Wednesday, June 30, 2010

UPSR dan PMR masih dikaji

Syor mansuh UPSR, PMR diperinci: TPM
Daripada Abdul Razak Raaf di Jakarta
bhnews@bharian.com.my
2010/06/30

MUHYIDDIN selepas mempengerusikan sesi dialog antara editor kanan media Malaysia dan Indonesia di sebuah hotel di Jakarta, semalam. Turut kelihatan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaafar (kanan) dan Presiden Pengarah SSTV, Fofo Sariaatmadja (kiri).
Rundingan meja bulat bincang saranan pihak berkepentingan

KEMENTERIAN Pelajaran akan menganjurkan rundingan meja bulat bagi membincangkan maklum balas semua pihak berkepentingan berhubung cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rundingan meja bulat itu akan diadakan sebaik kementeriannya mengumpul semua maklum balas, pandangan dan saranan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk media, ibu bapa, guru dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata setakat ini kementeriannya menerima banyak maklum balas berhubungan cadangan pemansuhan dua peperiksaan awam itu dan menggantikannya dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah (SBA).

“Cadangan pemansuhan ini tidak boleh dibuat secara ringkas dan mesti diteliti secara mendalam.

"Saya berterima kasih dengan maklum balas dan saranan diterima. Kita sedang mengumpulnya dan saya ambil kira semua pandangan,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja dua harinya ke sini, semalam.

Minggu lalu, Muhyiddin mencadangkan pemansuhan UPSR dan PMR yang akan mengubah sistem pendidikan negara kerana dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga gagal melahirkan modal insan serba boleh.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kedua-dua peperiksaan itu diteruskan, tetapi bukan sebagai peperiksaan awam, sebaliknya dijadikan penilaian pada peringkat sekolah.

"Jika peperiksaan itu dimansuhkan, kita perlu pastikan apa yang hendak diganti lebih baik demi kepentingan pelajar dan sistem pendidikan negara," katanya.

Ditanya mengenai maklum balas diterima setakat ini, Muhyiddin berkata majoriti bersetuju cadangan pemansuhan peperiksaan itu.

"Walaupun ada yang mencadangkan ditambah baik sistem penilaian dan ada berpendapat apa yang penting bukan peperiksaan, tetapi pelajar mesti dinilai prestasi setiap tahun,” katanya.

Beliau menjelaskan dalam sistem persekolahan sedia ada memang ada penilaian dibuat secara berkala, sama ada setiap bulan atau tiga bulan sekali, tetapi kerana ia menjurus kepada peperiksaan, maka sebahagian besarnya menjurus kepada mahu mendapatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan awam.

Ditanya mengenai Suruhanjaya Bersama Malaysia-Indonesia (JIMC), Muhyiddin berkata, beliau menjemput Naib Presiden republik itu, Prof Dr Boediono melawat Kuala Lumpur bagi membincangkan lebih lanjut mengenainya.

"JIMC diwujudkan bagi menstruktur semula kumpulan kerja dipengerusikan menteri dari kedua-dua negara bagi mengemukakan isu yang perlu ditangani.
Setiap perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik perlu dilaporkan ke peringkat lebih tinggi jika perlu,” katanya.

"Mereka tidak boleh bertemu setahun sekali kerana dalam tempoh itu banyak perkara boleh berlaku. Justeru, menerusi format baru itu maka hubungan dua hala Malaysia-Indonesia akan lebih tersusun dan berkesan," katanya.

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

student prihatin
saya rasa pelajar yg menghadapi upsr dan pmr akan kurang daya usaha utk menfokuskan pelajaran mereka pd masa itu kerana mereka yakin bahawa spm nti lagi lebih penting.jadi spt malas yg memang ada dlm diri akan menjadi2...di sini kita sepatutnya balik kpd konsep peperiksaan itu sendiri.apa tujuan peperiksaan dilakukan.ianya untuk menilai prestasi pemahaman pelajar itu sendiri.kokurikulum yg diadakan pula membantu dari segi personaliti pelajar yg akan melahirkan model insan serba boleh.

hjlutfi-choras.blogspot

kemungkinan hendak dihapuskan UPSR dan PMR adalah 90 %, kerana pengalam lepas seperti PPSMI, yang dilaksanakan, walau ada bantahan, oleh suara-suara kecil, Sama juga dengan tulisan jawi yang di 'mansuhkan'. Bila orang buat tunjuk perasaan mereka kata itu bukan jalan terbaik, yang terbaik adalah dimeja perbincangan, tapi semasa dimeja perbincangan mereka mempertahankan / menegakkan benang yang basah.

No comments:

Post a Comment