Thursday, July 16, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 7



SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI – 7

16 Julai 2003 adalah satu tarikh penting kerana ia adalah tarikh penyerahan bangunan SMT Pendang kepada Kementerian Pelajaran, yang lebih penting ialah saya turut terlibat dalam urusan penyerahan tersebut, tapi lepas hari itu hingga hari ini saya tertanya-tanya pula adakah patut saya seorang pegawai DG 41 tak berjawatan, sekadar caretaker yang dilantik secara pentadbiran diberi tanggungjawab berat menandatangan dokumen setebal 4 inci, , bangunan dan prasarana bernilai berjuta- juta, ish…ish.. tak patut. Apapun perkara dan peristiwa tersebut telah berlaku.

Penyerahan tersebut bermakna tanggungjawab menguruskan bangunan diserahkan kepada Kementerian Pelajaran, diuruskan oleh JPT dan bermakna sayalah orang yang akan menjaganya. Seorang saja !. Maka saya pun buka sebut harga untuk dapatkan pengawal keselamatan dengan kadar segera kerana asset perlu dijaga segera. Minta bantuan Polis buat rondaan, minta JKKK tolong tengok-tengok. Genap 6 tahun SMT Pendang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Mungkin juga sayalah orang yang akan diminta tandatangan Menyerahkan Bangunan SMT Pendang kepada Bahagian Matrikulasi pada 31 Dis 2009, mungkin sahaja! Kalau tak dirancang betul-betul oleh pegawai atasan di Bahagian Teknik. Saya sudah mula menggambarkan bagaimana Jepun menandatangan menyerah kalah dalam perang dunia kedua. Adakah begitu sekali ?.

Selepas penyerahan bangunan saya sudah mula memeriksa kecacatan bangunan seorang diri, siapalah saya untuk meneliti spesifikasi yang ditetapkan, pun begitu banyak dan panjanglah senarai defect yang diperolehi, yang Nampak oleh mata kasar, Alhamdulillah senarai defect diperbaiki oleh kontraktor.

Satu kelemahan dalam pembinaan SMT Pendang ialah kedudukan pintu utama, ia terletak bukan di jalan utama, yang lain-lain adalah baik. Tersergam indah sebuah kompleks bangunan yang menjadi kebanggaan Warga SMT seluruh Malaysia, ramai yang kagum dengan keelokan rekabentuk berbanding 90 buah SMT seluruh Malaysia. Penduduk daerah Pendang pun turut berbangga dengan kewujudannya, orang kampong pun turut berbangga.


bersambung ... terima kasih

Sunday, July 12, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 6

Pelajar baru, mendapat sekolah baru , setahun pertama pelajar cukup tertib, walaupun ada satu dua kes pelanggaran disiplin, dinding tak di cop tapak kasut, tilam tak di conteng. Sembahyang secara berjemaah disurau, senang hati guru yang mengajar mereka.

Pemantauan awal oleh jemaah nazir memberi komen bahawa ada guru yang mengajar 8 waktu sahaja, memanglah lapan waktu , hanya pelajar tingkatan 4 sahaja yang ada, perkara tersebut telah diterangkan semasa perbincangan dengan mereka, tetapi dalam laporan ditulis juga ada guru yang mengajar 8 waktu sahaja titik.

Laporan sedemikian amat tidak menyeronokkan para guru. Tiada pula komen-komen mengenai kerajinan guru dalam tugasan lain.

Oleh kerana peralatan pengajaran dan pembelajaran belum diterima sepenuhnya, para guru yang berkenaan mengambil inisiatif sendiri dengan membawa pelajar ke SMT lain untuk latihan amali, ada juga peralatan yang dipinjam dari sekolah lain, daya usaha guru amat tinggi untuk tahun tersebut dan tahun berikutnya. Para pekerja kebersihan dan pengawal pun turut serta memainkan peranan mereka tanpa berkira.

Seperti yang saya tulis sebelum ini bahawa saya mengucapkan terima kasih kepada makhluk yang tolong switch on air cond kepada saya. Namun dikalangan mereka ada juga yang suka membuat kacau, ada pengawal yang terserempak dan Nampak mereka sewaktu meronda, ada pelajar yang Nampak mereka sewaktu ke bilik air, maka terjadilah hysteria yang agak berat di SMT Pendang selama 3 hari, puaslah cari ustaz dan bomoh, akhirnya reda juga hysteria tersebut , walau bagaimanapun hysteria tersebut berlaku setiap tahun tetapi secara sederhana dan dapat dikawal terlebih dahulu oleh warden.

Saya ucapkan terima kasih kepada bomoh-bomoh dan ustaz-ustaz yang membantu menyelesaikan masalah tersebut, ada satu kes kami sengaja memanggil ambulan dan doctor dari Pejabat kesihatan Guar Chempedak untuk tidak mahu melayan “hysteria tersebut”, ada juga kesannya walau tak seberapa. Teringat saya kepada ‘Abah Mansor’ ketua warden yang bertukus lumus dalam semua hal diasrama, Saya juga pernah jadi warden tapi komitmen yang diberikan oleh abah mansor meletakkan saya mungkin di rangking ketiga dibawah abah mansor. Satu sijil penghargaanpun tak diberi kepada beliau. Beliau berpindah ke SMT Seberang Perai 1/1/2009. Bulan disember Abah Mansor menunaikan fardu haji, dia ada datang menziarahi saya semasa disana beritahu yang dia dapat bertukar, musim haji tahun tersebut Abah Mansor dan Isteri, Saya dan Isteri, Cikgu Ahmad Fuad dan Isteri dan Pn Fairuzah dan suami telah pergi mengerjakan haji. Syukur Alhamdulillah dapat pergi haji waktu umur muda lagi, amal ibadat secara zahiriah dapat dilaksanakan dengan sempurna, secara batiniah, terserah kepada Allah.


Semasa kami disana guru-guru SMT Pendang ditemuduga untuk menjadi pensyarah Matrikulasi, Abah Mansor tidak minta, Cikgu Fuad sempat temuduga, saya, isteri dan cikgu Fairuzah tidak sempat temuduga, Isteri saya membuat keputusan untuk tidak memohon, saya dan Fairuzah menghadiri temuduga pada 21 Mac 2009 sebagai tindakan awal lebih baik temuduga dari tak ditemuduga, hati saya lebih berat kekal di SMT. Dah 14 tahun saya bertugas di SMT, rambut gugur kerana SMT, mata mulai kabur kerana SMT silap-silap terkubur kerana SMT !!.


bersambung... terima kasih

Wednesday, July 8, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 5

Cyber Café.

Dalam keadaan serba tiada peralatan, guru-guru dan kakitangan telah menjalankan tugas mereka, permohonan kemasukan ke tingkatan 4 telah diiklankan oleh JPT. Borang-borang telah dijual kepada calon-calon. SMT Pendang menjual borang yang dibekalkan kepada SMT SP2, kerana kita belum ada akaun untuk simpanan hasil .

Borang yang dihantar oleh calon agak banyak, borang tersebut perlu di key in kedalam system . Bagaimana nak key ini ? , computer ada sebuah iaitu yang saya pinjamkan, saya membuat keputusan untuk pergi key in di cyber café.

Maka saya , cikgu Ahmad Dollah dan seorang lagi guru telah pergi ke sebuah cyber café di Bedong pada sebelah malam untuk key in permohonan pelajar. Untuk key in sebelah siang agak jem. Tak selesai juga, pada bulan Januari 2004 saya minta cikgu Habibah pergi key in di SMT Alor Setar, Pengetuanya En Nordin sedia membantu. Akhirnya selesai urusan permohonan pelajar untuk kemasukan kali pertama SMT Pendang.

Pendaftaran akan dilakukan pada 15 Feb 2004, kami memohon bantuan computer dari SMT Alor Setar bagi melicinkan urusan pendaftaran, segalanya telah diatur rapi, Pengetua pertama SMT Pendang En Mohd Zanal Dirin dengan kerjasama semua guru telah berjaya dalam urusan pendaftaran pelajar kumpulan pertama SMT Pendang. Ramai juga yang masuk dan ramai pula yang minta tukar sekolah atau balik kesekolah asal. Jumlam pelajar pertama SMT Pendang adalah seramai 284 orang. Kursus yang ditawarkan ialah Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrik, Perdagangan, Pertanian. Pengurusan Makanan dan Pengajian Pakaian.

Pelajar dididik dengan penuh dedikasi, penekanan terhadap disiplin diberi keutamaan. Saya bangga dengan pelajar kumpulan pertama yang begitu tertib namun begitu ada satu kes yang membuat SMT Pendang glamour dalam sekelip mata sahaja.

Kes pertama dikalangan pelajar ialah mereka nak tunjuk hero, mungkin untuk di’tabal’kan sebagai ketua atau apa saja yang boleh menunjukkan siapa lebih hebat. Maka terjadilah pergaduhan di antara 15 pelajar menghentam seorang pelajar.

Saya tidak mahu mengulas kes tersebut, walaupun laporan lengkapnya ada pada saya demi menjaga keharmonian para pelajar tersebut. Di pendekkan cerita muncul dikaca TV3 kes tersebut, pihak polis pula memberi komen dan masuk dalam surat khabar, maka glamour sekejap SMT Pendang. Kekecohan kes tersebut telah membawa timbalan Menteri Pelajaran turun membuat tinjauan , dan saya baru kali pertama menguruskan sidang akhbar seorang timbalan menteri, sidang akhbar tersebut tidak memberi apa-apa manfaat terhadap kes, hanya menguntungkan timbalan menteri tersebut.

Kesemua pelajar yang terlibat telah dibuang sekolah. Ibu bapa menyalahkan sekolah kerana kes tersebut, ada yang tak mahu mengakui kelasahan anak- anak. Namun kebenaran tetap akan muncul walaupun ambil masa yang agak lama.

JPN pun kalut sebab menteri ambil berat kes tersebut, kalaulah ditanya siapa PK HEM ketika itu, tentu pegawai JPN tak tau nak jawab. Apa tidaknya PK HEM belum ada lantikan, PKP belum ada lantikan, PK Ko belum ada lantikan , mereka hanya sekadar jalankan tugas secara pentadbiran sekolah sahaja. Petang tersebut sebelum timbalan menteri sampai, Pegawai JPN sampai dulu bersama surat lantikan ketiga-tiga jawatan tersebut. Senang saja , kalaulah dibuat awal-awal dulu lantikan tersebut, mungkin kes sebegini tidak berlaku.

Sesuatu yang berlaku tentu ada hikmahnya. Ada kelemahan-kelemahan di sekolah yang perlu diperbaiki, ada kelemahan-kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki. Kita bukan manusia yan perfect. Kerana kes tersebut saya telah berpindah rumah !.


Bersambung… terima kasih

Tuesday, July 7, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 4

Sejak bulan Oktober saya mulai buat kerja di SMT Pendang, SMT SP2 saya sudah tidak pergi, kalau perlu bantuan baru saya pergi. Saya hairan setiap pagi saya datang air-cond pejabat telah di switch on, pada hal saya telah off setiap petang bila saya hendak pulang. Saya Tanya seorang pekerja Indonesia namanya Fendi yang ditempatkan disini untuk kerja-kerja akhir samada dia yang masuk kepejabat. Bukan saya nak marah kalau dia masuk. Dia kata tidak masuk. Banyak kali saya amati kejadian tersebut.

Siapa pula yang tolong ?

Jadi saya ambil keputusan mengucapkan terima kasih kepada yang tolong . “ Terima kasih kerana tolong buka air cond” setiap kali saya masuk pejabat waktu pagi.

Semua tempat dalam SMT Pendang dah jadi biasa bagi saya, malam pun saya datang chek kalau – kalau ada pencuri, beraninya saya waktu itu. Berani kerana itu tanggungjawab saya. Hari cuti saya bawa isteri dan anak-anak bermain di bangunan dan kawasan sekolah. Anak-anak saya suka bilik SAC, boleh guling – guling atas carpet.

Saya juga kerap masuk kerumah yang bakal saya duduk, dua buah rumah yang saya jangka akan duduk. Kalau tak dapat yang ini, akan dapat yang itu. ( Cikgu Fuad adalah guru yang pertama mendiami kuarters di ikuti oleh saya)

Saya mula memperkenalkan diri kepada Tok Imam. Tok Penghulu. Ketua Pos, Ahli Parlimen, Pegawai Daerah, Ketua Polis, PPD tentang kewujudan SMT Pendang. Saya dan tok Imam bincang untuk memohon besarkan Masjid (bincang sahaja, lain-lain mereka yang buat), telefon belum ada, mohon CDMA sahaja. Majlis Daerah tak beri khidmat angkut sampah kerana diluar kawasan, saya minta tolong … hebatnya saya berinteraksi.

Nak buat kerja , komputer tiada, saya bagi pinjam computer Desktop dan Lap Top saya termasuk printer, nak beritahu baiknya saya demi SMT Pendang tercinta.

Kami semua berusaha keras untuk membentuk budaya kerja yang cemerlang di SMT Pendang, lebih kurang kira halal.

Dalam bulan Oktober banyak syarikat pembekal telah menghantar barang-barang seperti kerusi, meja , almari, dan peralatan lain, semua itu saya telah rekod dalam kew 313, kew 312, kew 314 serta direkodkan diatas alat itu sendiri. Semasa order saya juga meminta syarikat pembekal menulis hak kerajaan dan no inventori di sesetengah barang. Ini akan memudahkan kerja saya.

Dua orang juruteknik dari SMT SP2 juga datang membantu beberapa hari, kami membuat pemeriksaan keatas barangan yang diterima serta merekod, saya juga datang memantau kerja-kerja memasang perabot dan barang-barang elektrik yang lain.

Wan Salita dan Roziah banyak juga membantu dalam urusan masing-masing, begitu juga Pn Norizam dan Maheran.

Dokumen-dokumen berkaitan pentadbiran sekolah dan pengurusan pelajar telah kami sediakan, SMT lain turut membantu terutamanya SMT SP2, saya berbincang dengan Tn Hj Selamat , timbalan pengarah BPTV mengenai rekod inventori dan system indeks fail yang hendak digunakan.

Pejabat Pelajaran Daerah Padang Terap Pendang yang letaknya 62 km kerap juga saya kunjungi untuk mendapatkan bantuan berkaitan , buku teks dan lain-lain. Saya juga ke JPN untuk mendapatkan borang pendaftaran sekolah .


Banyak orang tersilap jalan apabila mencari SMT Pendang, mereka selalunya akan pergi ke Pekan Pendang dahulu, sebenarnya ia lebih dekat dan senang jika datang dari arah Pekan Guar Chempedak. Saya juga telah menempah dua buah sign board saiz sederhana sebagai pandu arah ke SMT Pendang .


Bersambung… terima kasih.

Monday, July 6, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 3

Siapa pegawai paling awal di SMT Pendang ?.

Ramai dikalangan guru yang kononnya akan ditempatkan di sini, ramai juga yang dikatakan akan jadi pengetua disini. Untuk kepastian, ramai jugalah yang datang bertemu saya selain dari kontraktor yang berbagai sub - kepala kerja. Untuk makluman saya mula pakai hand phone sebab jadi caretaker SMT Pendang, Kawan-kawan memang ramai yang pakai hand phone, saya pada mulanya tak mau pakai hand phone, sebab tak ada kepentingan pada waktu itu ( tahun 2003) tak ada masalahpun tak pakai handphone.

Ada yang kata cikgu xxx akan jadi pengetua, ada yang kata ustaz yyy dah dipanggil interview. Saya kata saya tidak tahu kerana saya tahu belum ada siapapun yang disenaraikan. Guru saya tahu, dalam senarai guru SMT Pendang Pn Rozita Abdul Rahim adalah no 1 . Pn Marina dan ustazah ...? .. Jln Stadium tak tersenarai. Yang lain-lain cikgu Jamil, Cikgu Fuad, cikgu Hasbullah, Najla, Habibah. Mansor. Zainol Sailan

Berdasarkan senarai guru tersebut saya jangka SMT Pendang akan mempunyai satu team yang kuat, ramai guru baru posting yang masih muda, kuat, berpendidikan, bermotivasi ?


Siapakah kakitangan sokongan yang paling ‘senior’ di SMT Pendang ?

Cuba lah teka…

Orang yang hantar barang , kontraktor yang mai nak bagi kad bisnes, akan sepontan tanya saya itukah pengetua. Gaya bahasa, ketegasan dan arahan yang dikeluarkan oleh beliau cukup hebat….

Pegawai tersebut melapor diri kepada saya pada bulan Ogos 2003, saya kata kepadanya pergilah belajar di SP2, banyak perkara boleh diambil disana dalam urusan terimaan dan rekod barang, dia pun sekali sekala pergilah menuntut ilmu disana, sementara saya seorang uruskan di SMT. Pegawai tersebut saya minta datang ke SMT Pendang dan duduk di site office dengan seorang kerani perempuan, berani lah sikit.

Selang tak berapa lama datang seorang lagi pegawai melapor diri kepada saya, eloklah sudah ada dua orang, saya kata pakat dua orang ini, pergi ke SP2 sekali sekala tuntut ilmu.

Selang tak berapa lama lagi datang seorang lagi lapor diri, kemudian datang lagi lapor diri. Dah ada 4 orang.

Senarai Guru tahun 2004

1.Mohd Zanal Dirin ( Pengetua)
2.Lutfi bin Abu Hanifah (PKP)
3.Tn Hj Ahmad Fuad bin Mohamad Darus (PK HEM)
4.Mohd Nasir bin Darus (PKKO)
5.Ahmad bin Dollah
6.Hasbullah bin Khamis @ Man
7.Hjh Che Puteh bt Md Noor
8.Habibah bt Aziz
9.Mansor bin Shamsuddin
10.Rozita bt Abdul Rahim
11.Jamil bin Suaib
12.Najla bt Ahmad
13.Zainol bin Sailan
14.Asri bin Mansor
15.Ruhaya bt Hashim
16.Fairuzah bt Mahmod
17.Muhammad Nahar
18.Rap Ishkandar Raja Baharuddin
19.Asrul Sani bin Ishak @ Jahaya
20.Ma’az bin abdul Ghani
21.Mahamad Mahazan bin Ismail
22.Mohammad Khairul Azhar bin Kari
23.Ahmad Syazwan bin Sharifudeen
24.Moha Zam-Zam bin Ahmad
25.Mohd Hailmy bin Razali

Inilah senarai guru yang buat kerja kerani, buat kerja juruteknik, buat kerja penyelia asrama, kerja macam-macam kerja…. Saya bangga jadi guru smt Pendang.

bersambung... terima kasih

Thursday, July 2, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 2

Mesyuarat Pengoperasian SMT Pendang.

Maka naik bas lah saya menuju KL dari stetsen bas ekpres Sg Petani. Tempat nak menginap dah tau sebab semasa di SMT Lahad Datu dulu kerap datang Lembaga Peperiksaan Jln Duta, sebelah hentian Jln Duta ada Pusat Perkembangan Kurikulum, ada asrama. (lekehnya pengetua tidur di asrama) sewa semalam 3 ringgit. Tidak mengapa asal senang, sampai pukul 5 pagi terus masuk asrama kemudian pukul 7.30 am naik teksi ke pusat Bandar damansara. Balik naik teksi lebih senang.

Tuan-tuan dipilih untuk menjadi caretaker sekolah menengah teknik baru, Pendang, Pontian dan Jengka, Sepang belum mula pembinaan. Tapi tuan-tuan tak dijanjikan apa-apa jawatan apabila sekolah beroperasi kelak. Salah seorang tarik diri. Bukan sebab tak dijanjikan jawatan sebaliknya adalah kerana faktor usia dan kesihatan. Saya tetap berfikiran positif, inilah peluang untuk mempelajari banyak lagi perkara dalam pengurusan dan operasi sekolah.

Saya tidak nafikan jawatan adalah penting dalam kerjaya perguruan saya, jika tak dapat tentu ada hikmah disebaliknya, jadi tak ada masalah kalau tak dapatpun. Kalau dapat itu adalah satu amanah.

Surat panggilan jemput bermesyuarat, sebaliknya datang membuat tugasan untuk pembukaan sekolah teknik baru, buat bid untuk peralatan, semua jenis peralatan. Bagai nak pecah kepala, ubat darah tinggi memang bawa selalu tak pernah mis.

Maka, kerja saya kerap berulang alik ke Jabatan Pendidikan Teknikal, kedai mamak di blok F jadi biasa, tak ada orang lain, sentiasa saja ada pegawai kerajaan yang makan disitu tak kira masa. Kerja waktu mana ?. (andaian negative – sebab tu bila call tak pernah angkat). Ali Maju, dan lain-lain.

Oleh kerana SMT Pendang yang akan dibuka dahulu sebelum 3 lagi SMT, saya lebih teruk menyiapkan tugasan berbanding 3 lagi, mereka boleh cut and paste saja. Saya seorang yang kerap ada di Jabatan Teknikal berbanding Pontian dan Jengka, saya Nampak seolah- olah bekerja disana. Dulu takut juga dengan pengarah BPTV, En Adziz Abas, lama kelaman jadi biasa saja, saya pula risau dibaik sangat. Pegawai disana tak kisah dan tak takutpun., boleh masuk dalam bilik dia buat kerja. Selalu juga Adziz Abas SMS kepada saya, bukan saya SMS kat dia, saya pun pernah pergi rumah di di Perlis. Hormat tetap hormat, orang baik kepada kita mesti kita hormat, bukan ambil kesempatan, Awak masih muda kalau tidak saya akan cadangkan awak sebagai Pengetua- Jika jadi pengetua itu baik kepada saya, insya Allah saya akan dapat, jika tidak baik kepada saya, tak dapat pun tidak mengapa.

Saya briefing perkembangan SMT Pendang kepada Tn Hj Adziz Abas, dia tegur satu ejaan saya dalam power point, saya tak pinda. Lain kali kalau dia tegur terus pinda kata seorang pegawai di JPT selepas taklimat tersebut. Beliau pernah datang melawat SMT Pendang sebelum pembukaan.

Pada kebiasanya hari Ahad Malam saya akan naik bas ke KL dan hari Khamis saya akan naik bas pulang, ada juga dua tiga kali saya pergi dengan kereta sendiri. Bulan puasa, pukul tiga saya bertolak, sampai ngam-ngam pukul 8.00 pagi terus mesyuarat, habis mesyuarat dan kerja terus pandu pulang.

Ramailah kontraktor-kontraktor cari saya, saya kata saya tidak boleh berurusan, saya bukan pengetua dan bukan pegawai untuk urusan tersebut. Saya uruskan pembelian perabot, sempatlah saya pergi melawat kilang buat katil, buat tilam, buat kerusi, ambil peluang melawat cari pengetahuan dan pengalaman. Pergi jumpa pegawai bahagian perbendaharaan dan banyak lagi. Diperkenalkan kepada pegawai-pegawai bahagian lain sewaktu minum di ali maju.


Teruknya kerja saya sebagai caretaker, saya seorang saja untuk sekolah yang begitu besar, Tn Hj Selamat minta saya cari orang bantu, saya pun minta bantuan tapi tak dapat, sapa pun tak mau mai pendang. Tanya di SMT Jln Satadium , SP1, SP2 seorang pun tak berminat. Last sekali saya seorang saja yang teruk banyak. Patut saya diberi surat kepujian atas tugas saya ini, Pengarah pun lupa, sibuk hingga tak sempat nak ingat. (bukan itu yang saya minta, tapi itu yang akan saya beri bila saya jadi Pengarah)

Akhirnya, Dua orang juruteknik dari SMT SP2 datang bantu saya memeriksa barang-barang yang diterima, terima kasih banyak-banyak. Seorang Pembantu Tadbir di SMT SP1 tolong buat baucer bayaran untuk Launching Grant. Yang mai minta saya rekemen mereka mengajar di SMT Pendang ramai. ( sorry saya tak rekemen, Cuma seorang sahaja yang saya rekemen iaitu Cikgu Azman Yaakob, tapi dilambatkan perpindahannya setahun. Azman adalah classmate dan kawan lama sekolah menengah dulu. saya nampak borang permohonan nya di sebelah meja En Zamri).

Semua guru kumpulan pertama saya dah periksa latar belakang berdasarkan borang pertukaran, manakala guru first posting saya hanya lihat list mereka sahaja. Cikgu Asrul ada orang datang pastikan dia dapat di SMT Pendang.


Berikut adalah antara mesyuarat yang diadakan dalam usaha mewujudkan SMT Pendang.

1 . 09 Julai – 11 Julai 2003 Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian 4 buah Sekolah Menengah Teknik baru bertempat di JPT

2. 16 Julai – 17 Julai 2003 , Cadangan Pembinaan SMT Pendang – Pemeriksaan Akhir untuk Penyerahan Projek bertempat di SMT Pendang
3. 14 Ogos 2003 - Cadangan membina dan menyiapkan sekolah menengah teknik pendang – Pemeriksaan Kecatatan no 1. beretmpat di SMT Pendang.
4. 19 – 21 Ogos 2003 - Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian Sekolah Menengah Teknik Pendang bertempat di JPT
5. 26 – 29 Ogos 2003 - Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian Sekolah Menengah Teknik Pendang bertempat di JPT

6. 3 -5 Sept 2003 - Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian Sekolah Menengah Teknik Pendang bertempat di JPT
7. 16 – 19 Sept 2003- Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian Sekolah Menengah Teknik Pendang bertempat di JPT

8. 21 – 25 Sept 2003 - Arahan Pemeriksaan spesifikasi dan penerimaan peralatan dan perabot SM Teknik Pendang bertempat di SMT Pendang
9. 12 Okt – Jan 2004- Persediaan untuk Pengoperasian SMT Pendang – arahan bertugas di SMT Pendang setiap hari kerja bertempat di SMT Pendang
10. 10 Nov 2003- Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian Sekolah Menengah Teknik Pendang
bertempat di JPT
11. 15 Dis 2003- Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian Sekolah Menengah Teknik Pendang bertempat di JPT
12. 19 Dis 2003- Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian Sekolah Menengah Teknik Pendang bertempat di JPT
13. 12 Julai 2004 - Kemaskini Dokumen pembelian perabot SMT Pendang bertempat di JPT


Itulah antara mesyuarat yang saya hadir semasa nak membuka sekolah menengah teknik pendang.

bersambung ... terima kasih

Wednesday, July 1, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 1

Assalamuaikum wbt

Sementara saya masih ingat dan tidak lupa saya akan ceritakan serba sedikit bagaimana penglibatan saya dalam membuka sekolah Menengah Teknik Pendang, Saya bukanlah pembuat dasar terhadap wujudnya institusi tersebut, saya hanyalah pelaksana dasar dan sumbangan saya amatlah sedikit dan kecil sahaja, namun penglibatan saya telah memberi banyak pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan dan penglibatan ini juga memerlukan banyak pengorbanan.

Dalam banyak-banyak pegawai kenapa saya yang dipilih?

Mungkin ini hanya satu jawapan, jawapan yang sebenarnya Allah yang tahu, kerana dia adalah penentu takdir seseorang.

Ceritanya begini. Saya melapor diri di SMV Lahad Datu pada 9 Julai 1995. ( apa kaitannya?..) sebuah sekolah vokasional pertanian yang menawarkan kursus vokasional seperti Pengurusan Ladang ( subjek saya dan Cikgu Rahim Razak & Ariffin) , Kejenteraan Ladang (subjek Cikgu Jalil dan wak Fendi), Pengurusan Penternakan (subjek cikgu Hilman), Pengeluaran Tanaman (subjek cikgu Sobri), hortikultur dan Landskap ( subjek Cikgu Datu Kishra dan Shukri) dan Pengurusan Perniagaan (cikgu Razak).

Kami memang pakar dalam bidang masing-masing dan banyak kesan yang ditinggalkan disekolah tersebut. Pelajar pengurusan ladang belum habis SPM dah dapat tawaran kerja, selalunya saya tak galakkan pelajar mengisi kerja, saya harap mereka dapat sambung belajar lagi. ( nak beritahu hebatnya cikgu yang mengajar)

Saya beri komitmen yang penuh terhadap tugas di sekolah, masih muda, masih bersemangat, tiada kerja lain nak dibuat, anak belum ada, saudara mara duduk jauh antara faktor yang mendorong saya sentiasa ada disekolah.

Rajinnya cikgu !!! , nak ambil jawatan ni. Tahun 1995 kena jadi Penyelaras Kokurikulum sama taraf dengan Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah gred A. Cayalah cikgu .. cikgu boleh buat… nah ambil jawatan ni … kena jadi Ketua Bidang Kemanusiaan,,, Respeklah cikgu …. Pengurusan pandai, budak-budak pun suka.. nah ambil jawatan HEM.. Ehh..ehh tak sangka makin menjadi sekolah kita, pelajar makin ramai, guru makin bertambah… bab-bab kewangan cikgu pandai kan , cikgu jadilah PK1 senang cerita.

Mulalah saya jadi PK1 atau nama sebenarnya Penolong Kanan Pentadbiran mulai 1 Julai 2001 hingga 31 Dis 2002 di SM Teknik Lahad Datu. Semasa bertugas di SMT Lahad Datu kami menerima peruntukan bina loji air sendiri . Terima 2 blok bangunan sekolah, dua blok asrama dan satu blok rumah warden dan satu blok rumah guru. Banyaklah pengetahuan diperolehi semasa menguruskan semua tersebut dan kenallah dengan pegawai-pegawai kanan di JPT dari Ahamad Sipon sampailah ke En Zamri.
Saya memang kenal mereka, tak taulah mereka kenal saya atau tidak.

Hello , En Khalid saya nak minta tukar.

Saya dah dengar ura-ura SMT Pendang akan dibuka pada tahun 2001, dalam hati dah pasang niat, saya akan bertukar ke SMT Pendang suatu hari nanti, tapi rasa berat hati nak tinggalkan SMT Lahad Datu, projek padang golf cadang nak buat tahun 2002.

Semasa cuti bulan Disember 2001 saya datang tengok tapak SMT Pendang kira-kira 20 km dari kampong saya, ini peluang baik untuk pindah ke semenanjung, jangan lepaskan peluang ini, bila sekolah akan beroperasi, kata mereka tahun 2003. Maka isilah borang pindah pada tahun 2002. Sebelum pada itu semasa mesyuarat Penolong Kanan di Miri saya dah jumpa dengan En Khalid dan En Aziz Mastam minta tolong listkan nama saya di SMT Pendang, En Khalid kata Insya Allah.. Sebelum tu dah jumpa Tn Hj Selamat Amat Judi, sebelum tu dah jumpa Hj Ehsam Samin dan Hj Yem. Kira ok..le.

