Friday, August 21, 2015

Perpecahan Pas, Perbincangan bersama Ahmad Lutfi Othman - Zin Mahmud

Friday, August 21, 2015

Pepecahan Pas, Perbincangan bersama Ahmad Lutfi Othman ~ Zin Mahmud


Diari. Semalam aku menziarahi Ahmad Lutfi Othman, bekas Ketua Pengarang Harakah bersama adikku Azhar. Beliau agak lemah tetapi masih bersemangat untuk bercerita. Beliau berasa mual kerana keadaan buah pinggangnya.

Aku faham apa yang dia lalui. Setelah bercerita mengenai kesihatan, kami berbual mengenai politik. Apa yang berlaku dalam PAS dan munculnya GHB bukanlah ada perancangan dari kedua dua pihak yang bertelagah. Ia berlaku dengan kebetulan di mana satu keadaan membawa keadaan yang lain.

Memang perpecahan ini menyukarkan kedua dua belah pihak kerana perpecahan ini masuk ke dalam. Kesemuanya kena berhati hati dan menjaga hati. Antara sahabat handai memanglah. Apatah lagi sanak saudara. Adik beradik pun begitu. Malah suami isteri. Juga anak dengan mertua. Bapa dengan menantu. Perpecahan ini memang mendalam dan menyakitkan.

Daripada kes kes yang diceritakan, aku dapat menyimpulkan bahawa perpecahan PAS ini adalah paling besar dalam sejarah politik negara. UMNO yang pernah berpecah pun tidak mengalami keadaan begini. Ada orang berpendapat bahawa perubahan haluan yang ditunjukkan oleh Ustaz Hadi Awang menyerlahkan bibit bibitnya sejak pilihan raya tahun 1998 lagi.

Sejak itu beliau telah mula mahu berbaik dengan UMNO, cuma keadaan tidak mengizinkan. Ada orang berpandangan bahawa perubahan haluannya kepada perpaduan UMNO-PAS adalah tindakannya untuk menebus kesilapannya memecahkan orang Islam dengan seruan kafir mengkafir dalam perjuangannya menentang sekularisme pada awal tahun 1980-an.

Tetapi bagi aku legasi Ustaz Hadi ialah memecahkan sebuah parti Islam dan gerakan Islam besar di negara ini. Selain daripada menjadi pemecah pakatan antara parti pelbagai kaum yang hampir merealisasikan amalan sistem dua parti. Di sebalik itu, aku juga rasa ada kompleks rendah diri atau inferior complex di kalangan para ulama yang mendapati diri mereka tidak dapat muncul sebagai golongan yang boleh menjadi pemimpin dalam dunia sekular ini.

Dalam UMNO, mereka hanya dapat berada sebagai pihak yang menjaga hal ehwal agama atau berada dalam kedudukan untuk mempertahankan pemimpin kanan mereka.

Dalam PAS pula mereka bergantung pada aktivis aktivis dari latar belakang profesional atau golongan bukan ulama. Malah apabila berlaku penyingkiran golongan yang dipanggil profesional inipun, ulama PAS daripada Harun Din di atas terpaksa mendapatkan UMNO sebagai pemimpin mereka.

Adakah sistem pendidikan Islam baik dari dalam negeri mahupun di luar negeri seperti di Mesir, Jordan dan Arab Saudi, dengan Syria dan Yaman habis terbakar tidak dapat melahirkan ulama yang boleh mampu muncul sebagai pemimpin negara, bukan saja memimpin umat Islam tetapi memimpin rakyat berbilang agama?

Maka pemimpin terpaksa diambil juga dari kalangan pendidikan konvensional seperti undang undang, kejuruteraan, sains sosial, perubatan dan sains alam. Justeru tidak hairanlah aktivis IRC/JIM/IKRAM yang banyak terdiri daripada kalangan profesional berasa lebih selesa untuk berada dalam GHB berbanding masa mereka dalam PAS. Harap harap semuanya baik kelak.

Zin Mahmud
20 Ogos 2015
 
hjlutfi-choras : Amat sukar untuk menyatakan pendirian meninggalkan Pas, kerana ia sebuah Jemaah Islam, namun dia hanya satu wadah dan wasilah sahaja, meninggalkan Pas tak bererti menolak Islam , juga tak bererti menolak hudud.   Ramai aktivis didalam Pas, namun jika aktivis tidak diterima, bagaimana aktivis hendak mneruskan aktiviti dalam Pas.

No comments:

Post a Comment