Wednesday, February 15, 2012

Ampun Tuanku, patik tak paham, tuanku kenen kat sapa ni ?

Sedih tak jujur laksana DEB
Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 14 Feb. – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyelar tindakan sesetengah pihak yang tidak amanah serta telus dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga matlamat membangunkan ekonomi orang Melayu dan Islam terjejas.
Baginda bertitah, DEB yang asalnya merupakan matlamat murni untuk menyeimbangkan agihan ekuiti secara saksama antara kaum di negara ini tercalar apabila berlakunya perbuatan tidak bertanggungjawab di peringkat pelaksanaannya.
Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu kecurangan, baginda bertitah, ia menyebabkan wujud jurang antara matlamat yang disasarkan menerusi dasar itu dengan realiti pencapaiannya.
“Banyak contoh kejayaan melalui DEB yang tidak boleh dinafikan terutamanya dari segi melahirkan modal insan profesional serta menambah kumpulan pertengahan di kalangan Melayu dan bumiputera.
“Bagaimanapun, berlakunya kecurangan di peringkat pelaksanaan telah menjejaskan matlamat asal dasar tersebut sehingga mewujudkan jurang antara matlamat yang disasarkan terutamanya membabitkan pemilikan ekuiti.
“Akibatnya, matlamat mahu menyeimbangkan agihan ekuiti di kalangan ummah gagal dicapai manakala dasar murni tersebut dipersalahkan, dijadikan sasaran kritikan sehingga ada pihak tergamak menghinanya.
‘‘Sedarlah, hakikatnya dasar itu tidak berdosa, yang berdosa adalah mereka yang melakukan penyelewengan di peringkat pelaksanaan,” titah baginda pada Seminar Wakaf: Penjana Pembangunan di Sasana Kijang Bank Negara di sini hari ini.
Sementara itu, Raja Dr. Nazrin bertitah, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa hanya enam peratus daripada kekayaan individu atau keluarga Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga manakala hanya dua peratus sahaja yang kekal melewati generasi tersebut.
“Pola daya tahan pemilikan ekuiti berkenaan akan memberi impak negatif dalam jangka panjang. Ia kritikal kerana boleh mengakibatkan orang Melayu dan Islam menerima nasib berdagang di bumi sendiri,” titah baginda.
Justeru, baginda mahu orang Melayu dan Islam lebih berani dalam melakukan penghijrahan strategi daripada kaedah berfokuskan individu kepada kaedah berasaskan institusi demi pembangunan ekonomi ummah.
Baginda bertitah, konsep wakaf korporat merupakan satu alternatif yang berpotensi untuk memacu ummah ke arah penghijrahan tersebut dan membantu pembangunan ekonomi yang mapan.
“Konsep wakaf bukanlah baru kerana suatu ketika dahulu ia berperanan sebagai sumber kekuatan ekonomi ummah sehingga tidak perlu bergantung kepada dana kerajaan.
“Beta menyifatkan konsep wakaf korporat ini sebagai pendekatan alternatif bagi membantu ummah mengatasi keadaan kritikal yang sedang dialami. Ia diyakini lebih berkesan dalam memenuhi agenda membangunkan ekonomi orang Melayu dan Islam,” titah baginda.

No comments:

Post a Comment