Monday, October 26, 2015

Keusahawanan Sosial Memperkasa Pembangunan Ummah



Baru-baru ini saya telah membentangkan satu cadangan kepada beberapa pihak tentang Keusahawanan Sosial (Social Entrepreneurs), sebagai kaedah strategik memperkasa pembangunan sosial masa kini. Saya percaya ia merupakan solusi terbaik dan kos efektif jangka panjang memerangi gejala sosial, jenayah jalanan dan komersil, gangsterisme, hedonisme termasuk penyalahgunaan dadah melalui kesedaran remaja dan masyarakat seluruhnya. Namun, saya mendapati ada yang masih kurang jelas tentang maksud Keusahawanan Sosial itu sendiri.


Keusahawanan sosial

Apa Itu Keusahawanan Sosial

Masih ada pihak menyangka Keusahawanan Sosial itu sama sahaja dengan maksud keusahawanan yang biasa kita dengar, sedangkan ia sebenarnya membawa intrepitasi yang lebih mendalam. Ia bukan sekadar usaha yang cenderung kepada pemantapan ekonomi tetapi juga merancang kepada kelestarian sosial agar kesejahteraan sosio-ekonomi negara dapat membangun secara harmoni dan sejahtera.

Seperti yang kita sedia maklum, usahawan merupakan individu yang kebiasaannya didefinasikan mempunyai perniagaan. Ada juga yang mendefinasikan sebagai ahli perniagaan yang berjaya, kaya dan berpesonaliti. Tanggapan sedemikian tidak boleh dinafikan kerana istilah usahawan itu sendiri seringkali dikaitkan dengan kerjaya perniagaan. Sifat materialistik juga antara faktor segelintir manusia terdorong menceburi bidang keusahawanan. Ada yang berjaya dan tidak kurang juga yang gagal.

Inspirasi melalui keusahawanan itu sendiri sebenarnya telah mencipta penjelmaan Keusahawanan Sosial yang mempunyai definasi lebih luas dari Aktivisme. Usahawan Sosial memerlukan idea, visi dan usaha melangkaui sekadar kekayaan material atau kewangan sebagai sumbangan kepada masyarakat. Saya percaya ia akan menjadi fundamental paling penting dalam konteks asas keusahawanan dan pembangunan ekonomi dalam beberapa tahun akan datang. 
Definasi keusahawanan sosial
Seorang usahawan sosial akan mencipta peluang yang diperolehi bukan sekadar meraih keuntungan tetapi merangka serta menyalurkan usaha memperbaiki sistem masyarakat. Usahawan Sosial mengutamakan misi dan kaedah penyelesaian kepada permasalahan sistem masyarakat sesuai dengan peredaran zaman. Mereka juga lebih terdorong mementingkan pencapaian impak misi sosial melalui usaha yang dirangka dari sekadar meraih kekayaan.


Misi Keusahawanan Sosial Memperkasa Sosio Ekonomi Negara

Memperkasa pembangunan sosial merupakan misi utama ‘social entrepreneurs’. Setiap perlaksanaan misi lebih mementingkan impak pembangunan sosial. Mereka akan senantiasa berusaha menyampaikan mesej dan idea secara beretika, mesra dan berkesan. Seorang usahawan sosal juga sentiasa berusaha menarik agen perubahan serta sokongan pelbagai pihak demi menangani isu-isu yang semakin membarah dalam masyarakat.

Secara jujur saya mendapati bahawa usaha pendekatan merealisasikan pembangunan sosial di Malaysia perlu pengkajian semula agar lebih inovatif, pragmatik dan bersesuaian dengan citra diri generasi muda dalam era IT dan globalisasi ini. Pendekatan yang selaras dengan trending terkini amat perlu diperhatikan agar ia sentiasa releven dan diserap secara effektif kepada golongan yang disasarkan.

Antidot kepada permasalahan sosial boleh diibaratkan sebagai antivirus. Masakan antivirus yang dicipta pada tahun 2001 mampu menangani virus ciptaan terkini tahun 2015. Oleh itu, penglibatan dari semua pihak sememangnya perlu dalam memahami maksud keusahawanan sosial dengan sokongan yang sewajarnya. Ia merupakan antidot paling berkesan mencegah gejala sosial untuk beberapa generasi akan datang.

Keusahawanan Sosial Melahirkan Masyarakat Minda Positif 

Kita boleh lihat pelbagai usaha yang diketengahkan demi menyelamatkan alam sekitar daripada kemusnahan. Melalui kesedaran, kita faham implikasi yang bakal dirasai generasi akan datang sekiranya alam sekitar musnah. Usaha seperti kitar semula dan sebagainya dilakukan pelbagai pihak bagi menjelaskan mesej memelihara alam sekitar. Begitu juga yang perlu dilakukan dalam memperkasa pembangunan sosial. Ada kalangan insan yang perlu dikitar semula dan dibimbing secara berterusan agar kelestarian sosial ini tidak musnah. Hakikatnya, apa yang bakal generasi hadapan kita alami pasti lebih teruk jika nilai-nilai sosial ini musnah sepertimana musnahnya ekologi semulajadi alam seluruhnya.


Siapa itu usahawan sosial

Berdasarkan kaji selidik, generasi muda kini cenderung kepada sifat keusahawanan dalam diri mereka. Sudah sampai waktu semua pihak perlu terlibat menggalakkan kelahiran usahawan sosial secara besar-besaran, membuang sifat kapitalisme dan memperkasa keusahawanan berteraskan Al-Quran dan sunnah secara kreatif dan konduktif dengan arus peredaran zaman.

Saya juga berkecimpung dalam program keusahawanan sosial yang mensasarkan kerjasama pihak. Maklumat lanjut di ruang
PROFIL kepada yang berminat.
Mudah-mudahan setiap rezeki keusahawanan yang diperolehi bersama usaha memperkasa pembangunan sosial ummah membawa erti kejayaan yang lebih bermakna untuk kehidupan di dunia dan akhirat… aamiin.

5 comments:

  1. assalamualaikum cikgu... ingat sy lagi x...

    ReplyDelete
  2. Waalaikummussalam, tak dpt ingat sebab 'Unknown'

    ReplyDelete
  3. salam bagaimana nak menghubungi cikgu,terima kasih

    ReplyDelete
  4. Semoga berjaya didunia & akhirat.. :D

    Daftar Syarikat merupakan Pendaftar Syarikat yang berdaftar dengan SSM.

    ReplyDelete