Monday, December 7, 2009

LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 17



Sembahyang Fardu.

Subuh.

Kebiasaannya kami akan bergerak ke Masjidil Haram antara pukul 4.00 pagi , waktu ini agak lewat kerana ramai jemaah lain telah tiba dan mengambil tempat istimewa mereka. Saya akan memilih tempat yang agak hamper dengan dataran Kaabah. Hanya beberapa waktu yang saya dapat solat fardu dalam dataran Kaabah. Kebiasaanya saya akan melakukan solat sunat, sunat taubat, sunat hajat, sunat tasbih dan solat witir dan membaca Al Quran sebelum masuk waktu. Kita terpaksa bangun awal supaya mendapat tempat dalam Masjid. Ramai yang menganggap ruang dalam Masjid sudah penuh apabila melihat jemaah sembahyang diluar masjid. Anggapan tersebut adalah salah kerana kebanjakan jemaah haji India, Pakistan suka sembahyang diluar Masjid, kerana dikalangan mereka berpendapat luar masjid juga adalah masjid.

Selepas subuh saya akan sembahyang sunat-sunat yang lain, membaca Quran dan saya beriktikaf dalam Masjid sehingga solat sunat Israk. Selepas sunat Israk barulah saya dan isteri pulang ke hotel untuk bersarapan pagi. Selepas sarapan saya akan membasuh pakaian dan seterusnya tidur sementara menunggu waktu Zohor.

Zohor.

Pukul 11.00 pagi saya akan bergerak ke Masjid untuk menunaikan solat Zohor, masuk waktu antara pukul 12.15 tgh, cuaca agak panas, pernah sekali saya dan isteri terpaksa naik sembahyang di atas bumbung Masjid, tiada tempat berlindung, Kami terpaksa menutup kepala dengan sejadah, Tanpa disedari air hidung sentiasa meleleh. Saya tidak tahan dengan panas. Dua minggu pertama saya terkena demam dan selesema. Waktu Zuhur dan Asar kerap saya tidak hadir.




Asar

Pernah sekali selepas tawaf, saya mendapat tempat untuk solat asar dalam dataran Kaabah. Walaupun panas saya dan isteri tetap tunggu dengan penuh sabar.


Maghrib dan Isyak.

Selepas solat maghrib dan Isyak kami akan pulang untuk makan malam di hotel.
Pernah sekali saya dan isteri tiada tempat sembahyang. Pada petang tersebut selepas tawaf, isteri saya hendak ke tandas, jadi saya temankan beliau ketandas, waktu mahgrib hampir tiba. Saya menunggu dengan menahan sabar dan gelisah kerana bimbang tiada tempat sembahyang, ruang diluar masjid telah dipenuhi oleh jemaah hingga rapat ke tangga tandas, saya pada waktu itu tidak mengambil tempat kerana masih menunggu isteri keluar dari tandas, apabila masuk waktu, semua tempat termasuk atas jalan raya telah dipenuhi. Saya duduk diatas tong penghadang sebelah tangga turun ketandas dan bersembahyang sambil duduk diatas tong tersebut.

Waktu mahgrib dan isyak adalah waktu jemaah yang ramai, ada juga yang sembahyang diatas hotel dan berimamkan Imam masjidil Haram ?. Ada juga dikalangan jemaah di hotel kami menginap yang tidak dapat ke Masjid dengan berbagai-bagai alasan. Saya bersyukur kerana tak dapat ke Masjid waktu zuhur dalam dua minggu pertama sahaja, selepas haji seya dapat ke Masjid untuk semua waktu.

Jumaat.

Hari Jumaat pertama kami di Mekah, saya datang awal ke Masjid dan mendapat tempat dalam Masjidil Haram, walau bagaimana untuk Jumaat kali kedua iaitu 5 Disember, iaitu ketika telah ramai jemaah tiba dan telah hampir waktu wukuf saya tidak mendapat tempat dalam masjid dan juga tidak mendapat tempat diluar Masjid dan tidak mendapat tempat diatas jalan raya. Waktu itu barulah saya menitis air mata mengenangkan nasib tak “diterima di Masjidil Haram”.







Jumaat lepas saya datang pukul 11.00 pagi, Jumaat kali ini saya datang 10.30 pagi, apabila sampai dipintu Masjid kami telah dilarang dari mamasuki Masjid oleh anggota polis, ramai yang telah membentang sejadah diatas batu. Saya tidak mahu sembahyang dikawasan tersebut kerana, kawasan tersebut “kotor”, Kawasan tersebut , diludah, di kencing oleh jemaah itu yang membuat saya tidak mahu membentang sejadah, saya kononnya hendak mencari tempat yang lebih bersih dari tempat tersebut. Di sekitar kawasan tersebut sudah tiada tempat, saya terpaksa berjalan melalui jemaah yang telah duduk sedia ditempat masing-masing. Hampir 100 meter saya berjalan melalui jemaah untuk mencari tempat. Pada masa yang sama ada lagi jemaah yang cuba masuk walaupun telah dihalang oleh Polis. Ramai yang telah mengisi jalan-jalan raya hingga mencapai 2 km dari masjidil Haram. Akhirnya saya mendapat tempat di belakang hotel At Tauhid diatas tebing jalan, itupun hanya ruang yang cukup-cukup untuk duduk sahaja.

Cuaca panas dan berdebu, saya menutup kepala dengan kain serban, melindungi pipi saya yang tak tertahan dengan cuaca panas. Semasa melintasi jemaah ada yang terpandang air dalam botol minuman yang saya bawa dan tanpa segan silu mereka meminta air tersebut, dan saya memberi kepada mereka, ada dua orang yang meminta dan air tinggal sedikit sahaja pada saya. Sementara menunggu masuk waktu, rasa amat tidak tertahan, hanya bersabar sahaja. Seterunsnya selapas azan ramai yang bersembahyang sunat, saya tidak dapat sembahyang sunat kerana tiada ruang. Khutbah agak panjang. Menambah lagi seksa pada hari tersebut, setelah selesai khutbah jemaah lain sembahyang Jumaat sambil berdiri manakala saya sambil duduk sahaja kerana tiada ruang untuk sujud. Saya hanya mampu memohon keampunan kepada Allah kerana tiada kualiti sembahyang saya pada hari tersebut.

Selepas pulang kehotel saya menceritakan kepada rakan sebilik yang datang bersama semasa untuk sembahyang Jumaat tadi tapi telah terpisah semasa diarahkan oleh polis semasa hendak masuk ke Masjid. Mereka menceritakan bahawa selepas tidak mendapat tempat mereka berpatah balik dan sembahyang di Masjid Khalid Al Walid. Tidak ramai jemaah di Masjid tersebut, letaknya 700 m dari Masjidil Haram.




Sembahyang jenazah.

Di Masjidil Haram boleh dikatakan setiap kali selepas sembahyang Fardu akan ada solat jenazah. Solat tersebut adalah untuk semua jenazah-jenazah. Bilal akan memaklumkan yang akan ada solat jenazah sebaik sahaja selesai solat Fardu. Selalunya Imam akan ambil masa sedikit, mungkin berdoa atau berwirid atau selepas solat sunat, mungkin sahaja kerana saya tidak pernah berpeluang sembahyang belakang imam.

Sempat jika kita hendak solat sunat dan berdoa. Kadang-kadang ada dua kali solat jenazah, mungkin ada jenazah yang lewat dibawa kehadapan imam. Oleh kerana teringin untuk melihat bagaimana jenazah di bawa ke tempat letak untuk disolatkan, saya telah solat di tingkat satu untuk melihat. Jenazah dibawa dalam keranda, dan dengan pantas sekali mereka membawa keluar jenazah dari kawasan dataran kaabah dan membawa keluar melalui pintu sebelah pintu King Aziz. Saya berkesempatan solat jenazah disana, Di kampong hanya boleh bilang dengan jari saya solat jenazah, kali pertama solat jenazah anak saya.

Sembahyang Minta Hujan

Pernah sekali semasa saya berada di Mekah.

Khatam Al Quran

Sebelum berangkat ke Tanah Suci saya telah membeli sebuah Al Quran kecil kerana saya berhasrat untuk khatam Quran dalam Masjidil Haram. Sepanjang berada di Masjdil Haram saya telah khatam sebanyak dua kali. Saya menggunakan Quran wakaf dalam masjidli Haram. Quran saya tulisan kecil menyebabkan saya sukar untuk membacanya, lagi pun Quran ada di merata-rata tempat termasuk di bahagian atas bumbung Masjid. Membuat kebajikan dalam Masjidil Haram mendapat 10,000 ganjaran, bayangkan jika kita khatam sebuah Al Quran di dalam Masjidil Haram. Apabila masuk saja kedalam masjid saya akan mencapai Al quran dari atas rak yang disediakan di sudut-sudut tertentu dalam Masjid. Selesai solat sunat, saya akan memnyambung bacaan Quran, saya akan mencatat mukasurat terakhir yang say abaca supaya mudah saya sambung bacaan jika menggunakan Quran lain. Pernah dua tiga kali saya terbawa balik Quran ke hotel kerana saya terlupa untuk menyimpan semula di atas rak. Selepas baca, masuk waktu solat, Quran saya masukkan kedalam bag sandang yang saiznya sedang elok. Selalunya apabila tiba waktu solat akan ada hamba Allah yang sudi memungut Quran untuk di simpan ke atas rak. Saya kebiasaannya tidak akan menghulurkan kepada mereka, kerana saya tidak mahu menyusahkan orang lain, jadi saya simpan dalam bag sandang.

Ramai jemaah yang mewakafkan Quran di Masjidil Haram, selalunya mengikut saiz yang telah standard.

Saya berazam untuk khatam sebanyak dua kali dalam Masjidil Haram , jadi saya telah berusaha bersungguh-sungguh, setiap waktu dan masa lapang saya akan membaca Al Quran, baca tanpa taranum. Walaupun mengantuk dan lenguh belakang saya akan terus menbaca. Kadang-kadang saya terpaksa membaca sambil menyandar, kadang-kadang sambil berbaring dan melentang, kadang-kadang terpaksa membaca sambil berdiri. Kebiasaan juga saya akan minum air zam-zam dari botol yang yang saya sentiasa bawa, suatu hari bekalan air zam-zam saya hanya ada beberapa titis sahaja, orang sebelah yang melihat masalah saya menghulurkan air zam-zam beliau, saya hanya ambil sekadar seteguk sahaja, bukan apa saya rasa tidak sanggup untuk meninggalkan tempat duduk kerana untuk menghabiskan bacaan Quran . Syukur Alhamdulillah. Semasa di Madinah saya hanya membaca surah-surah terpilih sahaja.

Wassalam

No comments:

Post a Comment