Wednesday, September 9, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 18

Assalamualaikum wbt.

Pagi ini saya buka portal moe awal lagi. Saya tolong kemaskini borang permohonan pertukaran isteri saya, dia pun tak dapat buat keputusan mukatamad kemana hendak mohon pertukaran.

Isteri saya, sejak berkahwin dengan saya tahun 1995 telah bertukar dan mengajar bersama saya, posting pertama beliau di SMK Majakir, Papar, kemudian bertukar ke SMT Lahad Datu, mengajar bersama saya, kemudian ke SMT Sungai Petani 2, kemudian ke SMT Pendang, beliau juga banyak membantu semasa awal penubuhan SMT Pendang dalam tahun 2003, sudah 14 tahun kami mengajar satu sekolah, untung mengajar satu sekolah, dia buat kerja dia, saya buat kerja saya, namun ada juga yang SMS kepada Timbalan Pengarah, kata ada pasangan suami isteri disekolah, SMS yang mempunyai maksud tersembunyi, tak lain dan tak bukan ada unsur dengki khianat.

Ada juga dikalangan guru yang cakap kuat-kuat nak bagi isteri saya dengar konon, dan akan sampai kepada saya apa yang dicakapkan, selama ini kami jarang sangat berbincang hal kerja dirumah, jadi apa yang dicakap oleh guru lain untuk didengari oleh isteri saya dengan harapan akan sampai kepada saya, boleh dikatakan sia-sia sahaja.

Walaupun satu sekolah dan kami tinggal dikuarters, kami datang naik kereta masing-masing, begitu juga semasa di Lahad Datu, Cuma di SG Petani 2, sejak bulan Ogos baru naik kereta masing-masing. Saya juga jarang hantar atau teman dia ke klinik atau hospital waktu kerja, pergi lah sendiri, sebelah petang boleh hantar.

Jawatan utama isteri saya adalah SU peperiksaan, kerap lah dia menggunakan komputer di bilik saya untuk urusan tersebut, jadi sesiapa yang nak kerap masuk bilik saya, silalah pegang jawatan SU Peperiksaan atau Guru Data, atau Guru EMIS.

Dulu bilik saya tidak berkunci dan sentiasa terbuka pintunya, tapi sekarang sejak tahun 2009 saya telah menguncinya, kerana ada kes kehilangan barang .

Selepas ini saya menjangkakan saya dan isteri mungkin tidak akan bertugas disekolah yang sama lagi dan mungkin tidak akan tinggal dikuarters lagi. Mungkin sahaja. Saya lebih selesa tinggal dikuarters, walaupun kuarters kurang selesa bagi sesetengah orang, tinggal dalam kawasan berpagar dan dikawal oleh pengawal sekolah (terjadi juga kes kecurian dirumah saya), bila saya kena pergi mesyuarat, saya tinggal mereka dengan hati yang senang, tanpa risau keselamatan mereka, dikuarters jurjual pun tak boleh masuk, gores dan menangpun tak boleh masuk, sampai ibubapa, sahabat handai pun rasa susah nak masuk, (ini melampau), Saya telah arahkan pengawal supaya, kalau ada saudara mara guru yang tinggal dikuarters datang melawat, jangan Tanya apa-apa, terus angkat gate dan bagi masuk, kalau curiga ikut kemudian.
Ramai guru yang nak mohon pertukaran ke SMK, bukan tak mahu SMT Cuma faktor jauh, duduk di Pendang atau Yan, tetulah agak sukar nak minta SMT di Alor Setar atau Sg Petani, apatah lagi di Kulim, duduk di Kuala Nerang takkan nak minta SMT Sg Petani, lainlah kalau sekarang ini duduk di Alor Setar atau Sg Petani bolehlah minta di tempat yang dekat dengan mereka.

Kalau saya tanya, apa ada di SMT sampai tak mau pindah ke SMK ? apa yang nak dijawab.


Sekian terima kasih.

Bersambung….

Tuesday, September 8, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 17

Assalamualaikum wbt.

Hari ini guru-guru SMT Pendang sibuk melayari laman apps.emoe.gov.my.epgo. Ada apa dalam laman/portal tersebut ?.

Sebenarnya semua guru SMT Pendang diarah mengisi borang pertukaran, mulai 2 Sept 2009. Maka timbullah beberapa masalah kecil, tapi diriuhkan oleh guru, kerana ke’excited’ an mengisi borang tersebut, antara masalah tersebut, 1. terlupa nak ingat ID dan kata laluan yang baru ditaip, tak boleh pilih negeri Kedah bila pilih SMK, tak boleh di ‘send’ kerana nama dikelaskan sebagai penyandang gred hakiki.

Semua masalah tersebut telah diselesaikan. Saya telah browse borang tersebut, antara maklumat yang perlu diisi selain dari yang biasa diis ialah sekolah terdahulu sekurang-kurangnya 8 sekolah, bilangan tahun dinegeri semasa, tarikh mula posting, dan yang susah nak ingat tarikh tamat latihan perguruan.

Kebanyakan maklumat lain dicapai terus dari data EMIS, itulah sebabnya cikgu Khairul (CK) suruh cikgu semak maklumat EMIS dan beritahu kalau ada kesilapan, tapi cikgu buat perangai cikgu juga, semua dah betul . Tau-tau bila nak isi borang on line macam ni, baru lah kecoh ada silap dalam EMIS. Nanti HRIMS pula akan digunakan, kalau bagi maklumat tak lengkap jangan nak salahkan urusetia yang key ini maklumat.

Saya sendiri confuse dan rasa berat hati untuk mengisi borang pertukaran, rasa macam mana tak tau nak cakap, sekolah mana yang nak pilih, bila dah ada keputusan tertanya-tanya pula betulkah sekolah itu atau daerah itu yang nak pilih.

Orang lain mungkin tak kisah , kerana meraka akan minta sekolah atau daerah dikawasan kediaman mereka, saya ini rumah dimanapun tak tahu, dimana nak menetap pun tak tahu, tapi baru –baru ini isteri saya buat pinjaman perumahan bina rumah atas tanah sendiri, belum siap lagi rumah itu, betul ke saya nak duduk disitu semasa masih bertugas sebagai guru, kalau saya menetap disitu bermakna saya tidak akan kemana-mana dalam tempoh 16 tahun baki perkhidmatan saya.

Sebulan yang lalu pengarah marahkan saya dan kata-katanya membuat reputasi saya merosot keparas sifar di mata beliau. saya ‘tiada harapan lagi’ untuk berkerjaya di Sekolah Menengah Teknik, walaupun diakhir sesi beliau mengubah keputusan ‘muktamad’ yang dijatuhkan kepada saya, setelah saya buat muka seposen dan mengemukakan aktiviti dan rancangan peningkatan prestasi akademik di SMTP.

Itulah yang membuat saya nak, tak nak sahaja untuk isi borang pindah. Saya pegawai gred hakiki DG 44. sepatutnya laluan saya adalah gred hakiki DG48 dan keatas seterusnya. Rezeki ada dimana-mana, itu kata saya kepada saya (monolog). Tapi saya telah 14 tahun memberi khidmat di SM Teknik, ini yang membuat saya agak sukar memilih sekolah lain selain teknik.

Oleh kerana sukar sangat buat pilihan , selepas sahur pagi tadi saya telah membuat solat sunat istikharah dan lain-lain solat sunat. Rahmat kurniaan Allah kepada orang Islam, boleh solat sunat, boleh baca Quran, boleh zikir, semua itu dapat menghilangkan keluh kesah.

Saya akan mengisi borang pertukaran isteri saya sehari dua lagi, beliau sedang terlantar dirumah. (bukan sakit tapi cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji hingga 30 Sept ini)




Sekian terima kasih.

Bersambung….

Monday, September 7, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 16

Assalamualaikum wbt.

Bertemu kembali.

Sekarang ini pelajar sedang menduduki peperiksaan percubaan. Bagi saya peperiksaan ini akan menunjukkan tahap kebersediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan SPM. Tahun ini agak lengang dan senang kerana tiada pelajar tingkatan 4.

Selepas peperiksaan percubaan akan dilaksanakan aktiviti pecutan akhir dalam program Gemilang. Tahun ini banyak aktiviti akademik yang dilaksanakan, secara kolaboratif ia ada memberi impak terhadap pencapai prestasi pelajar. Dulu STEP ada melaksanakan aktiviti rekreasi minda di Bendang Man, Sik, ada dikalangan guru yang tidak bersetuju, kata mereka objektif tidak jelas, tak ada penumpuan dan sebagainya. Saya kata , orang malas mencari alas an, orang rajin mencari jalan.

Saya masih ingat, saya pernah menganjurkan aktiviti study petang secara berterusan dari pukul 2.30 ptg hingga 4.00 petang. Ada guru yang menentang, kata mereka pelajar tak sempat mandi dan macam-macam lagi alasan. Pengetua pun bersetuju dengan mereka, cuba anda fakir, bila pelajar pulang keasrama, mereka akan mengambil masa untuk tidur petang, dan kesannya mereka gagal menepati waktu prep petang 3.30. mereka akan lajak masa sehingga pukul 4.00 petang, prep sampai pukul 4.30, berapa jam mereka prep petang.

Kalau mereka terus study dari 2.30 hingga 4.30 petang telah dapat 2 jam, Saya minta guru bertugas mengawasi pelajar prep petang disekolah. Pada mulanya berjalan lancar kerana pengetua masih ikut cadangan saya, tugas warden mejaga pelajar sebelah petang telah dapat diatas dengan bantuan dua orang guru bertugas. Akhir sekali aktiviti ini berhenti begitu sahaja kerana ada suara-suara yang datang membisik di pejabat pengetua kononnya kasihan kepada pelajar.

Saya juga pernah meminta semua guru menyerahkan buku latihan pelajar untuk disemak oleh Pengetua, malangnya pengetua sendiri tidak menunjukkan kepositifan terhadap perkara tersebut. Selalunya bila pengetua sendiri kurang memberi perhatian, guru pun apa lagi. Apa kata penolong kanan dan GKM susah lah nak diikuti oleh mereka.

Saya pernah meminta guru bertugas menerangkan apa yang akan dilakukan oleh mereka dalam minggu tersebut, bukan memberi laporan apa yang telah berlaku, melaporkan apa yang berlaku tidak memberi apa –apa kesan terhadap pelajar, saya minta apa yang akan dilakukan dan apa yang pelajar kena buat minggu ini, Guru memberi komen negative mereka, kata mereka tak pernah dibuat oleh orang.

Walaupun telah diterangkan kepada mereka beberapa kali dalam mesyuarat guru, masih tak dapat dilaksanakan, kerana factor pengetua yang mendengar kata-kata dari ‘rakan’ nya bukan dari penolong kanannya. Akhir sekali perhimpunan dimonopoli oleh pengetua sendiri dengan ucapan yang saya sifatkan syok sendiri, dan bilangan guru yang hadir perhimpunan amat menyedihkan dan melemahkan semangat guru-guru lain yang bersemangat. Mereka yang tidak hadir perhimpunan terus berkurangan dan apa tindakan.

Akhir sekali pengetua pun jarang-jarang hadir perhimpunan, itu lah guru yang ditinggalkan kepada saya oleh pengetua-pengetua, dan pengarah marahkan saya dan mahu hukum saya , dengan keadaan guru sedemikian. Itu yang saya kata kepada pengarah hukuman tidak adil kepada saya.

Beberapa Guru kerap masuk kelas lewat, saya tulis surat minta pengetua tandatangan untuk minta tunjuk sebab dari guru berkenaan, pengetua kata surat saya terlalu garang. Maka diubah surat dengan bahasa yang lembut. Akhir sekali, surat tunjuk sebab pun tak dijawab oleh guru dan keadaan masih berleluasa, itulah guru yang ditinggalkan kepada saya.

Tak hadir mesyuarat, saya kata kita kena minta tunjuk sebab dari guru berkenaan, sama seperti diatas. Kesannya guru yang masuk mesyuarat hanya orang yang sama, maklumat tak dapat disampaikan. Kata saya, pengetua hanya anggap guru bekerja apabila boleh berbual, gelak ketawa dengannya dikantin, dipadang atau di bowling. Guru yang hanya mengajar, buat kelas tambahan senyap-senyap tidak buat kerja dimatanya, tidak hairanlah jika guru ‘kawannya’ dapat markah yang baik, walaupun pada pandangan saya, markah mereka tak perlu sampai ketahap itu.

Tulisan saya agak marah kepada pengetua, ini hanya kerana saya dimarah oleh pengarah, selama ini saya pendam saja rasa ini dengan harapan bila saya jadi pengetua, semua ini akan saya beri perhatian, namun kemarahan pengarah kepada saya tempoh hari telah melenyapkan reputasi saya dan Nampak seolah-olah saya yang salah 100 % dan saya tiada harapan lagi untuk berkerjaya dengan Jabatan ini.

Pengetua tak masuk perhimpunan, guru kawannya apalagi. Dalam poket blazer saya memang telah tersedia bahan untuk diucapkan kalau-kalau pengetua tidak masuk perhimpunan, kerapnya bahan tersebut dapat digunakan.

Saya pernah minta guru hadir perhimpunan semasa mesyuarat, dengan memberi alas an waktu bekerja pengetua adalah jam 8.00 hingga 5.00 ptg. Siapa yang bijak dapat menerima hakikat tersebut untuk hari ada persekolah, terutama hari Ahad yang ada perhimpunan.

Waktu cuti pertengahan penggal, saya mengadakan aktiviti akademik, bermula hari Khamis sampai Sabtu dengan tujuan untuk membudayakan , apabila cuti pelajar tidak cuti belajar, dapat dilaksanakan 2 tahun sahaja, sama seperti saya sebut diatas tadi.

Ke’power’an saya kurang kerana saya jarang ke kantin. Tabiat lama sejak tingkatan 2 dulu. Dikantin orang yang tak bekerja dianggap bekerja, orang yang tak rajin dianggap rajin, pendek kata perkara tersebut boleh tutup sebelah mata, maka guru-guru perempuan yang suka mengajar tiada dimatanya.

Guru-guru dan staf sokongan mengadu kepada saya masalah mereka, saya kata ikut arahan pengetua, kerana dia akan bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat. Saya pun ikut arahan nya. Saya tidak akan melawan pengetua, kerana prinsip hormat ketua, saya panggil tuan kepada semua pengetua lelaki dan puan untuk pengetua perempuan sebagai tanda hormat kepadanya. Saya tidak panggil Cikgu kepada pengetua kerana saya tidak belajar darinya.


Berilah kepercayaan kepada penolong-penolong tuan, tuan ada 3 penolong kanan, 4 ketua bidang, cukup mudah kerja, yang tuan pergi buat kerja seorang-seorang pasal apa ?. Penolong kanan pentadbiran tuan banyak pengalaman di sekolah berbanding tuan. Dia bukan nak tunjuk lebih kepada tuan, sekadar bersama-sama membina sekolah kita. Jangan dengar sesuatu dari seseorang kerana seseorang yang menerangkan sesuatu bukan dikedudukan mereka, selalunya tidak tepat, perkiraannya tidak menyeluruh dan seseorang itu memang berkemahiran menerangkan perkara tersebut. Pelik bunyi ayat ini.



Sekian terima kasih.

Bersambung….

Sunday, September 6, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 15

Assalamualaikum wbt.

Ramai lagi guru dan staf sokongan cuti bersalin dan akan cuti bersalin, C17 seorang, N17 seorang. Guru termasuk Fairuzah dan Aziyati ada lagi dua orang iaitu, Rozita dan Rafidah dua-dua orang ini adalah guru matematik. Dan kalau nak dapat kelulusan Guru Ganti, selapas mereka datang bertugas semula baru surat kelulusan mengambil guru ganti akan sampai, itupun kena follow up dengan telefon dan fax. (berdasarkan pengalaman lepas) tak tahulah kalau kali ini express pulak.

Anda tetap disalahkan jika guru tak ada. Tapi surat kelulusan yang lewat tak disalahkan, dan tak boleh dijadikan alas an. (awaklah menang, hadiah apa awak nak, pindah sekolah, naik pangkat).

Bulan Sept adalah bulan peperiksaan percubaan, dan tahun ini bersamaan dengan Ramaddan, dulu saya kerap memberi latihan perniagaan Gerai kepada pelajar Pengajian Keusahawanan, namun tahun ini saya tawar hati, takut nanti depa kata suruh budak berniaga, barang cikgu. Cikgu-cikgu pengurusan makanan, kelab ERT pun rasa tawar hati untuk memeriahkan suasana asrama yang bosankan pelajar. Biarkan…

Saya bukanlah usahawan, saya hanyalah seorang cikgu keusahawan, saya melatih pelajar saya supaya tidak malu memulakan perniagaan dan menjalankan perniagaan. Walaupun perniagaan gerai sahaja, kalau ikut buku keusahawanan, anda kena buat perusahaan dari bahan mentah sampailah barang siap yang boleh dijual kepada pengguna akhir. Saya Cuma latihkan berniaga, bagahian kecil dalam keusahawanan. Berniaga pun tak pernah macam mana nak jadi usahawan.

Ye lah.. sebab itu saya latih pelajar saya, sempena bulan Ramaddan tahun-tahun yang lalu, tidak tahun ini. Di tambah pula dengan mereka ada peperiksaan percubaan, menguatkan lagi alas an saya tidak berniaga tahun ini. A++ , nanti ada pula ibubapa atau cikgu yang jadi ibubapa pelajar menghantar surat layang, atau SMS kepada pengarah, tak pasal-pasal saya terpaksa ke Putrajaya untuk menerima hukuman.

Kalau anda tak pernah berniaga anda akan rasa malu untuk kali pertamanya berhadapan dengan suasana tersebut, pelajar-pelajar saya terutama yang lelaki lebih pemalu berbanding perempuan, (Alhamdulillah, selagi sifat malu ada, selagi itulah iman ada !) , yang lelaki ini, siap sembunyi belakang tiang, bila saya kata operasi bermula sekarang. Yang perempuan tiada masalah.

Sebab apa kamu malu ?, awat hidung tak ada ke, muka tak hensem ke ?, awek lalu ke?. Leceh sangat ke ?, hamba cikgu ke ?. ( oitt.. tolong sikit, modal sekolah bagi, untung dapat kepada pelajar, apa pasal kata hamba cikgu, apa pasal kata jual barang cikgu?, penyediaan barang guna kuali cikgu, dapur cikgu, senduk cikgu, rumah cikgu, beli barang pergi naik kereta cikgu, kalau nak charge, semua untung dan modal kena bagi kat cikgu)

Biasalah cikgu mana nak berkira benda kecil macam tu, benda besarpun tak kira, asalkan pelajar dapat ilmu dan manfaat sudah cukup.

Siapa tahu anak pertama saya meninggal dunia kerana saya tergilakan sekolah. Anak dan isteri ditinggalkan dirumah, ingatkan sihat rupanya tak sihat. Sampai sini saja.. saya bergenang air mata..

Bersambung…

Saturday, September 5, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 14

Assalamualaikum wbt.

Tak disangka pula boleh ada kes seperti ini semasa sekolah sedang menuju turun untuk penutupan. Ibu bapa berhak memberi komen hingga kepada menteri ataupun sekadar berdoa kepada Allah.

Jabatan telah menunjukkan keperihatinan mereka, alangkah seronoknya jika semua jabatan berbuat demikian dan dibuat sejak tahun 2004 dahulu ketika sekolah ini ditubuhkan, ketika guru Bahasa Melayu mengajar Bahasa Inggeris, ketika guru Penyaman udara jadi pak sanggup mengajar Pendidikan Islam, ketika guru Perdagangan turut mengajar BI, ketika guru kejuruteraan mengajar EST, ketika guru yang membantu mengajar matematik dan matematik tambahan dalam bahasa Melayu menarik diri bila dasar PPSMI dimulakan. Ketika hanya penolong kanan sahaja yang memberi ucapan pada setiap perhimpunan mingguan.

Tapi, tidak berlaku kerana apa?, kerana “selagi bangunan tak runtuh timpa orang, timpa pun kena sampai mati, baru boleh diluluskan peruntukan”.

Bila ada kes barulah boleh tunjukkan keprihatinan, bahawa jabatan tak akan biarkan pelajar terinanya begitu sahaja walaupun sekolah nak dinaikkan taraf.

Kepada semua pembaca blog saya, guru-guru di SMT Pendang amat komited, walaupun ada seorang dua yang kurang komited, kalau tidak komited, masakan mereka boleh meletakkan sekolah di kedudukan no 12 antara 90 buah sekolah teknik seluruh Malaysia dalam peperiksaan SPM tahun 2008 Tahun hadapan saya tidak memberi sebarang jaminan dari segi kedudukan, namun usaha kearah meningkatkan kedudukan ke no 5 telah dibuat.

Kalau terjatuh ke no 90 pun apa boleh buat, kerana telah dianggap guru tidak buat kerja, dan perkara tersebut diketahui oleh guru. Kerana guru tak buat kerja dan jabatan prihatin, maka pemantauan dibuat 2 kali. 3 Ogos dan 13 Ogos. Sah lah guru tak buat kerja !.

Guru ini sensitive, kata mereka tak buat kerja, jadi sungguh, kata mereka rajin, jadi rajin.

Tak buat kerja kerana,

1. datang lewat 2 minit.
2. tulis buku rekod tak lengkap dengan butiran maklumat diri, buku rujukan, takwim sekolah, kelulusan, nama sekolah dan lain-lain.
3. Rancangan pengajaran tak tulis macam dalam latihan mengajar di maktab dulu.
4. Guru mengajar anak murid berniaga (minta maaf ada dalam sukatan ke?)
5. Buku rekod tak hantar setiap minggu
6. Tulis sila rujuk RP sekian-sekian
7. Tulis tiada P&P hari ini.
8. Panitia tak buat mesyuarat.

Maka dengan bahasa opposite/ berlawanan mari kita buat begini supaya orang kata kita buat kerja.

1. buat surat penghargaan setiap hari untuk mereka datang tidak lewat.
2. melengkapkan semua butiran dalam buku rekod
3. tulis rekod P&P seperti dulu, ada rancangan tahunan, bulanan, mingguan dan harian,
4. jangan berniaga walaupun ada dalam sukatan, jangan memasak dan menjahit waktu kelas pakaian dan makanan kerana mengajar kena tulis dan baca sahaja.
5. hantar buku rekod setiap minggu termasuk hari cuti penggal.
6. Tulis setiap RP yang nak diajar siap dengan dialog.
7. Catat kan minit mesyuarat walaupun sembang sorang-sorang.

Minta maaf.

Sekian terima kasih,

Bersambung…

Friday, September 4, 2009

SMT PENDANG KE KOLEJ MATRIKULASI - 13

Assalamualaikum wbt.

Bertemu kembali. Dalam artikel yang lalu saya telah menulis berkenaan guru yang tidak cukup atau tidak menepati opsyen. Kerana kes tersebutlah saya ber’cuti’ , tak menulis. Saya bercuti untuk melapangkan fikiran setelah dibelasah dengan teruknya oleh Pengarah Jabatan saya. Apa yang berlaku sebenarnya ?.

Seorang guru wanita mengambil cuti menjaga anak selepas bersalin selama 2 bulan. Beliau cuti bersalin mulai 15 April hingga 14 Jun 2009 , Semasa beliau cuti bersalin ada peperiksaan mulai 17 Mei hingga 29 Mei . Bermakna kalau kelasnya tidak diganti disebut dalam bulan adalah sebulan, itu kalau tak diganti, tapi kelasnya telah diganti oleh rakan-rakan sepanitia , walaupun tak ambil guru ganti cuti bersalin, ramai guru matematik tambahan waktu itu, Hazry ada, Suhana ada, Lelawati ada, Samsiah pun ada. Bilangan Guru dalam panitia tersebut mencukupi untuk cover kelas beliau. Saya anggap masalah tersebut selesai kerana dicover oleh rakan-rakan sepanitia .

Kemudian cuti menjaga anak selama dua bulan bermula 15 Jun 2009 hingga 13 Ogos 2009. Pengetua telah menghantar surat memohon guru ganti, namun sehingga artikel ini ditulis sekolah belum dapat surat kelulusan guru ganti tersebut. Walaupun telah dikata bahawa surat kelulusan tersebut sudah dikeluarkan !.

Soalan lain yang ditimbulkan, kenapa guru tersebut bercuti sedangkan surat kelulusan cuti belum dikeluarkan.?.

Tuan,
1. Cuti menjaga anak selepas bersalin boleh diambil selepas cuti bersalin.
2. Tarikh lahir anak hanya dijangka oleh empunya badan dan doctor dan jarang sekali tepat.
3. Borang cuti bersalin direkod berdasarkan sijil melahirkan anak yang dikeluarkan oleh doktor.
4. Borang cuti tak boleh agak-agak tarikh nak cuti.
5. Bukan saya yang keluarkan surat kelulusan kebenaran cuti, kalau saya (dalam kes ini, esok memohon hari ini sudah diluluskan !)
6. Dah jadi kebiasaan (kes sebegini) cuti dulu 5 bulan kemudian baru dapat surat lulus. Dalam kes lain Pergi haji dulu baru dapat kelulusan, kalau tunggu surat lulus , habis musim haji baru dapat pergi. Dalam kes lawatan pelajar ada ok.

Persoalan lain

Guru lain banyak, kenapa tak diarahkan ?

Tuan,

1. Opsyen mereka berbeza walaupun mereka ada ijazah Engineering belum tentu mereka boleh mengajar Math tambahan. Sapa kata ?.


Adakah saya perlu menegakkan yang pengetua telah memohon guru ganti tetapi tiada jawapan.

Bagaimana saya hendak menjawab yang guru tersebut bercuti tanpa kelulusan terlebih dahulu.

Apa pula respon tuan, sehingga kini surat kelulusan cuti separuh gaji guru tersebut tak dikeluarkan. Dan apa pula respon tuan, berkenaan surat minta guru ganti yang sehingga hari ini tak dikeluarkan, walaupun dah dikatakan kepada waris yang kelulusan telah dikeluarkan .

Bagaimana kalau saya telah mengambil guru ganti dan 12 bulan seterusnya baru keluar surat yang kata tidak diluluskan, siapa yang hendak bayar gaji guru ganti tersebut.

Pegawai disana mahu membela diri mereka, saya disini mahu membela diri saya, jika bahasa saya tidak berbudi bahasa, itu hanyalah kerana saya perlu mempertahankan diri. Saya tak dapat tunduk dan hanya mengakui, ya tuan, ya tuan, tidak tuan, betul tuan, baik tuan , saya terima tuan, saya akur tuan.

Saya bukan jenis melawan ketua, saya amat menghormati ketua, walaupun sekadar ketua panitia, apatah lagi hendak melawan ketua Jabatan. Dalam Islam ada arahan suruh hormat ketua, saya hormatlah, namun saya perlu juga untuk membela diri.

Teruk sangatkah kes ini ?.

Memang teruk, saya telah dihukum dalam satu panel 4 pegawai , seorang KPP dan seorang JUSA.

Tiada jawapan yang betul, anda diputuskan tidak kompeten, soalan balas saya, kompeten berdasarkan indicator apa ?. Kalau jelas indicator yang digunakan, saya boleh terima tidak kompeten. Tapi kalau indicator tidak jelas, caca merba, dikaitkan sana sini , sukar saya mengakui saya tidak kompeten. Indikator yang tak macam indicator itu sebenarnya tak kompeten.

Dan saya besedia dan menanti untuk tindakan tuan seterusnya, saya akan terima sebagai takdir dan akan reda dengannya, asalkan tiada unsur khianat, dan saya harap pertimbangan dari segala aspek.


Sekian terima kasih.

Bersambung …

Monday, August 10, 2009

CUTI

Assalamualaikum wbt.

Minta maaf blog ini tak dapat dimuat artikel baru, kerana saya 'cuti'

Insya Allah, bila ada kelapangan fikiran, saya akan kembali.

Selamat 'bercuti'

Terima kasih.