Tak kisah le dapat ke tak dapat. Bulan Dis 2002 saya dan keluarga balik bercuti, kami basuh rumah baru beli di Amanjaya. Dapat berita kata kami dapat surat bertukar ke SMT Sg Petani 2. Ait kata nak dapat Pendang, macam mana boleh tertukar ke SP2. Sebelum balik ke Lahad Datu saya dan isteri lapor diri dulu dengan Pengetua SMT SP 2 dan tulis surat minta tangguh 1 bulan, macam-macam nak diurus , kereta perlu diperiksa sebelum masuk kapal, dokumen serah tugas belum buat. Antara gembira dan tak gembira, 7 tahun di sana. Kawan-kawan baik tak ada yang dengki, bagi sokongan adalah, kerjasama kuat, kerja rajin, orang kampong hormat ( saya siap jadi Imam kampong lagi), akhirnya saya mengambil keputusan bertukar.

SMT Pendang macam mana ?

Buat-buat tak kisah, mengajar saja di Sungai Petani, 5 tahun lagi kita pindah ke SMT Pendang. SMT Pendang tak siap lagi pembukaan tahun 2003 ditangguhkan. Mengajarlah dengan riang di SMT SP2 dibawah seorang pengetua yang begitu tegas dan saya suka dengan ketegasannya. Sebelum ini pun sudah kenal dengan Hjh Hamidah, kenal masa mesyuarat Pengetua di Ipoh, serentak dengan KAT di SMT Ipoh. Saya wakil tanggung kerja Pengetua kerana pengetua Berkursus di Nova Scotia , Amerika. Kami pi beli baju batik kerana diarahkan memakai baju batik secara tergempar untuk majlis makan malam bersama menteri besar Perak, Nizar belum ada waktu itu. Bila bertugas dibawah pentadbiran Hjh Hamidah, saya bai’ah taat setia dan minta beliau tak memperkenalkan saya sebagai bekas Penolong Kanan. Beberapa pegawai di JPT beri cadangan supaya saya dilantik sebagai PK di SP2 kerana PK nya telah bertukar, Hjh Hamidah tidak setuju. Kerana saya masih muda. Baru 35 tahun, nanti timbul kontroversi.

Maka saya pun mula mengajar dengan riangnya, tak ada beban kerja pengurusan, subjek PJK saja, waktu PJK saya curi-curi ajar silat ( saya kata ada dalam sukatan- tak percaya sila rujuk sukatan PJK tingkatan 4 dan 5). Tak senang juga… nak ambil pengurus kelab dan persatuan cikgunya tiada,.. nah jadi pegawai verifikasi. Boleh saja, nah ajar Pemprosesan Maklumat, tak ada masalah.

Mengajarlah saya sampai bulan Julai 2003 tiba – tiba pada suatu hari dalam bulan Julai.
Mana satu Pengetua SMT Pendang?

Sedang berbual dalam bilik guru, tiba – tiba ada orang datang cari Pengetua SMT Pendang. Mana satu cikgu Lutfi , berubah air muka saya sebab dia Tanya mana satu cikgu Lutfi Pengetua SMT Pendang. Bila pula cikgu Lutfi ni jadi Pengetua Teknik Pendang.

Soal pi soal mai.. dia adalah seorang kontraktor yang mahu menjual barang niaganya. Mana tau saya jadi pengetua teknik pendang? Adalah orang bagi tahu. Orang mana ? Mana boleh bagi tau. Nampaknya kontraktor dah tau siapa pengetua teknik pendang. Saya respek kepadanya kerana dia dapat maklumat terlalu awal, nak bisnes memang kena macam itu, peluang mesti dicari.

Saya sedar diri saya, takkan JPT nak lantik saya jadi Pengetua, kerana dalam SSM bukan boleh lantik macam tu saja, ada syarat-syaratnya dan saya belum pun melepasi syarat-syarat tersebut, syarat umurpun belum lulus.

Selang tak berapa hari kerani bagi surat kepada saya bertarikh 2 Julai 2003 Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian 4 buah sekolah menengah teknik baru pada 9 hingga 11 Julai 2003, bertempat di bilik katalis, Jabatan Pendidikan Teknikal. Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. Maklumat bocor lebih awal, saya tidak salahkan kontraktor kerana mereka terpaksa bersaing, saya tak salahkan pegawai atau sesiapa yang membocor maklumat kerana ia bukan maklumat terperingkat. Saya pun tau takkan depa tak semena-mena nak lantik saya jadi pengetua. Kalau masih SSB saya ada potensi besar (mungkin).

Maka bermulalah gurauan kawan-kawan memanggil saya Tn Pengetua SMT Pendang, saya faham itu hanya gurauan sahaja. Insya Allah kalau ada rezeki.


bersambung... terima kasih