Thursday, February 10, 2011

PERNIAGAAN DALAM ISLAM - 3

Kes-kes penipuan mungkin senang bagi seseorang peniaga lakukan, kerana ruang dan peluang menipu lebih terbuka. Islam memang mengharamkan segala bentuk penipuan, baik dalam setiap urus niaga mahupun segala macam muamalah atau urusan sesama manusia, tetapi malangnya masih terdapat sesetengah orang di kalangan masyarakat kita yang sanggup menipu dan memperdaya orang lain demi mengaut keuntungan. Ada yang melakukan penipuan dengan cara mengabui mata pelanggan dengan meletakkan atau mencampurkan benda yang bagus, baik, segar dan baru dengan benda yang tidak baik dan kurang elok dan akan menjualnya kepada pelanggan tanpa mempedulikan baik ataupun tidak, kerana yang penting keuntungan.

Ada yang meletakkan tanda harga ‘tersembunyi’ nilai ringgit ditulis besar nilai sen yang hamper-hampir seringgit ditulis kecil. Ada yang meletakkan harga ringgit yang besar untuk berat timbangan yang tidak sampai sekilo dan ditulis kecil pula, gramnya.
Penipuan bukanlah perkara baru. Ia sudah berlaku sejak zaman Nabi SAW lagi. Di zaman Nabi SAW pernah berlaku kejadian di mana Nabi SAW pernah berjalan di hadapan seorang lelaki yang menjual makanan (biji-bijian), Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangan Baginda ke dalam tompokan makanan tersebut. Apabila didapati oleh Baginda makanan itu basah, lalu bertanyalah Baginda kepada lelaki tersebut: "Apa ini wahai tuan punya makanan?" Lelaki itu menjawab: "Basah terkena hujan". Kemudian Nabi SAW bersabda: "Mengapa kamu tidak letakkan yang basah itu di atas sehingga dapat dilihat oleh orang lain?" Baginda seterusnya bersabda yang maksudnya:

"Barangsiapa yang menipu maka bukanlah dia daripada golonganku".(Riwayat Al-Imam Muslim).

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Dari Hakim bin Hizam Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Dua orang sedang berjual beli boleh membuat pilihan selagi keduanya belum berpisah, jika keduanya berlaku jujur dan menjelaskan ciri-ciri dagangan mereka, maka akan diberkati dalam jual beli mereka. Dan jika keduanya berdusta dan menyembunyikan ciri-ciri dagangan mereka, maka akan dihapuskan berkat jual beli mereka itu".(Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Dalam perniagaan , kita juga dilarang memonopoli barang-barang dagangan, iaitu dengan tujuan menahan atau mengumpul barang-barang dagangan untuk dijual dengan harga yang lebih mahal. Misalnya membeli pada waktu harga murah untuk dijual apabila harganya naik, ataupun didapati pada suatu masa bekalan makanan sedang banyak dan berlebih-lebihan, lalu disimpan atau disorok bekalan makanan tersebut dengan tujuan untuk dijual apabila harganya meningkat naik. Perbuatan memonopoli itu adalah haram hukumnya, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Ma'mur katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Barangsiapa memonopoli maka dia adalah bersalah".(Riwayat Al-Imam Muslim).

Oleh yang demikian dalam usaha kita untuk mencari keberkatan dan keredaan Allah Subhanahu Wataala, sifat jujur dan amanah dalam perniagaan adalah sangat penting ada pada diri peniaga. Peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan menaikkan harga barang semata-mata untuk mengaut keuntungan yang berlebihan apa lagi jika harga barang tersebut telah pun ditetapkan harganya oleh kerajaan. Menaikkan harga barang dengan kadar keuntungan yang tidak munasabah dan melanggar peraturan adalah suatu penganiayaan terhadap pengguna kerana perbuatan sedemikian akan memudaratkan dan akan menyebabkan kesempitan hidup kepada pengguna-pengguna, khasnya mereka yang berpendapatan rendah.

Marilah kita sama-sama mensyukuri rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada kita dan berusaha mencarinya semata-mata untuk mendapat keredaan Allah Subhanahu wataala jua.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nuur ayat 37 yang tafsirnya:

"Ibadat itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan Hari Kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan".
Para pemerintah bertanggungjawab dalam menguatkuasakan peraturan, terutamanya peraturan muamalat dalam Islam. (bagaimana nak kuatkuasa jika pemeerintah tidak Islam !) . Mengawal harga barang juga adalah tanggungjawab para pemerintah. Pemerintah jangan hanya berdalih menyuruh rakyat berjimat bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang, atau pemerintah bersekongkol dengan peniaga menaikkan harga barang !.

Bersambung …4

No comments:

Post a Comment