Thursday, March 25, 2010

Petikan Kitab Bimbingan Mu'minin

Assalamualaikum wbt

Untuk posting kali ini saya petik terus dari Kitab Bimbingan Mu’minin karangan Imam Ghazali terjemahan Syed Ahmad Semait untuk sama-sama kita ambil ilmunya. Kitab rumi m/s 575. bab “Kitab Mencela kekikiran dan Harta kekayaan” sub topik “ cara mengubati penyakit suka dipuji”.

Ketahuilah bahawasanya kebanyakan manusia binasa disebabkan terlampau takut kepada celaan orang ramai, dan bimbang kalau-kalau ia tidak mendapat pujian mereka. Sebab itulah, maka segala gerak geri dan kelakuan mereka bergantung atas apa yang boleh menyebabkan keredhaan orang ramai, supaya mendapat pujian dan terjauh daripada kecelaan. Ini semua termasuk perkara-perkara yang membinasakan diri, maka sepatutnya ia diubati dan disembuhkan dari penyakitnya. Cara mengubatinya ialah sama seperti diatas, iaitu mencari punca yang menyebabkan timbulnya penyakit itu, iaitu penyakit sukakan dirinya dipuji dan benci kalau dikeji.

Diantara sebab-sebabnya ialah merasakan diri telah sempurna disebabkan pujian yang diterimanya dari orang lain. Cara mengubatinya ialah dengan anda kembali kepada diri anda sendiri seraya bertanya kepada akal anda; Pujian yang diberikan oleh sifulan itu dan segala sifat tinggi yang dikatakannya itu, adakah benar anda memilikinya atau tidak ?.

Andaikata sememangnya semua sifat-sifat itu ada pada diri anda, maka kiranya ia yang berkaitan dengan harta kekayaan atau pangkat kedudukan, niscaya ia tidaklah wajar dipuji atau digembirakan sangat-sangat dengan pujian itu. Misalnya seperti orang yang bergembira dengan tumbuh-tumbuhan yang baru bertunas di atas muka bumi, bukankah tidak lama lagi ia akan kering dan hancur musnah dibawa dek angin. Kalau begitu gembira kerana sebab puji-pujian seperti itu tentulah timbulnya dari akal fikiran yang kurang sempurna.

Tetapi kiranya pujian itu berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan kewarakan, jika kita katakan ia patut diberi pujian, namun begitu tak wajarlah digembirakan sangat dengan pujian itu, sebab khatimahnya atau pengakhirannya masih belum tentu lagi. Jika pujian yang diberikan kepada anda itu, bukan menjadi sifat anda yang hakiki dan anda tidak pernah bersifat seperti itu, maka kegembiraan anda kerana pujian itu menunjukkan kemuncaknya ketidaksiuman diri anda.

Diantara sebab-sebab lain, ialah perasaan segan silu atau kedudukan yang menyebabkan si pemuji itu menhamburkan pujian itu. Ini semua kembali kepada adanya sesuatu sebab yang tertentu atau sesuatu peristiwa dan keadaan, yang mana sepatutnya orang yang dipuji itu tidak terpesona dengan puji-pujian seperti itu, kerana ia tidak kekal. Bahkan sewajarnyalah ia merasa sedih dan kecewa, malah ia harus membenci dan marah terhadap orang yang memujinya itu, sebagaimana yang dilakukan oleh para Salaf Saleh sebab bencana-bencana pujian yang mungkin menimpa keatas oarang yang dipuji itu sangat besar, seperti yang telah kita sebutkan dalam bab membicarakan bencana-bencana lisan.

Rasulullah saw pernah bersabda, mencela orang yang suka memuji-muji, sabdanya. ( )

Bermaksud “ Celaka engkau!, Engkau telah patahkan belakangnya (yakni orang yang dipuji itu) dengan pujianmu”.

Ulasan saya :


Imam Al Ghazali membincangkan perihal segolongan manusia yang melakukan sesuatu perbuatan hatta amal ibadat sekalipun bukan kerana Allah (tanpa disedari mahupun menyedari). Mereka melakukan sesuatu hanyalah kerana orang lain, mereka berpakaian untuk dilihat oleh orang lain, melakukan pekerjaan juga kerana orang lain. Hatta amal ibadat seperti sembahyang, puasa, menolong orang hanya kerana manusia, bukan 100 % kerana Allah meskipun niat permulaan ibadat hanya kerana Allah. Sudah jadi kebiasaan perbuatan manusia dilakukan kerana takutkan orang lain mengata kepada dirinya. Contohnya menemui batu menghalang perjalanan diatas jalan, lalu ia turun dari basikal, motosikal atau kereta / pick -up untuk membuang batu tersebut hanya kerana takut orang kata, “dah nampak batu atas jalan pun tak buang” perbuatan membuang batu tersebut adalah baik dalam agama Islam kerana membuang sesuatu yang boleh memudaratkan orang lain, namun yang terlintas dihatinya buat kerja tersebut hanya kerana takut orang berpandangan negatif terhadap dirinya . Yang merugikan diri sendiri, manusia sering terlupa meletakan keutamaan “kerana Allah” dalam melakukan sesuatu pekerjaan walaupun dalam kes membuang sesuatu yang menghalang jalan,

Kadang-kadang apabila kita melakukan sesuatu kebaikan, kita mengharapkan dipuji oleh orang lain dan kita dengan ujub seolah-olah orang lain tidak termampu untuk melakukan seperti apa yang kita lakukan.

“Mereka yang memuji, bukan kehendak saya”. Baguslah jika anda tidak minta dipuji dalam semua amal kebaikan yang anda lakukan, namun bagaimanakah caranya untuk mengatasi pujian mereka supaya kita tidak tergolong dalam orang yang dipatahkan tulang belakangnya seperti yang di Sabda oleh Rasulullah SAW.

Bagi diri saya, kadang saya termakan pujian, sehari dua baru tersedar dan baru hendak bertaubat. Terlalu sukar untuk tidak termakan puji, hanya orang yang berilmu sahaja dapat mengelak diri dari termakan puji kerana mereka tahu siapa diri mereka sebenarnya, segala kebaikan datang dari Allah manakala kelemahan adalah berpunca dari dalam diri sendiri.

Apabila orang memuji kita, ucaplah Alhamdulillah, kerana Allah lah yang mewujudkan beberapa kelebihan dalam diri kita sehingga orang memuji kita, kita tiada apa-apa tanpa keizinan Allah. Segeralah kita taubat dan memohon keampunan dari Allah swt.

Boleh atau tidak kita memuji orang ?. Bukankah secara psikologi memuji merupakan satu pengukuhan, satu ganjaran. Bukankah memuji akan menambah semangat orang yang dipuji. Harus diingat hadis Rasulullah tadi, jika hendak memuji, Pujilah dengan berhikmah, macam mana pula puji berhikmah. Saya sendiri belum ada pengalaman memuji secara berhikmah.

Cuba ayat ini,
“ Tahniah, awak telah mendapat rahmat Allah dengan kejayaan ini” – puji le tu.
“ Tahniah, Allah telah menganugerahkan otak yang baik dalam diri kamu, sebab itu kamu berjaya” – puji le tu.

Orang yang kena puji jawab balik

“Alhamdulillah, semuanya kehendak Allah”
Wallah hu Aqlam

No comments:

Post a Comment