lebih kurang pukul 10.30 pagi kami sampai. Yang menyambut kami adalah emak, emak saudara dan anak-anak saya. Ayah saya belum sempat pulang dari pasar.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment