Wednesday, December 2, 2009

LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 12


Assalamualaikum wbt.

Saya pergi mendaftar masuk dan diberikan bilik bersama 6 orang yang lain. Bag pakaian yang besar disusun di lobi bangunan secara teratur , manakala petugas tabung haji sibuk memberi tunjuk arah dan penerangan kepada bakal-bakal haji yang tiba.

Saya adalah orang ke 5 yang sampai didalm bilik tersebut, mereka yang sampai awal telah keluar , mungkin menemui saudara mara yang datang. Siapa masuk awal dia boleh memilik tempat “terbaik” untuk dirinya, yang lewat isilah dimana kosong. Sebelum Maghrib saya turun menemui ayah , abang Yusri , kakak serta anak-anaknya. Kami pergi sembahyang Maghrib di Masjid bersebelahan Kompleks TH. Ayah saya ada bertemu dengan beberapa kenalannya semasa hari tersebut, mungkin dengan bangganya beliau memberitahu, saya datang hantar anak, bukan saya yang pergi. Semoga itu bukan ujub dan riak.

Dalam penerbangan tersebut saya hanya mengenali seorang sahaja yang pergi berkursus bersama di Masjid Teroi iaitu, Abang Ismail, beliau pergi bersama isterinya, yang lain adalah kawan baru, kawan baru yang beza umur 10 tahun keatas.

Selepas solat Maghrib ayah saya pun pulang, saya dan isteri masuk kembali kebilik untuk berehat dan solat Isyak. Mala mini akan di panggil untuk mengambil sumbangan-sumbangan yang diberikan oleh beberapa syarikat. Lebih kurang pukul 11.00 mlm kami dipanggil turun dan menerima bag sandang, tikar sumbangan TM dan kad kesihatan, selepas itu saya dan isteri kembali kebilik masing-masing untuk tidur.

Tidur tak lena malam tersebut, sedar-sedar telah masuk waktu subuh dan bangun menyiapkan diri. Kami diarah untuk check in seawall 8.00 pagi. Pagi tersebut saya sempat sembahyang sunat ihram, membaca doa-doa dan surah Haj. Saya orang yang lewat keluar dari bilik tersebut. Oleh kerana semua dah keluar isteri saya masuk kedalam bilik dan sama-sama membaca doa yang berkaitan. Isteri saya meminta saya segera turun kerana semua orang telah turun, saya kata, tak mengapa orang lain belum selesai check in. Sampai di lobi didapai masih ramai yang belum menimbang bagasi masing-masing. Saya mengambil bagasi dan meninmbang serta security check dan masuk untuk chek in pesawat. Bagasi kecil sahaja yang dibenarkan dibawa kedalam pesawat, Kami akan belepas terbang pada pukul 11.00 pagi. Kami bersarapan di cafeteria sementara yang dibuka disebelah ruangan menunggu yang disediakan. Bank Islam ada menyediakan kaunter tukaran wang Saudi, saya hendak menukar dari not 500 riyal kepada not 10 riyal tapi tidak dibenarkan oleh pegawai bank tersebut. Saya sempat membeli jam tangan yang ada waktu Malaysia dam waktu Arab Saudi untuk diberikan kepada isteri saya, malangnya jam tersebut kehabisan bateri dan ditinggalkan dalam bag begitu sahaja. Dalam ruangan tersebut kami telah disusun mengikut kumpulan berdasarkan warna label di boarding pass. Pengurusan amat teratur sekali, saya tidak bercakap banyak, hanya berzikir dan mengingati Allah.

Dalam hati ada juga perangai nak komen kat orang yang sukar sangat diarah, tapi cepat-cepat saya alih ingatan supaya berzikir, saya juga melarang isteri saya dari memberi komen tentang masalah orang, biar petugas TH yang uruskan dan kami Berjaya mengawal diri, walaupun pada mulanya nak tunjuk pandai konon, cikgu le katakan.

Banyak kesilapan yang dilakukan oleh bakal jemaah, contohnya sudah memakai ihram tetapi menyarung kasut dan berstokin (jemaah lelaki), itu yang cuba saya tegur, tapi mereka belum berniat ihram lagi, masih boleh berkasut balas hati saya.

Duduk ditempat yang lain dari ditetapkan akan menyusahkan pengurusan TH. Namun pengurusan TH amat lancar sekali.

Kami menunggu dengan sabar sehingga tiba giliran kami dipanggil untuk menaiki bas. Dalam bas saya duduk disebelah isteri saya, saya tak sangka yang bakal jemaah haji yang disusun berhampiran semasa dalam dewan akan menjadi rakan sebilik semasa di Hotel nanti.

Setelah menaiki bas, kami dibawa menuju ke Lapangan Terbang Bayan Lepas diiring dengan kawalan polis trafik, di sepanjang jalan ramai orang kampun yang melambai-lambai tangan kepada tetamu Allah. Saya menyuruh isteri melambai balas, awak orang istimewa lambai lah mereka dan berdoalah kepada Allah supaya mereka juga akan berpeluang seperti kita, tentu hati mereka juga teringin sangat untuk ke Tanah Suci, masakan mereka sanggup menunggu ditepi jalan hanya untuk melambai kepergian orang yang tak mereka kenali, pasti juga mereka mengharapkan rahmat dari Allah.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment