Saturday, December 5, 2009
LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 15
Assalamualaikum wbt
Tawaf kali pertama
Pagi 22 Nov 2009 kami turun kekafeteria ditingkat bawah hotel untuk membeli makanan, makanan disediakan oleh pemuda-pemuda yang saya rasa mereka dari Indonesia, dan beberapa pemuda arab yang saya percaya bukan dari Arab Saudi.
Harga roti canai ialah 3 Riyal, tetapi puas dimakan, minuman dibeli menggunakan kopun yang diberi lebih awal oleh pihak hotel. Roti canai dan kuah dal menjadi sarapan utama saya sepanjang berada di Mekah. Makanan lain seperti nasi lemak, kuih-muih dan roti dijual dengan harga tetap, 1 Riyal, 2 Riyal dan 3 Riyal. Harga yang mahal !, namun kesempatan musim haji digunakan sepenuhnya oleh peniaga.
Selepas sarapan kami menunggu untuk ke Masjidil Haram, yang akan dipandu oleh Mutawif haji (wakil sheikh haji), Satu Maktab satu sheikh haji, sudah tentu bukan sheikh yang bawa, adalah budak suruhannya.
Dalam menunggu, saya bertemu sepupu saya, iaitu Kak Hayati bersama Pak Teh Mad iaitu abang ayah saya. mereka juga tinggal dihotel yang sama, saya tahu mereka akan datang menunaikan haji tahun ini. Mereka tinggal dikampung yang lain dan saya juga pergi semasa beliau membuat majlis bacaan yasin sempena keberangkatannya. Di Hotel yang sama juga tinggal 3 beradik sepupu lelaki saya iaitu, Abang Zakaria, Abang Halim dan Abang Karim, ini adalah kali kedua bagi abang Zakaria dan Abang Halim dan kali ke 5 bagi Abang Karim. Di hotel ini juga tinggal Jiran emak saya iaitu Kak Piah dan ayahnya serta Pak Lang Aziz kawan ayah saya juga tinggal dikampung asal saya.
Mutawif membawa papan tanda Maktab 76, selepas diberi penerangan kami pun mula bergerak menuju tanah suci dengan perasaan yang gembira. Perjalanan menyusuri jalan yang penuh dengan jemaah haji, ada yang nak pergi, ada yang hendak balik, berkemutih diatas jalan raya. Jalan tersebut dipenuhi jemaah, kenderaan tak dapat melalui jalan tersebut seolah-jalan tersebut hanya untuk penjalan kaki. Saya dan isteri berjalan bersama-sama takut kehilangan. Lebih kurang 10 minit kami sampai di pintu 69 ! berhadapan Hotel Al tauhid. Selipar diisi didalam karung oleh mutawif, beliau memberi arahan supaya kami masuk tawaf bersama-sama. Penuh kesyukuran apabila melihat Masjidil Haram. “Kecil kata hang !”, “ampuni dosa saya ya Allah”. Saya melangkah masuk dengan doa masuk Masjid, Pintu ini bukan pintu Babus Salam, sebelum ini saya menghafal doa masuk ikut pintu babus salam. Pintu babus salam pun tak pernah ditunjukkan oleh mutawif kepada kami. Baca sajalah doa masuk masjid yang ingat.
Kami masuk menuju ke Kaabah, saya Nampak rak-rak kasut yang banyak disediakan dalam Masjidil haram dan ramai orang sedang melakukan ibadat. Akhir sekali saya Nampak Kaabah di hadapan, bercucuran airmata tanpa disedari, Labbai Kallah hum malabbaik. Kami datang kepada mu, Kaabah hanyalah binaan batu, hanyalah kiblat, bukan batu yang menjadi sembahan dan sudah pasti Allah tidak berada disitu. Jangan tersilap dalam hal ini.
Kita jadikan kaabah sebagai kiblat, memandang Kaabah sudah dapat pahala. Saya ingatkan kami akan dibawa tawaf oleh mutawif, rupanya tidak, mereka tinggalkan kami diluar sahaja, bayangkan jika kita tidak berkursus sebelum datang, sudah pasti kita akan panic dan tak tau nak buat apa dalam keadaan manusia yang ramai. Namun dikalangan kami ada yang pernah datang, jadi mereka inilah yang menjadi ketua melangkah ke dataran Kaabah, kami yang baru ikut sahaja.
Saya berpesan kepada isteri saya supaya memerhati sekeliling dan melihat sesuatu sebagai tanda, dan kalau ditakdir terpisah nanti, tunggu di pintu yang ditetapkan. Jangan sembahyang sunat tahiyatal masjid di Masjidil Haram kerana yang lebih Afdal adalah tawaf sunat setiap kali datang. Mungkin kita tidak mampu untuk melakukan tawaf sunat dengan alas an orang ramai dan panas. Tapi kalau dah tak tawaf sunat, sembahyanglah tahiyatal masjid. Tujuan kami hari ini adalah untuk melakukan tawaf wajib iaitu tawaf untuk Umrah wajib kami dan sae wajib kami.
Hati penuh debaran melihat Kaabah, sebelum ini tengok dalam TV dan Gambar sahaja, bila berhadapan tergamam dibuatnya, bacalah doa melihat Kaabah kali pertama, kalau tak ingat, bawa buku dan baca. Saya dan isteri membaca bersama doa melihat Kaabah.
Seterusnya kami melangkah masuk kedataran Kaabah. Jemaah penuh bersesak menunaikan tawaf, namun ruang kosong masih ada untuk kami laksanakan tawaf. Saya perhatikan sekitar dataran Kaabah bagi memastikan kedudulan lampu hijau , iaitu garisan untuk memulakan tawaf, saya perhatikan kedudukan rukun , kedudukan makam Ibrahim, pintu kaabah dan Hijr Ismail, Telaga zam-zam tak usah dicari, memang tak jumpa di dataran kaabah, peti air zam-zam ada di luar dataran kaabah.
Pintu King Fahd agak jauh dari garisan lampu hijau, ini memberi masa untuk kami ‘mengambil langkah’ untuk pusingan tawaf yang sebenar dan buat persediaan. Kami sampai dikawasan lampu hijau, segera berniat tawaf umrah, kalau tak niat pun sah tawaf tersebut kerana ia adalah rukun umrah. Jangan berhenti digarisan tersebut kerana ini akan menyekat laluan orang lain, ramai jemaah yang slow apabila tiba digarisan ini mungkin sedang pasang niat, atau sedang istilam kepada Hajar Aswad. Sampai sahaja bahagian ini sesak, waktu inilah ada yang dah habis pusingan nak keluar.
Tawaf kali pertama ini dibuat dengan berhati-hati kerana, ini adalah tawaf untuk umrah wajib kami. Isteri saya berjalan dihadapan saya dan dalam pengawasan saya supaya tidak dilanggar jemaah haji yang tawaf secara berangkai dan dalam kumpulan yang besar.
Waktu tawaf kita hendaklah menjaga bahu kiri supaya tidak keluar dari menghadap kaabah, namun begitu jemaah haji dari beberapa Negara lain tidak menitik beratkan persoalan ini, mereka bergerak tanpa mempedulikan kedudukan bahu kiri. Panduan supaya bahu kiri sentiasa menghadap kaabah ialah dengan mengikut garisan keliling kaabah yang ada diatas lantai, dan kita ikut trek tersebut tanpa perlu masuk ke trek yang lain. Sepanjang tawaf saya membaca doa seperti yang terdapat dalam buku kursus. Saya membilang supaya tidak keliru bilangan pusingan. Akhirnya kami berdua selesai tawaf, kumpulan maktab 76 KT 60 yang datang bersama tadi hilang entah kemana.
Selesai tawaf kami tidak terus melintang arus untuk keluar sebaliknya kami menyusur arus dan keluar sedikit demi sedikit tanpa menghalang sesiapapun. Jika kita terus melintang dan melintasi orang yang sedang tawaf, ini akan menyusahkan ramai orang. Sebaik sahaja selesai tawaf kami sembahyang sunat tawaf dan berdoa sepuas hati, air mata mengalis dipipi tanpa disedari. Seterusnya kami datang ketempat air zam-zam untuk minum. Saya membacakan doa minum air zam-zam.
Tiba-tiba ada seorang orang Malaysia dari maktab 76 , tidaklah terlalu tua, datang mengadu kepada saya, beliau menerangkan yang beliau tidak habis tawaf dan keluar pada pusingan kedua, beliau keluar kerana katanya orang terlalu ramai. Saya kata pak cik tak boleh berbuat demikian, tawaf mesti dihabiskan 7 pusingan. Saya terus berbual dengan beliau disamping menasihatinya. Pak Cik Ingat dimana Pak Cik Berhenti ? Tak tahu, berapa pusingan dah tawaf ?, dua katanya. Saya rasa susah nak tentukan yang pak cik tawaf dua pusingan kerana pak cik tak tahu dimana berhenti, kalau tidak boleh sambung lagi 5 pusingan lagi sahaja. Pakcik, kalau nak tunggu orang tiada di medan tawaf, saya rasa susah, saya rasa baik pak cik kembali masuk ke medan tawaf bermula di lampu hijau , yang bertentangan dengan hajar aswad dan mula semula disana.
Saya tidak memberi sebarang komen kepada beliau, mungkin ada sesuatu yang menyebabkan beliau rasa ‘sempit’ di medan tawaf tersebut. Saya hanya bersyukur kerana telah selesai tawaf. Pak Cik, saya terpaksa pergi ketempat sae, pak cik berdoalah supaya dapat tawaf. Sayapun meninggalkan Pak Cik tersebut, saya dalam keadaan letih dan bingung juga samada hendak membantu beliau tawaf atau tidak.
Kini saya sedar yang saya hanya mementingkan diri sendiri waktu itu atau mungkin sebelumnya . Tapi bolehkah saya masuk saja-saja kemedan tawaf dan tawaf bersama beliau, sedangkan saya belum sae, sae adalah wajib kepada saya, sedangkan kalau saya masuk tawaf sunat katakan, boleh ke ?. (belajar tak habis ni).
Rakan –rakan KT60 yang datang bersama tadi tidak kelihatan, mungkin mereka telah habis tawaf atau belum lagi. Saya terpaksa bertanya orang dimana Bukit Safa untuk sae. Memang sukar nak cari bukit safa jika tak bertanya orang yang tahu. Panduannya adalah ia selari dengan lampu hijau untuk Tawaf di bahagian belakang Masjidil Haram. Akhirnya saya menemui bukit safa dan bersedia untuk sae.
Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment