Saturday, December 12, 2009
LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 22
Asssalamualaikum wbt.
Madinah al Munauwarah (26/12/2008 – 03/01/2009)
Lebih kurang 3.00 pagi hari Jumaat 26/12/2008 kami sampai di Madinah, saya tidak lena kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat bumi Rasullullah, walaupun dalam samar-samar malam dapat juga dilihat bangunan dan gunung ganang, apabila nampak bangunan di Madinah kami membaca doa. Kami ditempatkan dihotel yang di kongsi bersama dengan jemaah dari Negara lain, di Madinah TH tidak menyewa hotel secara keseluruhan, TH hanya menyewa bilik untuk jemaah, kerana hanya 8 hari sahaja seseorang jemaah akan berada di Madinah. Lapan hari untuk menngenapkan jumlah 40 waktu sembahyang jemaah di Masjid Nabawi. Namum kami dapat 42 waktu,iaitu waktu subuh dan Zuhur pada 03/01/2009 hari hendak bertolak pulang ke Jeddah.
Selepas meletakkan barang-barang sendiri dalam bilik hotel, saya segera bersiap untuk ke Masjid bagi menunaikan solat fardu subuh berjemaah, kami telah diterangkan kedudukan masjid sebelum turun dari bas oleh Petugas TH. Kami tidak boleh berlengah-lengah kerana jika terlepas, bilangan waktu yang sepatutnya kami perolehi di masjid Nabawi tidak mencukupi. Mencukupkan 40 waktu berjemaah mempunyai rahsia tersendiri dan sering ditekankan kepada semua Jemaah Haji. Tak dapat saya huraikan mengenainya.
Selepas solat subuh jemaah berasak-asak menuju pintu keluar, semasa datang kemasjid saya tidak ‘menanda’ laluan datang, kesannya saya telah tesesat hampir setengah jam mencari hotel tempat penginapan kami, tersesat dihujung jalan, kembali ke pangkal jalan, akhirnya saya kembali ke Masjid dan kembali menelusuri jalan datang tadi, dan akhirnya barulah berjumpa, bukan jauh lebih kurang 200 m sahaja. Sekali ini sahaja saya tersesat jalan semasa berada di tanah Suci.
Di Madinah , kami terpaksa mengejar waktu untuk berjemaah di Masjid, bimbang kalau tak dapat berjemaah, jadi terpaksa datang awal sedikit. Jemaah wanita terpaksa lebih awal kerana ruang solat yang ditetapkan kepaada mereka adalah terhad. Jika datang lewat beerti tidak dapat masuk ke dalam masjid dan hanya bersembahyang diluar masjid. Cuaca amat sejuk, lantai diluar masjid amat sejuk dan tak dapat di pijak tanpa alas kaki.
Masjid Nabawi lebih teratur kerana jemaah sembahyang mengikut saf, berbanding di Masjidil Haram, safnya dalam bentuk bulatan mengelilingi Kaabah.
Saya memberi kebenaran kepada isteri saya pergi bersendirian atau dengan jemaah haji Malaysia yang lain ke Masjid Nabawi, jarak antara Hotel Penginapan kami dengan Masjid lebih kurang 200 m sahaja. Lagi pun agak sukar untuk saya menemaninya kerana, beliau terpaksa pergi lebih awal untuk mendapatkan tempat sembahyang dalam Masjid.
Raudhah.
Syukur Alhamdulillah, 8 hari saya di Madinah saya berpeluang sebanyak 8 kali menziarahi Makam Rasul dan bersembahyang dalam Raudhah sebanyak tujuh kali..
Hari pertama saya tercari-cari dimana letaknya Raudhah, mencari dengan hidung bagaimana nak berjumpa, ada seorang jemaah dari Negara Eropah juga mencari Raudhah dan bertanya kepada saya, saya kata saya juga mencari raudhah.
Pada hari Jumaat saya datang awal bersama rakan sebilik yang lain, mencari tempat yang baik untuk sembahyang Jumaat, semasa kami datang cuaca masih redup, dan kami memilih tempat di bahagian bumbung payung di dalam masjid, namun apabila hampir waktu zuhur, matahari mulai terik dan kami terpaksa melindung diri dengan sejadah, sejadah dikongsi bersama dengan Hj Kadir. Lama juga kami terpaksa berpanas, kerana cahaya panas tersebut melalui celah antara bumbung dengan payung yang renggang. Tetapi kami rasa bersyukur kerana lebih kurang 20 m di hadapan adalah Makam rasul, Hj Kadir maklumkan kepada saya setelah saya bertanya kepadanya. Saya bertekad yang saya akan datang menziarahi makam rasulullah.
26/12/2008
Petang tersebut saya datang melalui pintu yang dikhaskan untuk wanita untuk masuk ke raudhah dan menziarahi makam rasulullah, waktu Ziarah bagi jemaah wanita adalah terhad dan pada waktu-waktu tertentu sahaja dan saya hanya dapat masuk dikawasan rumah Fatimah sahaja melalui pintu tersebut, itupun tak berpeluang untuk sembahyang kerana jemaah begitu ramai. Mengikut Jadual yang diaturkan oleh TH, besok baru kumpulan kami akan dibawa ke Makam Rasullulah oleh Mutawif.
Akhirnya saya pusing ke pintu Babus Salam dan mengikut arus jemaah yang masuk menziarahi Makam Rasulullah. Akhirnya saya sampai kemakam Rasulullah dan memberi salam kepada baginda, menyampaikan salam keluarga dan sahabat, serta salam orang Kg Pokok Tai., menitis air mata kerana dapat bersua makam rasullullah, bukan saya seorang boleh dikatakan kebanyakan jemaah akan sayu di hadapan makam Rasullullah. Saya sempat mengintai melalui lubang yang dibuat didinding makam rasulullah, tidak nampak apa-apa, gelap sahaja. Pihak polis yang mengawal akan menghalau sesiapa yang cuba berdoa dihadapan makam Rasullullah dan sesiapa yang melengah-lengahkan masa.
Semasa saya melalui laluan ke Makam Rasullullah dapatlah saya kenalpasti kedudukan Raudhah, Insya Allah saya berazam untuk bersembahyang ditaman syurga itu.
27/12/2009
Selepas subuh kami bersarapan di dewan makan di tingkat satu Hotel, kopi dan gula telah diberikan kepada setiap jemaah untuk sepanjang berada di Madinah, air panas disediakan di dewan makan, sarapan pagi tidak disediakan, kami membeli makanan seperti roti dan lain-lain sebagai sarapan pagi. Di lobi Hotel saya memerhati samada isteri saya telah sampai atau tidak, dan kami akan pergi bersarapan bersama. Setiap pagi saya suka membeli susu segar dan roti di kedai sebelah hotel.
Pukul 9.00 pagi kami diminta turun dihadapan hotel untuk di bawa menziarahi Makam Rasulullah. Saya menganggap kami akan dibawa dan diberikan laluan mengikut giliran untuk masuk ke Raudhah. Mutawif, seorang Arab membawa kami berhampiran Pintu Babus Salam dan memberi penerangan sambil menunjukkan kearah perkuburan Baqi dan mengajar kami berdoa bersama-sama beliau ( menziarahi perkuburan baqi dari jarak 200 m) . Kemudian kami di bawa masuk melalui pintu Babus Salam dan membaca doa melalui pintu babus Salam. Rupanya Mutawif membawa setakat itu dan menunjukkan kedudukan Makam Rasul dari hujung pintu sahaja, kemudian Mutawif meminta sedekah dari Jemaah. Hampa harapan saya, dan saya tidak bersedekah kepadanya. Saya menyangka kami akan dibawa masuk ke Raudhah selapas menziarahi makam rasulullah. Seseiapa yang nak bersedekah kepada Mutawif boleh bersedekah, atas keikhlasan hati masing-masing, mutawif dah ada upah dah TH, Sebab itu ada dikalangan Mutawif lain yang berkata, Haram !, haram! Melihat kawan-kawannya menerima sedekah. Tapi kalau nak bagi apa salahnya!.
Oleh kerana saya telah datang menziarahi Makam Rasullullah kelmarin, tidaklah sukar untuk saya mengetahui, mana satu makam rasul, Makam Saidina Abu Bakar dan Makam saidina Omar. Dan dimana hendak berdoa, menghadap kemana !. Selepas menziarahi Makam Rasulullah, bergerak kedinding Masjid menghadap kiblat dan berdoa.
Jemaah Haji wanita dibawa oleh Mutawif wanita menzirahi makam Rasullullah dank e Raudhah. Untuk sampai ke Raudhah jemaah wanita terpaksa melalui sekatan-sekatan, selepas satu kumpulan selesai ziarah, dibuka sekatan pertama masuk ziarah pula, kumpulan lain masuk kekawasan sekatan paling hampir dengan Raudhah. Pada hari tersebut jemaah wanita selesai Ziarah hampir waktu Zuhur.
Perkuburan Baqi’
Selepas Ziarah makam Rasulullah saya pergi menziarahi Perkuburan Baqi, naik keatas kawasan yang di buat khas untuk ziarah. Perkuburan baqi adalah Perkuburan warga Madinah, tiada batu nesah bernama seperti di Negara kita, terletak bertentangan sebelah kiri dengan Kubah Hijau Masjid Nabawi, waktu melawat ditempat yang dikhaskan adalah mengikut waktu tertentu, semasa melawat tidak boleh baca doa lama-lama, nanti dihalau oleh polis. Pernah buku doa saya di rampas oleh polis bertugas, namun saya menarik balik dengan kasar dan hanya kata “ sorry”, buku doa kawan sayapun dirampas tetapi akhirnya dia dapat kembali setelah hendak beredar dari kawasan melawat perkuburan Baqi’.
Perkuburan Baqi’ boleh ziarahi di sebelah pagar yang rendah, boleh Nampak kawasan perkuburan tersebut. dengan jelas.
28/12/2008
Di Madinah jemaah TH akan dibawa melawat Masjid Quba, Bukit Uhud, Ladang Kurma dan sekitar Madinah. Melawat Masjid Kuba dan bersembahyang didalamnya seolah olah melakukan umrah jika di Makkah, namun saya hanya berpeluang sekali sahaja melawat masjid Kuba. Suasana di Madinah lebih tenang dan cuaca lebih sejuk.
Bukit Uhud adalah kawasan terjadi peperangan Uhud, dimana ramai menjadi syuhada, mengetahui sejarah uhud adalah penting sebelum sampai ke Madinah, supaya kita dapat menjiwai dan menyesali serta menghargai perjuangan para sahabat Rasul. Peperangan uhud perlu diambil pengajaran. Makam Para Shuhada tak bernesan Cuma makam Saidina Hamzah yang bertanda. Makam yang pernah timbul selepas banjir dan para shuhada yang masih ‘hidup’ adalah tanda-tanda kewujudan Allah dan Kebenaran Islam. Di Bukit Uhud saya sempat membeli tasbih kayu. Jemaah Haji Malaysia tidak berada lama di tempat tersebut, jadi kita tak sempat untuk naik ke Bukit Pemanah, jika tidak bolehlah kita bertaubat seolah-olah kita adalah pemanah yang disuruh tunggu walau apa terjadi dalam perang Uhud. Kita boleh bertaubat kerana engkar Arahan ketua semasa peperangan. Salah firasat kita mengatakan musuh sudah berhenti menyerang, padahal kelalaian kita dan kegembiraan kita boleh kembali memusnahkan kita. Nabi Muhammad adalah panglima perang, sabda baginda adalah dari Allah swt, tentulah baginda berpandangan jauh apabila melarang pemanah dari turun dari bukit pemanah walau apa terjadi. Biasalah kita suka melanggar arahan, langgar lampu merah, langar kawasan berumput dan sebagainya, tak sah cakaplah pasal langgar perintah Allah.
Perkuburan shuhada uhud
29/12/2008
Bakso Indonesia.
Di mana rumah bakso ? , Tanya seorang jemahaah haji wanita Indonesia kepada isteri saya, Tidak tahu, balas isteri saya. “oh.. Malaysia” , baru mereka sedar yang mereka bertanyakan seorang orang Malaysia.
Keesokan hari saya dan isteri ke rumah bakso, terletak di tingkat 1 sebuah hotel, yang diusahakan oleh seorang rakyat Indonesia. Masa di Sabah dulu selalu juga makan bakso. Disamping bakso, makanan lain yang familiar dengan citarasa rakyat Malaysia juga dijual, dapatlah rasa kelainan sedikit berbanding hari-hari dengan menu TH.
Kami juga pergi makan di sebuah kedai, juga Indonesia, dapatlah rasa pedas-pedas dan masam bersebelahan Masjid Nabawi. Banyak restoran di Madinah, namun harga makanan yang dijual mengalahkan buffet di Hotel. Jemaah bajet seperti kami hanya layan di restoran dan gerai ekonomi sahaja.
Saya sempat membeli buah tangan untuk dibawa pulang, kali ini membeli-belah pun tak mengapa, harga jangan dibanding dengan di Makkah, nanti rasa kecewa. Kami ke pasar kurma , buah kurma agak mahal harganya, berbanding di Malaysia. Kalau bukan kerana buah tangan dari Madinah, lebih baik beli kurma di Malaysia.
Wassalam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment