Wednesday, March 30, 2011

PERNIAGAAN DALAM ISLAM - 11

SME Corp. sasar 1Keluarga 1Usahawan
bisnes@utusan.com.my
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Industri kecil dan sederhana tempatan mampu memberi sumbangan signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekiranya setiap keluarga di Malaysia mampu melahirkan seorang usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp.), Datuk Hafsah Hashim berkata, unjuran itu seiring dengan hasrat kerajaan yang mahukan sektor swasta menerajui ekonomi negara.

Menurutnya, dari segi keupayaan, sasaran itu tidak mustahil dicapai oleh Malaysia dalam tempoh sembilan tahun lagi.

Beliau berkata, di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, negara-negara ini telah melahirkan seorang usahawan bagi setiap 19 populasi.
Hasil kajian yang dijalankan pada 2000, nisbah usahawan di Malaysia pula adalah 1:120 dan prestasi itu semakin baik pada tahun ini apabila ia meningkat kepada 1:38.
''Melihat prestasi ini, saya percaya pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu meningkat sembilan peratus pada 2011 dan angka itu diperbaiki pada tahun-tahun mendatang,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini.
Hafsah berkata, industri itu telah menyaksikan pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus pada 2004 hingga 2009, melepasi tumbuhan KDNK 4.5 peratus.

Pada 2010 pula, prestasi PKS terus stabil pada kadar 8.0 hingga 8.5 peratus dan KDNK pula adalah 7.0 peratus.

Tambah beliau, dari segi jualan pula, PKS mencatatkan 13 peratus pada suku pertama 2010, 21 peratus pada suku kedua dan masing-masing 17 peratus dan 15 peratus pada suku ketiga dan keempat.
''Prestasi ini adalah dinamik dan positif yang dapat meningkatkan skala perniagaan sebagai satu pendekatan bagi rakyat untuk menjana pendapatan,'' ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, orang nombor satu SME Corp. itu berkata, agensi tersebut sedang merangka Pelan Induk PKS untuk hala tuju industri itu pada 2020.

Enggan mengulas lanjut tentang pelan itu, Hafsah berkata, pelan induk tersebut lebih menjurus kepada rancangan dan usaha meningkatkan industri tersebut.
''Menjelang 2020, kita mahu menggunakan pendekatan radikal bagi merancakkan pertumbuhan PKS supaya kedudukan Malaysia sama seperti negara-negara maju,'' tambahnya.

Di negara-negara maju, industri PKS menyumbang antara 40 peratus hingga 60 peratus kepada KDNK.


Assalamualaikum wbt.

Di negara kita, telah banyak perancangan untuk meng'usahawan' kan penduduknya, terutamanya bumiputera. Banyak agensi kerajaan yang diwujudkan bagi merealisasikan hasrat, namun sehingga kini 30 % ekuiti bumiputera tak tercapai seperti sasaran DEB. Tubuh MARA untuk bantuan modal dan teknikal, agensi-agensi lain setempat pun apa kurangnya main peranan seperti PPK, ada saja rancangan keusahawanannya. Satu kampung satu industri tenggelam dalam semak samun kampung sahaja.

Yang mengurus dan diurus semuanya keturunan Melayu dan Islam.


Boleh saya tanya, kenapa jadi begitu ?.

sekian.

No comments:

Post a Comment