Friday, December 4, 2009
LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 14
Assalamualaikum wbt.
Akhirnya kami diarahkan menaiki bas, bas yang agak sempit dan lama, ruang antara tempat duduk menyebabkan lutut saya kena kerusi hadapan, amat tidak selesa, tapi buat-buat tak kisah sahaja. Perut terasa lapar, kami diagihkan makanan dalam bungkusan aluminium, jika di Malaysia atau dirumah, mungkin kita tidak makan apa yang dihidangkan, nasi bersama sayur mentah yang dipotong, rezeki jangan ditolak, makan sahaja. Isteri saya Tanya lapar sangatkah, tak sempat sampai Mekah. Awak tahu Mekah kat mana?.
Bas membawa kami menuju ke Maktab 76 di Hotel Sevilla, bas membawa kami ke pusat penerimaan jemaah haji, disana kami diberi minuman botol air zam-zam dan kurma, serta makanan ringan. Saya makan makanan tersebut dan mengucapkan syukur atas rezeki yang diterima. Selepas selesai pemeriksaan, mungkin daftar jemaah atau sebagainya, ikut prosedur Arab Saudi, bas kembali bergerak menuju Makkah, rasa terlalu teruja untuk melihat Mekah dan sepanjang laluannya, malangnya kegelapan malam menutup segala pemandangan. Tak lama kemudian sampai di Makkah, lalu kami membaca doa melihat rumah-rumah di Makkah. Pemandu bas seolah-olah tidak tahu lokasi hotel, di berhenti beberapa tempat, tak tahu samaada dia turun bertanya atau sebaliknya. Hati jahat saya terringat tentang kutipan Tips yang selalu diceritakan oleh jemaah-jemaah terdahulu. Namun saya segera menafikan dengan beristigfar. Mujurlah tak terkeluar dari mulut saya apa yang terlintas dihati saya. Namun ada dikalangan jemaah mulai bising dengan mengatakan mungkin pemandu perlukan wang tips. Saya segera berzikir dalam hati dan berdoa agar selamat sampai.
Akhirnya pemandu bas mengerakkan bas dan mencari Maktab 76, semasa perjalanan tersebut saya terpandang diluar dan Nampak suasana malam yang meriah, lampu-lampu di kedai dan di jalan serta orang ramai, tiba-tiba saja mulut saya terpacul perkataan “ lebih hebat dari Bukit Bintang”, saya memarahi diri sendiri kerana membandingkan tempat baik dengan tempat ‘kurang baik’ di Malaysia. Dulu masa muda kerap juga saya pergi berjalan-jalan di Bukit Bintang di KL, tak ada apa yang saya beli di sana, dalam banyak kali pergi Cuma beli baju sehelai. Pernah juga saya melalui lorong ‘belakang’ melihat apa yang dikatakan ‘Bukit Bintang’ , sekadar melihat sahaja keadaan tersebut sebagai pengetahuan. Pernah juga saya pergi bermesyuarat di Hotel Merdeka, Jln Bukit Bintang, selepas mesyuarat saya dan rakan-rakan berjalan-jalan melihat orang di sana, ada tempat orang menyanyi, ada salun urut kaki, ada macam-macam orang.
Saya menerangkan kepada diri saya bahawa perbandingan itu untuk menunjukkan di Mekah lebih meriah, tanpa sebarang maksud lain.
Melalui jalan yang lain saya terpandang Masjidil Haram, “tak besar mana”. Astagfirullah. Kenapa dengan mulut saya ini. Saya kata Masjidil Haram tak besar mana. Ia terletak dalam kawasan yang dikelilingi bukit, Saya segera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah atas keceluparan mulut saya. Akhirnya bas sampai dihadapan hotel Maktab 76. Kami disambut dengan penerangan oleh Kakitangan TH, beliau memaklumkan bahawa jarak hotel dengan Masjidil Haram adalah 850 km, kami mengucap syukur kerana jarak tersebut tidak begitu jauh. Kemudian kami disambut oleh Sheikh maktab, sheikh boleh berbahasa Melayu/ Indonesia. Wajah Arabnya dengan muka kemerah-merahan. Kami turun dan disambut dengan air zam-zam oleh pekerja hotel.
Seterusnya kami diarahkan kebilik masing-masing, seperti yang telah disusun dari awal lagi dan dilekatkan stiker di beg sandang. Bagasi besar diuruskan oleh pekerja hotel, mereka menghantar terus kehadapan bilik jemaah. Sesebuah bilik diisi 6 orang jemaah, Jemaah dalam bilik saya ialah, Hj Mansor, Hj Ismail, Hj Ismail, Hj Hassan dan Hj Shukri. Mereka adalah rakan-rakan yang duduk berhampiran kerusi saya dalam pesawat semasa penerbangan datang.
Dikalangan mereka saya yang paling muda manakala yang paling tua adalah Hj Mansor (Pak Cik Mat) , Saya berkenalan dengan mereka, Hj Ismail Guar Chempedak adalah rakan sekuliah Haji di Masjid Teroi, beliau datang bersama isterinya, Hj Ismail Ingineer sebelum ini pernah datang umrah, beliau juga datang bersama isteri, Hj Mansor datang haji kali kedua juga bersama isterinya, Hj Shukri dan Hj Hassan dan saya adalah kali pertama ke Tanah Suci, juga datang bersama isteri.
Katil dalam bilik disusun rapat-rapat namun masih ada ruang untuk meletakkan bag pakaian dan lain-lain, juga diantaranya boleh dihampar sejadah.
Malam tersebut saya agak gelisah kerana keceluparan mulut saya, dan saya rasa mahu segera ke Masjidil Haram, namun seperti yang dinasihatkan oleh pegawai TH supaya berehat terlebih dahulu kerana pagi besok akan dibawa tawaf dan sae umrah. Saya juga gelisah kerana pada mulanya saya berkata hendak sembahyang Isyak di Masjidil Haram, nampaknya tidak kesampaian, badan memang letih, sehari dalam perjalanan dan tidak cukup tidur.
Malam itu saya sembahyang isyak di bilik sahaja, jadilah dapat juga Isyak di Tanah Haram. Malam tersebut kami tidur dalam keadaan berihram, saya menjaga diri agar tidak melanggar pantang larang ketika berihram.
Saya melihat melalui tingkap bilik hotel, Nampak berduyun-duyun jemaah berjalan menuju ke Masjidil Haram, pagi ini saya juga tidak pergi sembahyang subuh, begitu juga rakan-rakan sebilik saya, Tak tahu jalan ?, takut nak pergi ?, akan pergi bersama TH pagi nanti ?, letih kerana baru sampai ?. Tiada jawapan khusus, semuanya boleh diberi jawapan.
Wassalam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment