NOR HARTINI SAAR I | 25 Mei
2015 12:21 AM
RATA-RATA masyarakat memahami bahawa ukuran
kejayaan usahawan adalah melalui keuntungannya dalam perniagaan. Keadaan ini
berbeza dengan usahawan sosial di mana kejayaannya bukan setakat diukur melalui
keuntungan malah turut diukur melalui manfaat yang dapat dikongsi bersama
dengan masyarakat.
Dengan kata lain memperkasa pembangunan
sosio-ekonomi adalah misi utama usahawan sosial mengatasi keuntungan atau
kekayaan. Inilah yang dikatakan model usahawan sosial yang dapat meningkatkan
taraf hidup masyarakat amnya.
Ini sejajar dengan tuntutan dan prinsip dalam
Islam yang menegaskan amalan perniagaan yang baik bukan sahaja untuk memperoleh
keberkatan Allah SWT namun kekayaan yang sebenar-benarnya adalah yang dapat
memberi manfaat kepada individu dan masyarakat secara keseluruhannya.
Dalam Islam, usahawan sosial ini juga amat
berkait rapat dengan konsep muamalah kerana menjaga kepentingan ekonomi, alam
sekitar, sosial, politik dan pendidikan.
Secara tidak langsung ini dapat memberi
suntikan dalam membantu menyediakan peluang untuk masyarakat menikmati
kehidupan yang sihat; penggunaan barangan dan perkhidmatan yang berimbang;
menyuburkan hubungan manusia yang berasaskan komuniti yang kukuh dan penyayang;
menegakkan prinsip pasaran yang berasaskan peraturan yang baik dan beretika
serta menjaga kelestarian alam sekitarnya yang seimbang.
Justeru, adalah wajar model usahawan sosial
ini diteroka oleh golongan muda bagi mewujudkan lebih ramai usahawan muda yang
kreatif untuk tampil meneroka bidang baharu bagi membantu masyarakat dan
persekitaran.
Berbeza dengan usahawan dalam sistem kapitalis
yang hanya mementingkan materialistik dan keuntungan perniagaan sendiri kerana
berasakan mempunyai kekuatan modal. Ini menggambarkan dalam sistem kapitalis
yang kaya akan bertambah kaya manakala usahawan baharu sudah tentu ditindas.
Jika keadaan ini berterusan, ini tidak mungkin dapat menjadikan ekonomi rakyat
sejahtera.
Bahkan usahawan yang berkiblatkan kapitalis
akan menjadikan kehidupan masyarakat lebih teruk. Kemiskinan semakin parah,
kesihatan tidak bertambah baik, kelestarian alam sekitar terjejas dan wujudnya
masyarakat yang makin tamak. Natijahnya, kekayaan dunia hanya dinikmati
segelintir manusia yang tidak berhati perut dan pada masa sama mengejar
pengiktirafan mereka usahawan terulung.
Sehubungan itu, sebagai usahawan sosial yang
sudah berjaya mereka adalah digalakkan membantu ahli perniagaan yang baharu
untuk memulakan perniagaan. Bantuan ini tidak semestinya dalam bentuk kewangan
tetapi juga dalam memberi latihan kemahiran perniagaan, teknikal dan fungsi
serta pemantauan agar usahawan baharu ini berjaya.
Dalam perkembangan semasa sebagai contoh,
penubuhan Unit Keusahawanan Sosial di bawah Pusat Inovasi dan Kreativiti Global
Malaysia (MaGIC) adalah satu tindakan yang baik yang dapat menyokong
keusahawanan sosial. Ini adalah pusat setempat untuk usahawan sosial memberi
inspirasi kepada generasi muda supaya menjadi masyarakat yang aktif, selain
meluaskan capaian usahawan sosial sedia ada termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan
dan kemahiran, bagi melahirkan usahawan muda dalam sektor itu.
Begitu juga, syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
yang rata-ratanya diterajui oleh orang Melayu Islam sewajarnya mencontohi
konsep perniagaan sosial. Bantulah mereka yang lemah demi kebaikan umat Islam
dan seterusnya kebaikan itu bakal dinikmati oleh masyarakat secara
keseluruhannya.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat
Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
No comments:
Post a Comment