Assalamualaikum wbt Berangkat ke Mudzalifah. Kami diarahkan bersedia untuk berangkat ke Mudzalifah mulai waktu maghrib, pergerakan mengikut KT tertentu. Menurut pegawai TH, satu maktab diperuntukan 8 buah bas yang akan berulang alik mengangkut jemaah maktab. Tahun lepas agak masalah apabila jemaah tak dapat diangkut ke Mudzalifah hingga tengahari 10 Zulhijjah. Kami diangkut dan ditinggalkan di Mudzalifah, untuk wajib haji, di Mudzalifah jemaah hanya berehat sebentar sementara di bawa ke Mina, Tikar hamparan disediakan sebagai alas tempat duduk jemaah, sementara dipindahkan ke Mina, jemaah boleh mengutip anak batu untuk melontar pada keesokan hari. Makanan disediakan dalam bentuk pek untuk setiap jemaah, makan tidak pernah putus, sentiasa ada makanan dan ‘berlebihan’. Jemaah Negara lain saya tak pasti samada mereka juga diuruskan lengkap dengan makanan seperti Jemaah Malaysia. Sementara menunggu bas ke Mina, kami sempat berbaring, menghilangkan keletihan, ada yang sudah terlena. Bilik air disediakan, tetapi dengan bilangan jemaah yang ramai, tidak selesa, bau hancing sesekali dapat dihidu. Saya mengutip batu sekadar yang disunatkan, 7 biji dan betul-betul batu, bukan tanah atau pasir. Mina hanya bersebelahan dengan Mudzalifah. Jemaah dari India, Pakistan hanya berjalan kaki dari Mudzalifah ke Mina, hatta dari Arafah ke Mina. Kesesakan tidaklah terlalu meruncing kerana tahun ini diurusakan dengan baik Oleh Arab Saudi. Bermalam di Mina Jarak antara Mina dan Mudzalifah tidak seberapa jauh. Saya telah mengambil bas yang agak awal untuk ke Mina. Tak berapa lama kamipun sampai ke Mina, dan diarahkan masuk kedalam khemah yang telah ditetapkan, Sewaktu saya sampai tak seorang ahli kumpulan yang sudah sampai, Khemah di Mina agak sempit cukup-cukup untuk badan sendiri sahaja. Namun kalau susunan baik amat mudah untuk melakukan solat, tanpa menganggu orang lain. Namun seperti biasalah, tidak semua manusia boleh berfikir untuk kemaslahatan umum. Tapak khemah kumpulan kami tidak rata, terpaksalah dua orang jemaah, berhimpit mengelak tapak curam. Kesabaran di Mina amat diperlukan, kawasan sempit, orang ramai. Khemah diMina ada air cond, jadi taklah seberapa panas. Ruang yang diperuntukkan untuk kumpulan sebelah adalah sama dengan kumpulan kami, namun entah bagaimana, seorang dari ahli kumpulan mereka tidak mempunyai ruang, namun setelah kami membantu berunding, akhirnya dapat diisi dengan mencukupi. Seorang jemaah yang ‘terkeluar’ kerana tiada ruang untuknya menyatakan yang dia mahu pulang ke Makkah, nafar awal, namun setelah ada ruang untuk beliau barulah beliau kekal tunggu di Mina sehingga selesai dan nafar thani. Kumpulan mereka tidak sehaluan, mereka tidak susun dengan baik, sepatutnya semua bag pakaian diletakkan dihujung kepala dan dijadikan bantal semasa tidur. Waktu sembahyang, terpaksa mengetepikan semua bag-bag, tempat tidur dijadikan tempat sembahyang. Kami dihidangkan dengan makanan yang mencukupi dan sentiasa ada makanan, dengan cara tersebut, suasana sempit dapat dilupakan, air panas untuk membancuh kopi, memasak magi disediakan diluar khemah. Pemandangan adalah sama di setiap khemah, ada juga jemaah yang tersilap khemah dan terpaksa meminta bantuan TH untuk kembali ke khemah. Setiap maktab dan khemah telah diberi logo tertentu seperti telefon, sayur dan sebagainya supaya mudah diingat oleh jemaah, namun sesiapa yang kurang beri perhatian akan tersilap, rupabentuk bilik air pun sama. Air limpahan dari bilik air meleleh hingga ke hadapan pintu khemah, siapa yang jijik pasti akan termuntah, ini terjadi kerana menggunakan air diluar kawasan tandas. Setiap pagi terpaksa berbaris dihadapan pintu tandas, mendengar kentut dari dalam tandas adalah perkara biasa. Sekali masuk tandas terus buang air besar, gosok gigi dan mandi. Tetapi waktu subuh tak boleh berbuat demikian, selalunya saya akan mandi selepas waktu subuh apabila orang sudah tidak ramai. Ada juga yang tidak merancang untuk buang air besar atau air kecil, mereka ini selalu minta nak masuk dahulu dengan alas an tidak tahan. Padahal orang lain telah lama menunggu, ada yang tidak memberi laluan, jadi yang tak mendapat laluan terus membuang didalam longkang di hadapan pintu tandas. Jemaah lelaki sering melanggar kawasan wuduk perempuan, ini adalah tidak baik, sedangkan kita masih dalam ihram. Bagi saya tiada sebarang masalah berada di Mina. Saya biasa berkhemah sebelum ini, semasa berkhemah semuanya serba kekurangan dan hendak buang air pun susah, jadi saya buat tak kisah sahaja. Ada jemaah yang pagi-pagi lagi mengatakan yang dia hendak komplen kepada TH mengenai kesesakan di Mina, saya hanya mendengar dan menjawab dalam hati, nak komplen, komplen lah. Kita kena ingat , Mina adalah ujian Allah, kita bersabar dan ikut peraturan, selesai masalah. Yang menjadi masalah ialah apabila, air dibuang dimerata-rata tempat, susunan dalam khemah tak dibuat dengan elok. Melangkaui kawasan jemaah wanita, menjenguk khemah wanita. Membuang sampah merata-rata. Saya langsung tidak menjenguk khemah wanita sehingga isteri saya marahkan saya kerana tidak memperdulikannya. Kenapa pula mesti pedulikan beliau, kita datang untuk beribadat, duduk dalam khemah, buat ibadat, bukannya saya tinggalkan dia, balik ke Mekah. Memang sah dia berada dalam khemah tersebut, buat amalan zikir, baca Al Quran, yang jadi masalah bila jemaah lain keluar membeli-belah, itu punca masalah. Orang perempuan bila Nampak orang lain beli belah dia pun apa lagi teringin sangat nak keluar tengok. Saya sendiri tidak keluar dari khemah, duduk dalam khemah, baca Quran. Ramai jemaah yang berbual kosong sahaja, sambil hisap rokok, saya menegur orang yang menghisap rokok, namun tak diendahkan, jadi saya tak perlu menegur lagi. Khemah kita berair cond, asap rokok akan menganggu orang lain. Mereka berbual kosong dengan berbagai cerita, ini satu kerugian, sudahlah Mina sesak, ingatkan Allah, pahala dapat. Selepas melontar Jamratul Qubra, dibawa oleh mutawif pada pagi 10 Zilhijjah saya bercukur di tempat bercukur dengan bayaran 15 Riyal. Mutawif tidak memberi sebarang penerangan ketika melontar, siapa yang tiada ilmu pasti akan kerugian. Kami dan maktab lain bertolak berjalan kaki dari Muassim melalui terowong ke Jamrah, mutawif yang membawa papan tanda maktab 76, berjalan pantas hingga tak terkejar oleh jemaah, kami terpaksa meminta beliau berjalan perlahan. Lontaran pertama adalah di Jamrah Aqobah, terletak dihujung sekali, melalui, Jamrah Ula dan Wusta, jika kita tak perhatikan betul-betul kita tidak aakan Nampak Ula dan Wusta. Papan tanda untuk kedua-dua jamrah tersebut terletak dibahagian dinding kawasan melontar. Mengerjakan haji memerlukan stamina yang kuat dan kesihatan yang baik. Sebelum datang ke Tanah Suci kita mesti berlatih dan menjaga kesihatan. Waktu melontar tidaklah ramai kerana jemaah lain telah melontar lebih awal, berbanding saya yang tak tahu dan mengharapkan dibawa oleh TH. Dan saya pun tak mahu memandai-mandai. Waktu yang ditetapkan adalah mengikut kesesuaian supaya tidak bertembung dengan jemaah lain. Saya membantu mencukur dua orang setibanya di khemah. Saya rasa puas setelah dapat melontar pada 10 Zulhijjah dan dapat menanggalkan Ihram. 10 Zulhijjah merupakan Hari raya, tak teringat kata hari raya kerana sibuk nak melontar. Setelah menanggalkan Ihram, saya memakai baju raya yang dibawa. Mengikat serban. Rupa-rupanya ada jemaah lain yang memerhati dan berminat untuk memakai serban. Tertarik dengan kekemasan serban saya, beliau datang meminta saya tunjukkan cara mengikat serban. Hari ketiga baru saya dapat tunjukkan cara mengikat serban dan beliau menitis air mata dapat memakai sunnah Nabi Muhammad. Menunggu keesokan hari amat membosankan, sebab itu, ramai yang keluar membeli-belah, saya hanya tinggal dalam khemah, waktu makan, kita makan. Pada 11 Zulhijjah saya dan isteri keluar mengutip anak batu dia atas bukit, mengikut jadual kami akan di bawa melontar pada waktu malam, melontar ketiga-tiga jamrah. Namun setelah mengutip batu kami membuat keputusan untuk pergi melontar, maka kamipun pergi melontar disebelah pagi. Waktu melontar yang afdal adalah selepas gelincir matahari, waktu ini panas terik dan ramai orang, jadi kami tak dapat waktu yang afdal. Kami terpaksa menunggu kumpulan jemaah haji Negara lain melepasi terlebih dahulu, dari Thai. Dari Bangladesh, Pakistan, mereka datang dalam kumpulan yang besar, melihat kumpulan mereka yang datang, kami terpaksa berehat ditepi jalan sebelum terowong Muassim, Kekuatan mereka, menyebabkan kita tak sempat untuk memecut meninggalkan mereka, lebih baik membiarkan mereka pergi terlebih dahulu. Kali ini kami melontar ditingkat atas setelah dihalakan laluan ke atas oleh tentera yang menjaga kawasan tersebut. Dalam perjalanan pulang isteri saya bersedekah kepada pekerja-pekerja kebersihan. Saya pun turut bersedekah. Hari ketiga iaitu 12 Zulhijjah, kami melontar disebelah pagi, kali ini kami melontar di tingkat bawah , melalui kawasan khemah negeri-negeri arab. Sewaktu pulang, kami berehat ditembok bahu jalan, mengambil kesempatan berbual dengan isteri, dikhemah Mina sukar nak berbual dengan isteri sendiri. Tak berapa lama, bapa saudara saya berhenti berhampiran kami, saya datang menemuinya dan bertanya samada dia masih boleh berjalan kerana saya Nampak beliau amat keletihan. Lama juga kami berehat dan saya memaklumkan yang saya terpaksa pergi dahulu dan meninggalkannya. Beliau tidak menghalang dan beritahu yang beliau akan bergerak tak lama lagi setelah berehat. (rupa-rupanya beliau tersesat mengikut laluan jemaah Indonesia) . Jemaah Indonesia adalah jemaah yang paling ramai, dan kawasan di Mina dipenuhi oleh mereka. Hari keempat iaitu 13 Zulhijjah, kami diarah pergi melontar awal kerana akan bertolak balik ke Mekah pada jam 10 pagi. Setelah selesai melontar, kami berkemas dan menunggu giliran untuk berangkat ke Mekah. Waktu ini khemah-khemah di kemaskan oleh Maktab, karpet di gulung semula, peralatan dapur dibawa pulang ke Mekah. Sampah-sampah yang ditinggalkan oleh jemaah tinggi menggunung, kami melalui kawasan timbunan sampah, tak tertahan baunnya. Kawasan bukit di Mina juga dijadikan kawasan perkhemahan bagi jemaah bajet atau jemaah persendirian yang datang sendiri. Kami mendapat giliran menaiki bas lebih kurang 10.30 pagi, dan bas tak dapat keluar dari Mina kerana kesesakan lalu lintas, kami tiba di Mekah waktu zuhur. Bas tak dapat masuk menghampiri hotel, malah berpusing melalui kawasan yang sama berkali-kali. Para jemaah dalam bas mula menaruh curiga terhadap pemandu bas, ada yang berkata pemandu buat begitu kerana hendakkan wang. Saya teringat yang saya dan isteri tidak membaca doa naik kenderaan, segera bertaubat dan kami membaca doa. Ada dikalangan jemaah mula berbuat bising, saya memberitahu isteri agar berzikir, setiap kali suara bising dikalangan penumpang lain saya meninggikan suara zikir, namun ramai yang tidak memahami, Saya menjelaskan kepada isteri bahawa bas tak dapat masuk kerana jalan ditutup waktu solat Zuhur, sebab itulah dia terpaksa berpusing sementara selesai waktu zuhur, bila jalan dibuka semula dapatlah ia memandu menghampiri hotel. Namun penumpang lain langsung tidak mahu memahami keadaan tersebut dan saya berkata siapa yang nak haji mabrur kena minta maaf pada driver bas, atas tuduhan yang dilemparkan kepada driver tersebut. Syukur Alhamdulillah kerana saya tak menuduh yang bukan-bukan kepada driver tersebut, namun saya juga gagal mengawal perasaan dengan berkata “siapa nak haji mabrur kena minta maaf pada driver bas”, saya segera beristigfar. Bila turun dari bas, ada jemaah bertanya, kita turun dimana, hotel sebelah itu saja bang., mungkin nada saya sombong, membalas kesombongan mereka diatas bas tadi, namun saya juga sombong dengan meninggikan nada. Saya dan mereka sama saja, mana mabrur !. Pekerjaan haji kami belum selesai, tinggal tawaf dan sae. Wassalam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment