Monday, October 26, 2015

Keusahawanan Sosial Memperkasa Pembangunan Ummah



Baru-baru ini saya telah membentangkan satu cadangan kepada beberapa pihak tentang Keusahawanan Sosial (Social Entrepreneurs), sebagai kaedah strategik memperkasa pembangunan sosial masa kini. Saya percaya ia merupakan solusi terbaik dan kos efektif jangka panjang memerangi gejala sosial, jenayah jalanan dan komersil, gangsterisme, hedonisme termasuk penyalahgunaan dadah melalui kesedaran remaja dan masyarakat seluruhnya. Namun, saya mendapati ada yang masih kurang jelas tentang maksud Keusahawanan Sosial itu sendiri.


Keusahawanan sosial

Apa Itu Keusahawanan Sosial

Masih ada pihak menyangka Keusahawanan Sosial itu sama sahaja dengan maksud keusahawanan yang biasa kita dengar, sedangkan ia sebenarnya membawa intrepitasi yang lebih mendalam. Ia bukan sekadar usaha yang cenderung kepada pemantapan ekonomi tetapi juga merancang kepada kelestarian sosial agar kesejahteraan sosio-ekonomi negara dapat membangun secara harmoni dan sejahtera.

Seperti yang kita sedia maklum, usahawan merupakan individu yang kebiasaannya didefinasikan mempunyai perniagaan. Ada juga yang mendefinasikan sebagai ahli perniagaan yang berjaya, kaya dan berpesonaliti. Tanggapan sedemikian tidak boleh dinafikan kerana istilah usahawan itu sendiri seringkali dikaitkan dengan kerjaya perniagaan. Sifat materialistik juga antara faktor segelintir manusia terdorong menceburi bidang keusahawanan. Ada yang berjaya dan tidak kurang juga yang gagal.

Inspirasi melalui keusahawanan itu sendiri sebenarnya telah mencipta penjelmaan Keusahawanan Sosial yang mempunyai definasi lebih luas dari Aktivisme. Usahawan Sosial memerlukan idea, visi dan usaha melangkaui sekadar kekayaan material atau kewangan sebagai sumbangan kepada masyarakat. Saya percaya ia akan menjadi fundamental paling penting dalam konteks asas keusahawanan dan pembangunan ekonomi dalam beberapa tahun akan datang. 
Definasi keusahawanan sosial
Seorang usahawan sosial akan mencipta peluang yang diperolehi bukan sekadar meraih keuntungan tetapi merangka serta menyalurkan usaha memperbaiki sistem masyarakat. Usahawan Sosial mengutamakan misi dan kaedah penyelesaian kepada permasalahan sistem masyarakat sesuai dengan peredaran zaman. Mereka juga lebih terdorong mementingkan pencapaian impak misi sosial melalui usaha yang dirangka dari sekadar meraih kekayaan.


Misi Keusahawanan Sosial Memperkasa Sosio Ekonomi Negara

Memperkasa pembangunan sosial merupakan misi utama ‘social entrepreneurs’. Setiap perlaksanaan misi lebih mementingkan impak pembangunan sosial. Mereka akan senantiasa berusaha menyampaikan mesej dan idea secara beretika, mesra dan berkesan. Seorang usahawan sosal juga sentiasa berusaha menarik agen perubahan serta sokongan pelbagai pihak demi menangani isu-isu yang semakin membarah dalam masyarakat.

Secara jujur saya mendapati bahawa usaha pendekatan merealisasikan pembangunan sosial di Malaysia perlu pengkajian semula agar lebih inovatif, pragmatik dan bersesuaian dengan citra diri generasi muda dalam era IT dan globalisasi ini. Pendekatan yang selaras dengan trending terkini amat perlu diperhatikan agar ia sentiasa releven dan diserap secara effektif kepada golongan yang disasarkan.

Antidot kepada permasalahan sosial boleh diibaratkan sebagai antivirus. Masakan antivirus yang dicipta pada tahun 2001 mampu menangani virus ciptaan terkini tahun 2015. Oleh itu, penglibatan dari semua pihak sememangnya perlu dalam memahami maksud keusahawanan sosial dengan sokongan yang sewajarnya. Ia merupakan antidot paling berkesan mencegah gejala sosial untuk beberapa generasi akan datang.

Keusahawanan Sosial Melahirkan Masyarakat Minda Positif 

Kita boleh lihat pelbagai usaha yang diketengahkan demi menyelamatkan alam sekitar daripada kemusnahan. Melalui kesedaran, kita faham implikasi yang bakal dirasai generasi akan datang sekiranya alam sekitar musnah. Usaha seperti kitar semula dan sebagainya dilakukan pelbagai pihak bagi menjelaskan mesej memelihara alam sekitar. Begitu juga yang perlu dilakukan dalam memperkasa pembangunan sosial. Ada kalangan insan yang perlu dikitar semula dan dibimbing secara berterusan agar kelestarian sosial ini tidak musnah. Hakikatnya, apa yang bakal generasi hadapan kita alami pasti lebih teruk jika nilai-nilai sosial ini musnah sepertimana musnahnya ekologi semulajadi alam seluruhnya.


Siapa itu usahawan sosial

Berdasarkan kaji selidik, generasi muda kini cenderung kepada sifat keusahawanan dalam diri mereka. Sudah sampai waktu semua pihak perlu terlibat menggalakkan kelahiran usahawan sosial secara besar-besaran, membuang sifat kapitalisme dan memperkasa keusahawanan berteraskan Al-Quran dan sunnah secara kreatif dan konduktif dengan arus peredaran zaman.

Saya juga berkecimpung dalam program keusahawanan sosial yang mensasarkan kerjasama pihak. Maklumat lanjut di ruang
PROFIL kepada yang berminat.
Mudah-mudahan setiap rezeki keusahawanan yang diperolehi bersama usaha memperkasa pembangunan sosial ummah membawa erti kejayaan yang lebih bermakna untuk kehidupan di dunia dan akhirat… aamiin.

Thursday, October 22, 2015

MENEROKA USAHAWAN SOSIAL




NOR HARTINI SAAR I  |  25 Mei 2015 12:21 AM
RATA-RATA masyarakat memahami bahawa ukuran kejayaan usahawan adalah melalui keuntungannya dalam perniagaan. Keadaan ini berbeza dengan usahawan sosial di mana kejayaannya bukan setakat diukur melalui keuntungan malah turut diukur melalui manfaat yang dapat dikongsi bersama dengan masyarakat. 

Dengan kata lain memperkasa pembangunan sosio-ekonomi adalah misi utama usahawan sosial mengatasi keuntungan atau kekayaan. Inilah yang dikatakan model usahawan sosial yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat amnya.
Ini sejajar dengan tuntutan dan prinsip dalam Islam yang menegaskan amalan perniagaan yang baik bukan sahaja untuk memperoleh keberkatan Allah SWT namun kekayaan yang sebenar-benarnya adalah yang dapat memberi manfaat kepada individu dan masyarakat secara keseluruhannya. 

Dalam Islam, usahawan sosial ini juga amat berkait rapat dengan konsep muamalah kerana menjaga kepentingan ekonomi, alam sekitar, sosial, politik dan pendidikan. 

Secara tidak langsung ini dapat memberi suntikan dalam membantu menyediakan peluang untuk masyarakat menikmati kehidupan yang sihat; penggunaan barangan dan perkhidmatan yang berimbang; menyuburkan hubungan manusia yang berasaskan komuniti yang kukuh dan pe­nyayang; menegakkan prinsip pasaran yang berasaskan peraturan yang baik dan beretika serta menjaga kelestarian alam sekitarnya yang seimbang. 

Justeru, adalah wajar model usahawan sosial ini diteroka oleh golongan muda bagi mewujudkan lebih ramai usahawan muda yang kreatif untuk tampil meneroka bidang baharu ba­gi membantu masyarakat dan persekitaran.
Berbeza dengan usahawan dalam sistem kapitalis yang hanya mementingkan materialistik dan keuntu­ngan perniagaan sendiri ke­rana berasakan mempunyai kekuatan modal. Ini menggambarkan dalam sistem kapitalis yang kaya akan bertambah kaya manakala usahawan baharu sudah tentu ditindas. Jika ke­adaan ini berterusan, ini tidak mungkin dapat menjadikan ekonomi rakyat sejahtera.
Bahkan usahawan yang berkiblatkan kapitalis akan menjadikan kehidupan masyarakat lebih teruk. Kemiskinan semakin parah, kesihatan tidak bertambah baik, kelestarian alam sekitar terjejas dan wujudnya masyarakat yang makin tamak. Natijahnya, kekayaan dunia hanya dinikmati segelintir manusia yang tidak berhati perut dan pada masa sama mengejar pengiktirafan mereka usahawan terulung.

Sehubungan itu, sebagai usahawan sosial yang sudah berjaya mereka adalah digalakkan membantu ahli perniagaan yang baharu untuk memulakan perniagaan. Bantuan ini tidak semestinya dalam bentuk kewangan tetapi juga dalam memberi latihan kemahiran perniagaan, teknikal dan fungsi serta pemantauan agar usahawan baharu ini berjaya.

Dalam perkembangan semasa sebagai contoh, penubuhan Unit Keusahawanan Sosial di bawah Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) adalah satu tindakan yang baik yang dapat menyokong keusahawanan sosial. Ini adalah pusat setempat untuk usahawan sosial memberi inspirasi kepada generasi muda supaya menjadi masyarakat yang aktif, selain meluaskan capaian usahawan sosial sedia ada termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan dan kemahiran, bagi melahirkan usahawan muda dalam sektor itu. 

Begitu juga, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang rata-ratanya diterajui oleh orang Melayu Islam sewajarnya mencontohi konsep perniagaan sosial. Bantulah mereka yang lemah demi kebaikan umat Islam dan seterusnya kebaikan itu bakal dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhannya.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).