Tuesday, December 8, 2009
LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 18
Assalamualaikum wbt.
Wukuf Di Arafah
Kebanjiran jemaah haji dari seluruh dunia memenuhi segenap ruang di Masjidil Haram , hotel-hotel yang sebelum ini bergelap telah dipenuhi, waktu solat kadang terpaksa sembahyang diatas bumbung masjid, kebanjiran ini adalah bermakna waktu wukuf tinggal tak berapa hari lagi, kami dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti umrah, bimbang tak sihat dan akan memberi kesan semasa mengerjakan wukuf dan bermalam di Mina, Saya kata jangan ikut nasihat tersebut, kalau diri rasa sihat sila kerjakan umrah atau tawaf sunat banyak-banyak kerana selepas haji motivasi akan berkurang, jadi semasa tengah bersemangat wajar lakukan dengan banyak kali. Memang terjadi begitu berdasarkan pemerhatian saya, rakan- rakan sudah mulai kendur semangat untuk mengulangi umrah dan tawaf sunat selepas haji. Apabila ramai yang tidak melakukan umrah, kitapun akan tumpang malas sekaki. Tapi kalau dah tak sihat, lebih baik berehat kerana wukuf dan Mina memerlukan tenaga dan motivasi yang lebih kental.
Tiada haji jika tidak wukuf di Arafah. Sebelum ini kami telah melawat Padang Arafah, melawat Jabal Rahmah. Aarafah satu kawasan yang luas, sekarang ini di tanam dengan pokok-pokok untuk menyejukkan kawasan, dipenuhi dengan khemah-khemah untuk para jemaah, disediakan ruang/kandang untuk menguruskan pengankutan masuk dan keluar Arafah di setiap maktab, tandas yang cukup selesa bagi sesuatu kawasan ‘camping’. Bagi saya langsung tiada masalah dalam bab prasarana. Jabal Rahmah adalah Bukit yang mustajab berdoa di situ, ramai yang menadah tangan berdoa mengikut hajat masing-masing dan ramai juga yang berdoa menghadap Bukit Rahmah tidak menghadap kiblat. Kata Orang doa menemukan jodoh mustajab disini, kerana ini adalah tempat pertemuan antara Nabi Adam dan Isteri Banginda , Hawa. Saya juga berdoa, tapi bukan doa bertemu jodoh lagi, doa-doa apa saja yang dihajati, dan saya yakin doa saya akan dimakbul Allah.
Petang itu, selepas solat Asar kami bersedia untuk berangkat ke Arafah, seperti biasa kami diuruskan dengan baik oleh petugas tabung haji dan maktab. Kami siap berniat Ihram Haji , solat sunat ihram dan lain-lain amalan sunat. Membawa bag kecil sahaja cukup dengan sehelai baju raya Haji, seluar raya, singlet, serban, sejadah, kain basahan, tuala dan kepeluan diri seperti ubat gigi, sabun dan pisau cukur. Tidak perlu bawa banyak kerana ruang tidak mencukupi, ruang dalam bas dan ruang dalam khemah. Kita datang menemui Allah dalam keadaan hina, maka ‘hinakan’ diri dengan keadaan selekeh tapi suci untuk beramal ibadat. Wukuf hanyalah satu hari, di Mina 3 Hari, jangan susahkan diri dengan membawa berbagai barangan.
Saya dan isteri duduk bersebelah di atas bas. Bermula selepas waktu asar, kami bergerak menuju Arafah, belum sampai ke Arafah telah masuk waktu maghrib, kami sembahyang menghormati waktu didalam bas disamping bertalbiah. Ramai yang ‘tak mahu’ bertalbiah namun tidak mematahkan semangat saya untuk terus bertalbiah. (waktu ini semasa saya sedang menulis, air mata saya kembali bergenang mengenangkan indahnya waktu mengerjakan haji dan rindu kepada Rumah Allah dan tanah suci)
Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja, belum berlaku kesesakan, atau kami ditakdirkan mudah dalam perjalanan tersebut, walaupun driver tersilap jalan namun, kenderaan dapat berjalan lancar. Kami pun sampai di maktab 76 dan diarahkan oleh petugas ke khemah yang telah ditetapkan. Saya antara yang sampai awal dalam khemah tersebut, Kalau saya sampai awal saya akan berpeluang menentukan kedudukan yang sesuai, tidur ikut mana, susun bagaimana supaya jemaah yang lain dan rakan – rakan dalam kumpulan mendapat ruang yang sepatutnya. Pun begitu ada ahli kumpulan lain yang salah tempat kemudian diberitahu yang mereka salah, tetapi masih berdegil kekal disitu, dengan kata-kata, tempat sempit kita kongsi bersama-sama. Bukan Isu tempat sempit, sebenarnya setiap jemaah telah diatur kedudukan masing-masing di lokasi masing-masing, jika kita duduk ditempat yang telah diaturkan kepada kita, tidak akan berlaku sebarang masalah.
Ahli kumpulan saya tidak pernah menimbulkan masalah, mungkin orang terpelajar, ada cikgu, ada ingineer dan ada orang kampong. Dalam hal ini pun tak semestinya cikgu baru nak faham susunan dan mematuhi peraturan, orang kampong pun kena patuh aturan yang telah ditetapkan, satu kelebihan yang Allah berikan sepanjang mengerjakan haji ialah saya cepat sampai dan tak silap jalan (kecuali suatu pagi di Madinah).
Saya mengambil posisi antara dua khemah, mengelak dari berhampiran pohon mambu dalam khemah tersebut, Udara malam masuk dicelah-celah penyambung dua khemah yang terbuka. Sementara menunggu kawan lain tiba, saya menunaikan solat maghrib dan isyak secara Jamak. Saya tidak meninggalkan tempat saya kerana, saya bimbang selagi semua belum sampai ada yang suka tolak barang orang dan tolak tempat orang daripada saya bermasam muka dengan mereka lebih baik saya susun mereka dengan baik.
Air panas disediakan diluar khemah beserta gula dan kopi . “Kami datang bukan untuk minum-minum dan sembang-sembang”. Setelah makanan diedarkan dan semua rakan-rakan sekumpulan mendapat makanan, kami pun makan, kemudian kami membersihkan diri dibilik air yang telah tersedia, tapi awas anda sedang berihram, aurat dan kelakuan hendaklah dijaga. Seperti biasa saya menghadapi masalah cepat habis wuduk, nasib badan. Bermula malam itu ramai jemaah sudah berada dalam khemah surau, saya belum kesurau waktu itu, hanya berada dalam khemah dengan membaca Quran dan lain-lain zikir, ada juga jemaah yang berbual kosong.
Wukuf bermula tengahari esok, bukan malam ini, namum ramai yang dah tak sabar menunggu hari wukuf dengan mertasbih dan bermunajat, kesannya pada hari wukuf mereka keletihan dan tak bersuara. Kemuncak wukuf adalah tengahari 9 Zulhijjah, 8 Zulhijjah kita bersedia dengan berzikir sendiri dan simpan tenaga untuk 9 Zulhijjah.
Saya tidur lena dalam khemah, kehadiran nyamukpun saya tak sedari, besok pagi bangun awal, membersih diri dan bersolat subuh. Sarapan pagi diedarkan oleh Maktab, orang yang sama di Hotel penginapan. Selepas itu saya kembali membaca Quran dan berzikir.
Khemah wanita bersebelahan, saya langsung tidak menjenguk, mana boleh menjenguk nanti ternampak aurat wanita bukan mahram. Saya telah maklum kepada isteri supaya uruskan diri sendiri semasa wukuf dan berdoa sebanyak mungkin. Bukan apa, ada juga dikalangan jemaah lelaki yang terhendap-hendap mencari isteri, kelakuan sebegini tidak baik bagi seorang yang sedang berihram. Apa nak dipedulikan, isteri kita sampai bersama kita, masa dia masuk khemah tadi, kita hantar dia, dia nak kemana ? yang kita bimbang sangat, kalau di Bandaraya Makkah lainlah.
Kami diminta datang awal kesurau untuk mendengar khutbah wukuf dan berzikir, seterusnya solah jamak Tammam. Ada dikalangan jemaah yang dari awal pagi berzikir munajat menggunakan pembesar suara, dengan sebutan yang tidak kena ( seolah-olah sebelum ini tidak pernah berzikir munajat) namun begitu bersemangat, saya memarahi diri saya kenapa hang yang pandai berzikir munajat dan berlagu, sebutan kena tidak berani menggunakan mikrofon, sekurang-kurangnya suara dan sebutan yang kena membuka jiwa manusia lain. Saya maarah diri sendiri sebab komen saudara yang sebutan tidak kena, segera saya beristigfar dan mohon keampunan, saudara tersebut, benar-benar insaf dan mahu kembali kepada Allah dia lebih beruntung. Adakah saya insaf ?. Allah yang tahu. Kami sama sama bermunajat menanti kemuncak wukuf. Saya batal wuduk lagi, terpaksa keluar surau, ambil wuduk semula, menggunakan air minuman, satu pembaziran yang saya lakukan, ampunilah saya. Sementara menanti waktu zohor, dua kali saya terbatal wuduk dan hingus banyak tak terkawal.
Arafah tempat cucuran air mata, siapa yang tak tercucur air mata keinsafan amatlah rugi. Buatlah bagaimanapun asalkan tercucur air mata keinsafan. Maka berlinangan air mata pada hari wukuf, memohon keampunan Allah, mengakui kesalahan dan memohon keampunan, saya menoleh melihat siapa yang tak berlinang air mata, sebenarnya saya tak berani nak menoleh memandangkan wajah saya berlinangan air mata, saya tertoleh juga, maka terpandang wajah seorang yang “kurang sempurna berbanding saya” maka bertambahlah linangan air mata saya kerana Allah telah beri sifat yang cukup kepada saya ( waktu inipun saya tergenang air mata mengenangkan peristiwa itu, Alhamdulillah).
Khutbah wukuf disampaikan oleh seorang pegawai TH, solat Jamak Tammam diimmamkan oleh seorang jemaah. , Khutbah diadakan sebelum masuk waktu zuhur.
Selepas solat kami berzikir dan bermunajat kepada Allah, selesai acara dalam surau, saya kembali sebentar ke khemah mengambil keperluan dan kembali berwukuf diluar khemah, saya berwukuf dibawah matahari terik diatas kerusi diruang menunggu bas di tepi jalan.
Sambil berzikir sambil berdoa sepenuh hati dan seikhlas hati. Tiba-tiba datang sebuah lori membawa makanan nasi arab untuk disedekahkan kepada jemaah, tapi bukan di maktab kami, ke maktab seberang jalan, Maktab orang india/Pakistan, maka berebut-rebutlah jemaah menerima sedekah, beberapa pekerja makanan di maktab kami turut pergi mengambil sedekah tersebut , fikiran saya tergugat sedikit, rasa macam nak pergi ambil tapi mengenangkan sedang berwukuf, saya buat-buat tak Nampak sahaja. Nasi Biryani dengan sepotong daging kambing , siap Nampak tulang rusuk lagi, pekerja maktab pergi ambil diseberang jalan dan lalu dihadapan saya, Nampak sedap sahaja. Saya Nampak mereka diseberang jalan bukan main sedap menjamah nasi biryani, cobaan!, saya terus berzikir ditengah panas, isteri saya juga berwukuf diluar khemah, di bawah pohon mambu, saya sempat merakamkan aksi mereka dengan kamera. Waktu wukuf yang bergitu mustjab pun dibiarkan oleh sesetengah jemaah. Hai ruginya.
Saya tidak memperdulikan cuaca panas, ini hanya sedikit ujian Allah, biarlah saya berpanas hari tersebut berbanding saya menyesal bila pulang ke tanah air.
Semoga Allah menerima amalan dan doa saya pada hari wukuf tersebut, saya tak teringat untuk mendongak ke langit melihat keajaiban yang ditunjukkan Oleh Allah, kata orang kadang-kadang awan membentuk perkataan Allah, namun saya langsung tak teringat untuk melihat perkara tersebut.
Wassalam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment