Monday, May 17, 2010

Guru oh guru (KPI Guru) - 5

Ganjaran KPI guru
Oleh Abdul Razak Raaff dan Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2010/05/17


MUHYIDDIN bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (lima dari kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bergambar dengan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan di UMP, Kuantan, semalam.Imbuhan RM900 hingga RM7,500 jika berjaya lonjak prestasi sekolah

KUANTAN: Sempena Hari Guru semalam, kerajaan mengumumkan ganjaran RM900 hingga RM7,500 kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah rendah serta menengah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran, mulai tahun ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata jika kecemerlangan diteruskan dan mereka berjaya mencapai KPI setiap tahun, ganjaran akan diberikan setiap tahun. Beliau berkata, ia selaras konsep mengutamakan pencapaian menerusi satu daripada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada guru yang memberi sumbangan penting kepada rakyat dan negara.

Katanya, ganjaran akan diberi mulai tahun depan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah melepasi sasaran 92 peratus Skor Komposit bagi sekolah menengah dan 84 peratus sekolah rendah.

Beliau berkata, Skor Komposit dikira berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dan sebuah panel akan menilai pencapaian sekolah untuk mereka yang yang layak diberi ganjaran.

"Pengetua dan guru besar yang mencapai KPI akan menerima ganjaran RM7,500, manakala guru dalam kumpulan lima peratus teratas berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan, menerima RM1,800 dan 95 peratus guru berikutnya menerima RM900.
"Ganjaran akan diberi kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah dalam ranking Skor Komposit, iaitu 2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah.

"Kita berharap ia dapat menyuntik semangat baru kepada guru untuk lebih gigih bagi meningkatkan prestasi sekolah serta keberhasilan pelajar," katanya ketika melancarkan sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39 yang bertema Guru Pembina Negara Bangsa, di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dekat sini, semalam.

Hadir sama, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong serta dan Dr Mohd Fuad Zakarshi.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin berkata, walaupun ia membabitkan penambahan perbelanjaan, kerajaan sudah memutuskan memberi ganjaran setiap tahun sehingga masa akan datang.

“Jika sekolah dan pengetua meneruskan usaha serta mencapai kejayaan cemerlang untuk tahun berikutnya, mereka berhak mendapat ganjaran lagi. Kalau meningkat tiap-tiap tahun, pengetua, guru besar dan guru akan dapat ganjaran setiap tahun.

"Apabila panel penilai selesai membuat penilaian termasuk mengambil kira keputusan peperiksaan awam dan keluarkan senarai sekolah yang layak, kita akan bayar seberapa cepat kepada pengetua, guru besar dan guru terbabit," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan empat cadangan Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru yang boleh dilaksanakan segera bagi meringankan beban guru.

Katanya, ia adalah mengurangkan bilangan jawatankuasa peringkat sekolah kepada jumlah yang lebih wajar menerusi pengecilan jawatankuasa dengan menggabung atau memansuhkan bidang tugas bagi membantu guru menumpu perhatian kepada tugas hakiki, selain memastikan pembahagian tugas diagih secara adil untuk mengelak beban tugas tertumpu kepada guru tertentu.

Beliau berkata, jumlah peperiksaan dalaman perlu dikaji semula, bukan saja untuk meringankan beban guru, malah mengelakkan sistem persekolahan menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan.

"Tugas perkeranian di sekolah akan disusun semula menerusi garis panduan terperinci bagi membezakan tanggungjawab hakiki guru dengan tugas perkeranian, sekali gus melonjak kualiti pengajaran dan pembelajaran guru.

"Kursus penting yang perlu dihadiri guru juga akan diselaraskan di peringkat kementerian supaya tidak wujud pertindihan kursus atau guru sama terpaksa mengikuti pelbagai jenis kursus anjuran kementerian, negeri dan daerah," katanya.

Komen saya

1. Setiap kali hari guru ada umum naik pangkat beribu-ribu, itu KUP time based punya.
2. naik pangkat hakiki tak pernah terjadi , tunggu KUP dulu baru dihakikikan,
3. Bila diberi pemangkuan tak ada tempat pula nak isi !, semua sekolah dah ada PK,
dah ada pengetua, sama dengan tak naik pangkat.
4. Kalau ada pengetua yang ligan ganjaran RM 7500 siap hampa, orang orang akan kata,
tu nak ligan 7500, atau orang gelar pengetua 7500. (anggapan buruk)
5. Beban tugas guru, bila disenaraikan yang mana satu tugas hakiki guru, yang mana
satu tugas kerani, saya kata tugas hakiki guru adalah termasuk tugas kerani ,
cuba semak apa tugas guru tingkatan/ guru kelas, guru penasihat. Tugas kerani
adalah seperti buat gaji, taip surat, buka surat. Jadi beban tugas guru tak
selesai selagi kita tak buat senarai tugas guru mata pelajaran dan kokurikulum.

sekian terima kasih. Selamat hari guru

No comments:

Post a Comment