Monday, November 23, 2009

LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 3



Simpan wang dalam Tabung Haji

Saya telah mendisiplinkan diri supaya setiap kali mendapat gaji mesti membuat simpanan dalam Tabung Haji, simpan tak banyak ikut keadaan, kadang 50 kadang 100, disamping itu saya menabung juga untuk anak-anak, seorang 10 ringgit. Yang penting istiqamah dan displinkan diri.

Tabung Haji Lahad Datu awal-awal dahulu terletak tingkat 1 di bangunan kedai , tak ingat jalan dan kedai apa. Pengurusnya adalah Hj Suhaimi , orang semenanjung, tinggal di Taman CL, Lahad Datu, saya pun tinggal di taman tersebut. Kemudian Tabung Haji pindah kebangunan kedai yang baru dekat juga dengan Lahad Datu Shopping Centre, kalau belum berubah ketempat lain. Sudah 6 tahun saya tinggalkan Lahad Datu.

Orang kampong yang tak berpendapatan tetap pun boleh cukup wang untuk ke tanah suci, ini kan pula saya yang bergaji tetap, malu sangat kalau tak cukup wang untuk ketanah suci.

Keadaan sekeliling kita yang banyak mempengaruhi kita, ibu bapa sudah pergi haji, Pengetua sudah pergi haji, kawan-kawan sudah pergi haji, jadi kita pun kena pergi haji. Orang yang dah meninggal pun di ‘haji’ kan. (anak-anak yang soleh akan buat haji untuk ibu bapa mereka, tak mampu buat sendiri kena upah).

Dan Saya mengambil kesimpulan semua orang Islam adalah Haji dan Hajjah, walaupun semasa hidup mereka tidak berkesempatan menunaikan haji, kerana anak-anak akan melaksanakan untuk mereka !. Wassalam

Saturday, November 21, 2009

LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 2



Tarikh Ikut Giliran

Semasa mendaftar saya telah diberikan giliran pada tahun 2011, saya hanya mendaftar dengan isteri saya sahaja, tidak dalam kumpulan saudara atau orang kampong yang lain. Sengaja berbuat demikian !. Pada tahun 1999 kedua ibu bapa saya telah pergi mengerjakan haji bersama emak saudara saya dan suaminya.

Saya tidak dapat menghantar mereka, kerana waktu itu saya bertugas di Lahad Datu, Sabah. Orang kata pergi ramai-ramai dengan saudara mara atau orang kampung seronok, Namun saya tidak berpendapat sedemikian. Bagi saya lebih seronok mengenali kawan baru, semasa mengerjakan haji. Dapat mewujudkan silatulrahim yang baru.

Banyak terjadi dugaan atau ujian keatas mereka yang pergi sekeluarga atau sekampung, bertengkar, bermasam muka malah berkelahi. Tujuan mengerjakan haji yang baik telah terhapus dengan kes-kes sedemikian.

Pada tahun 2011 umur saya dan isteri adalah 43 tahun, umur yang sedang elok untuk mengubah diri, kata orang, selepas umur 40 jika diri masih tak berubah, sampai ke sut tak berubah, faktor umur amat saya ambil berat dalam hal ini, saya takut juga kalau saya tergolong dalam golongan orang yang tak berubah. Saya waktu itu dalam kategori insan Islam biasa, sembahyang, puasa, buat baik, sopan santun, ada jemputan saya pergi, orang minta tolong, saya tolong, Perangai jahat tak ada, hasad dengki, tak banyak, hasil muhasabah diri, saya bukanlah golongan orang yang ‘jahat’ atau jahil.

Tapi kenapa takut pada umur 40 tahun. 40 tahun adalah umur ‘turning point’ satu umur yang mana, keadaan ekonomi diri mulai kukuh, keadaan rumah tangga sedang stabil, tolak ansur dan bermasyarakat telah ada, fikiran bertambah matang, tanggungjawab di tempat bekerja diberikan kepada kita.

Saya hanya bimbang jika saya tidak jadi lebik baik dari keadaan umur sebelum 40. Atau saya jadi lebih buruk dari keadaan saya yang sedia ada, manalah tahu, dengan ekonomi yang kukuh, saya mula nak bergaya melebihi pendapatan, ini akan membawa kepada gejala penyelewangan dan tipu daya, dengan keluarga yang dah stabil, manalah tahu kalau saya cadang nak kahwin lagi, ini akan membawa porak peranda kepada anak- anak, manalah tahu bila dah umur 40, saya hanya mahu orang mendengar kata saya sahaja kerana dah jadi orang ‘berpengalaman’. Jadi umur 40 tahun perlu di beri perhatian oleh semua orang.

Umur 40 , tahun masihi ke tahun hijrah ?.

Saya rasa sukar kalau dalam keadaan biasa untuk kita kira umur dalam tahun hijrah, tapi dengan adanya perisian komputer yang boleh kira umur kita dalam tahun hijrah, lebih mudah. Cuba cari ‘converter from Hijr to Gregory’ atau sebaliknya, kita dapat tahun dengan tepat, siap dengan hari kita dilahirkan.

Saya hanya tahu saya dilahirkan 2 hari sebelum hari raya puasa, hari buat ketupat !, sukar nak diingat tarikh sebenar, perseolannya puasa tahun tersebut 30 hari atau 29 hari?

Elok lah jika kita mengambil kesempatan dari teknologi yang ada untuk mengetahui, hari, tarikh lahir dalam tahun hijrah.

Tahun 2008M umur saya adalah 40 tahun , manakala mengikut takwim hijrah umur saya 41 tahun. Kita hanya mampu merancang, yang nak beri adalah Allah swt. Saya dirancang ke Tanah Suci pada tahun 2011 ketika umur 43, tapi Allah telah tentukan saya pergi tahun 2009 ketika umur 40 – 41 tahun. Syukur Alhamdulillah. Wassalam

Friday, November 20, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 33

Assalamualaikum wbt.

Tahun lepas, pada tarikh yang sama dengan hari ini iaitu 20 Nov 2008 (hari Khamis), Namun tahun hijrah tarikhnya tidak sama. 20 Nov 2008 bersamaan 22 Zulkaedah 1429, 20 Nov 2009 bersamaan 3 Zulhijjah 1430, seminggu lagi nak hari raya korban.

Pada tarikh 20 Nov 2008, saya memulakan langkah musafir untuk mengerjakan Ibadat Haji dari rumah No G2, Kuarters Guru, SMT Pendang, Pokok Tai 06720 Pendang, Kedah.

Satu kenangan yang mungkin akan terlupa jika tak direkodkan. Sukar nak akui “tak mungkin dilupakan” kerana dalam Al Quran pun ada menyatakan sifat manusia iaitu Pelupa. Kalau lah blog ini tak digodam oleh sesiapa dapatlah ditatap semula.

Sebelum berangkat ke Tanah Suci, pelajar-pelajar SMT Pendang telah mengadakan bacaan Yassin kali kedua untuk kami berdua bertempat disurau SMT Pendang. Sebelum ini mereka sudah baca untuk Saya, Cikgu Fuad, Cikgu Rozita, Cikgu Mansor dan Cikgu Fairuzah. Kali ini khas untuk kami berdua, bertuahnya saya, bacaan ikhlas dari anak murid saya.

Waktu tersebut guru-guru telah bercuti akhir tahun, tinggal pelajar yang mengambil peperiksaan SPM sahaja.

Ketika Berhadapan Kaabah, saya sempat berdoa untuk semua pelajar SMT Pendang, semoga Allah memberi kejayaan kepada mereka di dunia dan akhirat. Untuk wajah-wajah tertentu ada doa khusus untuk mereka. Dan saya ingat tarikh peperiksaan kertas Pengajian Keusahawanan, saya berada dihadapan Kaabah dan memohon keampunan kalau-kalau saya kurang memberi perhatian ketika kelas.

Melalui blog ini saya akan menceritakan pengalaman mengerjakan haji, manalah tahu, apa yang saya ceritakan itu akan dapat dijadikan iktibar untuk diri saya dan tuan/puan yang membacanya. Sekadar berkongsi pengalaman dengan mereka yang mahu mengetahui, kepada yang tak mahu baca, tak perlu baca.

Ikutilah Pengalaman Haji saya dalam siri Labbai Kallah Hum Malabbaik. (Semoga Allah Ampuni saya) yang akan saya publishkan mulai tarikh ini- Insya Allah.

Siri SMT Pendang ke Kolej Matrikulasi akan saya teruskan sehingga SMT Pendang benar-benar menjadi Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah (inipun bergantung jika saya masih hidup!)

Sekian terima kasih.

Bersambung….

LABBAI KALLAH HUM MALABBAIK - 1




Assalamualaikum wbt

Saya mengambil kesempatan ini untuk menulis pengalaman saya mengerjakan ibadat haji pada tahun 1429H bersamaan tahun 2008M, iaitu bermula perjalanan 20 November 2008 dan selamat sampai di tanah air pada 5 Januari 2009. Semoga pengalaman yang saya coretkan ini dapat dikongsi bersama sebagai iktibar dan pengajaran, yang baik silalah ambil, yang buruk harap tuan/puan jadikan sempadan dan tidak lakukan sedemikan.

Sesekali rasa takut juga untuk menulis pengalaman ini, kerana bimbang ‘Haji tak mabrur cerita saja lebih’ atau kemabruran haji di ‘tarikh balik’. Namun setelah berfikir panjang saya mengambil keputusan berkongsi pengalaman, dan semoga Allah memabrurkan haji dan umrah saya serta isteri juga jemaah yang menunaikan haji tahun 1429 H.

Namun jika tak mabrur, makbul pun Alhamdulillah.

Ayat-ayat dan bahasa yang saya gunakan dalam tulisan ini tidak menentu, saya tidak memberi penekanan untuk membetulkan tulisan saya atau mengolah ayat supaya lebih gramatis, puitis atau sebagainya, juga saya tidak mengedit ejaan serta imbuhan.

Terlebih dahulu saya memohon maaf jika dalam pengalaman ini mungkin akan terjumpa episod saya membangga diri, atau saya merendahkan diri orang lain atau Nampak macam saya sahaja yang betul, orang lain salah, semua itu berlaku adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Yang baik datang dari Allah dan yang buruk adalah kelemahan saya sendiri. Harap maaf.

Seawal cerita.

Saya mengambil borang untuk mendaftar haji di Pejabat Tabung Haji Kuala Nerang, membuat pemeriksaan jenis darah di klinik berkat Kuala Nerang dan mendaftar untuk mengerjakan haji pada tahun 2001 di Pejabat Tabung Haji Pendang. Kuala Nerang ialah tempat asal isteri saya, manakala Pendang adalah tempat saya (kampung berdekatan). Simpanan dalam tabung haji telah lama dibuat, kerana sudah menjadi ‘adat’ orang Islam mesti kena pergi haji (bagi yang mampu), takkan tak mampu pula !, mesti kena usaha bagi mampu !, Islam mahu umatnya mempunyai harta dan kekayaan, kerana dengan kekayaan banyak ibadat dapat dilaksanakan, kaya tapi jangan bakhil. Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima, dan kemiskinan akan membawa kepada kekufuran. Abdul Rahman bin Auf adalah antara contoh sahabat yang kaya pada zaman nya, kekayaan beliau digunakan untuk perkembagan Islam. Bayangkan kalau semua orang Islam kaya , sudah tentu ekonomi dunia di kuasai oleh Islam, Syiar Islam dapat dilaksanakan ( satu ibadat), jual beli menurut sistem Islam (ibadat), Perbankan ikut Islam (ibadat), Kontrak ikut Islam ( ibadat), Kalau nak tulis hadis dan ayat Quran dalam coretan ini , susah sikit sebab saya tidak mahir dan saya sendiri bukan seorang ustaz, sekadar membaca kitab-kitab tulisan rumi sahaja.

Apabila ekonomi dunia dikuasai oleh orang Islam, maka secara automatik politik dunia akan dikuasai oleh Islam, seterusnya Islam tak akan diperkotak katikkan oleh orang bukan Islam.

Marilah kita sedar, suatu hari nanti jika kita terus lemah. apabila hendak ke Mekkah, kita perlu memohon visa dari Amerika atau Israel. Semasa perang di Iraq dan Afganistan, perkara seperti ini telah terjadi !. Malah semasa negara kita dijajah Inggeris dahulu, bagaimana peraturan yang dikenakan kepada rakyat Malaysia ?. (jika ada yang dapat ceritakan boleh beri komen dalam blog ini).


Saya hanya mendengar cerita kesusahan hendak ke Mekkah oleh nenek saya saja, susah dalam perjalanan, bukan susah dalam sekatan yang kita tidak nampak oleh penjajah.

Dahulu kena tunggu kapal di Pulau Pinang, tunggu sebulan atau lebih, bila kapal tiba baru boleh belayar, waktu menunggupun dah kena sediakan bekal yang banyak, Jalan Burmah Pulau Pinang cukup sesak pada musim orang nak pergi haji, orang menghantar yang lebih ramai dari yang nak pergi.

Kemudian zaman kapal terbang, musim haji ramai orang ke lapangan terbang hantar saudara nak ke Mekah, lepas hantar boleh pergi berkelah, waktu itu dapat berkelah di Pulau Pinang cukup hebat, Batu Feringgi, Taman Bunga, akuarium dan lain-lain tempat yang menarik. Wassalam

Thursday, November 19, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 32


Assalamualaikum wbt.

Hari ini merupakan hari terakhir penggal persekolahan tahun 2009. Kalau guru penolong sudah tentu saya akan bergembira kerana cuti panjang, namun sehingga kini saya telah ditakdirkan sejak menjadi guru tidak berpeluang cuti panjang setiap hujung tahun. Oleh kerana sudah biasa dengan keadaan tersebut, jadi sayapun buat tak kisah sahaja.

Hari ini ramai guru-guru SMT Pendang menyerah tugas, tugas tahun 2009 telah selesai, kebanyakan mereka akan melapor diri di sekolah baru pada 1 Dis 2009, yang diarahkan mengajar Matrikulasi masih tertunggu-tunggu bilakah surat dari BSM akan sampai. Surat arahan yang mengesahkan bahawa mereka adalah seorang pensyarah Matrikulasi.

Saya percaya ramai yang sedih meninggalkan SMT Pendang, tapi demi kepentingan perkhidmatan terpaksa juga bertukar. Namun begitu ada seorang lagi guru yang tak dapat surat bertukar, nama beliau tercicir, beliau bukan termasuk dalam senarai pensyarah, tapi entah bagaimana nama beliau tak tersenarai dalam urusan pertukaran. Lagi tension.

Sayapun masih belum menerima apa-apa maklumat, itu saya boleh terima kerana saya perlu menjaga sekolah sehingga tarikh sekolah diserahkan kepada Bahagian Matrikulasi, dan sesekali harap juga dengan saya-saya diserahkan ke bahagian matrikulasi.

Banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan, fail-fail SMT perlu disimpan baik-baik disatu tempat, aset dan inventori perlu dikawal dengan baik.

Sekian, terima kasih.

Bersambung...

TAHNIAH ANAK-ANAK CIKGU


Assalamualaikum wbt.

Tahniah kepada anak saya Afiqah Insyirah bt Hj Lutfi, anak cikgu Suhaimi, anak cikgu Na'imah dan anak cikgu Hj Ahmad Fuad atas pencapaian 5A dalam UPSR.

Semoga mereka terus mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Sekian, terima kasih

Wednesday, November 18, 2009

PANDANGAN

Assalamualaikum wbt.

Ini adalah pandangan peribadi saya, bukan mewakili institusi saya. Pandangan ini telah lama saya tulis namun hari ini baru dapat di paparkan, sebagai penjawat awam saya perlu berhati-hati dalam memberi pandangan supaya tidak mempersoalkan dasar dan jika pandangan ini di paparkan awal sekalipun, mungkin dalam longkang juga tempatnya, dan saya sendiri tak perlu mencampur tangan urusan dasar kerana saya hanyalah penjawat awam diperingkat pelaksana, bukan peringkat penggubal.

Sudah menjadi kebiasaan apabila sesuatu perubahan hendak dilakukan terutama perubahan yang drastik, maka akan keluarlah komen-komen dari berbagai pihak. Selalunya mereka akan membincangkan yang kontra. Dalam artikel ini saya akan memberi pandangan terhadap tiga perkara iaitu;

Pertama : Benarkan Sekolah dinaik taraf menjadi Kolej Matrikulasi.

Mungkin ini satu sejarah bagi seorang guru. Sekolah tempat berkhidmat ‘dinaik taraf’. Saya tidak membaca ‘dinaik taraf’ sebaliknya saya membaca sekolah ditutup. Saya berpendapat sedemikian adalah kerana jika sekolah dinaik taraf, pelajar tingkatan 4 dan 5 akan terus berada di sekolah berkenaan, disamping itu kursus baru di tambah, iaitu kursus Matrikulasi Teknikal dijalankan bersama-sama tingkatan 4 dan 5 diinsitusi yang dinaikkan taraf tadi. Perkara yang dilaksanakan ialah pelajar tingkatan 4 dan 5 diberhentikan pengambilan.

Sebagai seorang guru, saya tidak akan menyekat proses pembangunan fizikal dan pembangunan mental/ rohani seseorang individu. ‘Naik taraf’ tersebut amat baik kerana ia memberi laluan kepada pelajar aliran teknikal di sekolah Menengah Teknik meneruskan kesinambungan pengajian dalam bidang teknikal sebelum menyambung diperingkat Ijazah di Universiti. Sebelum ini saya percaya ada sekolah yang dinaik taraf kepada Maktab Perguruan atau lain-lain.

‘Naik taraf’ secara drastik tersebut dari satu sudut amat baik, kerana dalam masa yang singkat Matrikulasi Aliran Teknikal dapat diwujudkan, namun kos melepasnya ialah tiga buah Sekolah Menengah Teknik terpaksa dikorbankan.

Saya berpendapat Sekolah Menengah Teknik tidak perlu dikorbankan, sebaliknya amalan menumpang dan bergerak bersama-sama lebih praktikal dalam hal begini. Biarkan Matrikulasi Teknikal dilaksanakan di SMT sementara peruntukan tertentu disediakan untuk mewujudkan sebuah kampus yang lebih terkini dan futuristik. Menjadikan sebuah sekolah yang seakan-akan sebuah kolej tidak memadai, rekabentuk sekolah tetap sebuah sekolah, walaupun diubahsuai.

Matrikulasi Aliran Teknikal boleh dilaksanakan sebagaimana MARA melaksanakan Kursus Matrikulasi di Kolej MARA, mereka menguruskan perjawatan dan menguruskan kemasukan pelajar.


Perkara kedua : Keistimewaan dalam pengambilan pelajar

‘Naik Taraf’ tidak memberi sebarang keistimewaan kepada lepasan SMT, kerana kemasukan kekursus aliran teknikal terbuka untuk pelajar lepasan SPM yang lain, saya bangga jika ramai yang dapat masuk ke matrikulasi aliran teknikal, kerana saya yakin yang masuk adalah dikalangan pelajar bumiputera yang perlu disokong pengembaraan akademik mereka, namun dalam dunia yang penuh dengan persaingan, saya bimbang lepasan SMT yang rata-ratanya berkelulusan sederhana sahaja akan terpinggir, kekosongan di Matrikulasi Aliran Teknikal diisi oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sains ataupun mana-mana pelajar cemerlang bukan dari SMT. Peranan dari pegawai-pegawai lepasan ‘Teknik’ di Bahagian Matrikulasi amat diperlukan dalam memastikan pelajar SPM lepasan SMT diisi dalam Matrikulasi Teknikal. Peranan mereka sebagai “the hidden hands” yang mengatur agar lebih ramai pelajar SMT dapat memasuki Matrikulasi aliran teknikal.

Pada pandangan saya Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional juga perlu memainkan peranan dalam memastikan lepasan SMT mendapat lebih banyak peluang ke Matrikulasi Aliran teknikal.

Perkara ketiga : ‘Naik Taraf’ menyebabkan ramai guru ditukarkan.

Para guru terpaksa berkorban memohon pertukaran (ditukarkan) walaupun ada dikalangan mereka yang bercita-cita menjadikan sekolah ini sebagai sekolah terakhir mereka, ada yang membina rumah dikawasan berdekatan , ada yang membeli rumah dikawasan tersebut. Faktor ini mungkin tidak diambil kira oleh pegawai-pegawai atasan, kerana mereka boleh berpegang kepada aku janji dan lain-lain pekeliling yang mengatakan seseorang penjawat awam sentiasa boleh diarahkan bertugas dimana-mana.

Namun ‘naik taraf’ ini telah menguris keselesaan mereka. Bagi yang berkelayakan mereka boleh memohon jawatan pensyarah, namun adakah semua layak walaupun mereka memiliki ijazah masing-masing dengan pengkhususan tertentu.

Pihak BPTV boleh memujuk guru-guru dengan memberi sekolah pilihan pertama mereka sebagai hadiah naik taraf tersebut, namun hadiah tersebut tetap tidak sama nilainya dengan usaha membangunkan sekolah oleh guru-guru terutamanya guru-guru yang melapor diri di SMT mulai tahun 2004. Guru-guru yang bertukar kesekolah baru terpaksa berkelakuan sebagai orang baru, malah mungkin terpaksa memperkenalkan diri sepertimana ‘freshie’ memperkenalkan diri.

Guru-guru kanan yang membina kerjaya diintitusi sekolah kehilangan kekananan apabila menyertai Kolej Matrikulasi, mereka akan menjadi pensyarah sama seperti guru-guru yang mereka arah suatu ketika dulu. Ataupun jika mereka tidak menyertai Kolej Matrikulasi adakah mereka akan mengisi jawatan yang mereka sandang sebelum ini.

Dalam artikel ini saya hanya membincangkan tiga perkara , apa yang saya tulis hanyalah pandangan sahaja, kesimpulan yang dapat saya katakan ialah ketiga-tiga perkara tersebut bukanlah isu besar, semuanya dapat diselesaikan secara bijaksana oleh pegawai di Bahagian yang berpengalaman,setakatmana kebijaksanaan pegawai dijabatan, dibahagian yang sering dipertikaikan oleh guru. sebagai guru saya sentiasa mahukan kejayaan kepada pelajar, tidak tertakluk kepada pelajar saya sahaja, pengorbanan adalah lumrah dalam kehidupan, jika kita berfikir secara positif kemana sahaja kita ditukarkan semuanya akan memberi kebaikan kepada kita. Insya Allah.