Assalamuaikum wbt
Sementara saya masih ingat dan tidak lupa saya akan ceritakan serba sedikit bagaimana penglibatan saya dalam membuka sekolah Menengah Teknik Pendang, Saya bukanlah pembuat dasar terhadap wujudnya institusi tersebut, saya hanyalah pelaksana dasar dan sumbangan saya amatlah sedikit dan kecil sahaja, namun penglibatan saya telah memberi banyak pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan dan penglibatan ini juga memerlukan banyak pengorbanan.
Dalam banyak-banyak pegawai kenapa saya yang dipilih?
Mungkin ini hanya satu jawapan, jawapan yang sebenarnya Allah yang tahu, kerana dia adalah penentu takdir seseorang.
Ceritanya begini. Saya melapor diri di SMV Lahad Datu pada 9 Julai 1995. ( apa kaitannya?..) sebuah sekolah vokasional pertanian yang menawarkan kursus vokasional seperti Pengurusan Ladang ( subjek saya dan Cikgu Rahim Razak & Ariffin) , Kejenteraan Ladang (subjek Cikgu Jalil dan wak Fendi), Pengurusan Penternakan (subjek cikgu Hilman), Pengeluaran Tanaman (subjek cikgu Sobri), hortikultur dan Landskap ( subjek Cikgu Datu Kishra dan Shukri) dan Pengurusan Perniagaan (cikgu Razak).
Kami memang pakar dalam bidang masing-masing dan banyak kesan yang ditinggalkan disekolah tersebut. Pelajar pengurusan ladang belum habis SPM dah dapat tawaran kerja, selalunya saya tak galakkan pelajar mengisi kerja, saya harap mereka dapat sambung belajar lagi. ( nak beritahu hebatnya cikgu yang mengajar)
Saya beri komitmen yang penuh terhadap tugas di sekolah, masih muda, masih bersemangat, tiada kerja lain nak dibuat, anak belum ada, saudara mara duduk jauh antara faktor yang mendorong saya sentiasa ada disekolah.
Rajinnya cikgu !!! , nak ambil jawatan ni. Tahun 1995 kena jadi Penyelaras Kokurikulum sama taraf dengan Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah gred A. Cayalah cikgu .. cikgu boleh buat… nah ambil jawatan ni … kena jadi Ketua Bidang Kemanusiaan,,, Respeklah cikgu …. Pengurusan pandai, budak-budak pun suka.. nah ambil jawatan HEM.. Ehh..ehh tak sangka makin menjadi sekolah kita, pelajar makin ramai, guru makin bertambah… bab-bab kewangan cikgu pandai kan , cikgu jadilah PK1 senang cerita.
Mulalah saya jadi PK1 atau nama sebenarnya Penolong Kanan Pentadbiran mulai 1 Julai 2001 hingga 31 Dis 2002 di SM Teknik Lahad Datu. Semasa bertugas di SMT Lahad Datu kami menerima peruntukan bina loji air sendiri . Terima 2 blok bangunan sekolah, dua blok asrama dan satu blok rumah warden dan satu blok rumah guru. Banyaklah pengetahuan diperolehi semasa menguruskan semua tersebut dan kenallah dengan pegawai-pegawai kanan di JPT dari Ahamad Sipon sampailah ke En Zamri.
Saya memang kenal mereka, tak taulah mereka kenal saya atau tidak.
Hello , En Khalid saya nak minta tukar.
Saya dah dengar ura-ura SMT Pendang akan dibuka pada tahun 2001, dalam hati dah pasang niat, saya akan bertukar ke SMT Pendang suatu hari nanti, tapi rasa berat hati nak tinggalkan SMT Lahad Datu, projek padang golf cadang nak buat tahun 2002.
Semasa cuti bulan Disember 2001 saya datang tengok tapak SMT Pendang kira-kira 20 km dari kampong saya, ini peluang baik untuk pindah ke semenanjung, jangan lepaskan peluang ini, bila sekolah akan beroperasi, kata mereka tahun 2003. Maka isilah borang pindah pada tahun 2002. Sebelum pada itu semasa mesyuarat Penolong Kanan di Miri saya dah jumpa dengan En Khalid dan En Aziz Mastam minta tolong listkan nama saya di SMT Pendang, En Khalid kata Insya Allah.. Sebelum tu dah jumpa Tn Hj Selamat Amat Judi, sebelum tu dah jumpa Hj Ehsam Samin dan Hj Yem. Kira ok..le.
Tak kisah le dapat ke tak dapat. Bulan Dis 2002 saya dan keluarga balik bercuti, kami basuh rumah baru beli di Amanjaya. Dapat berita kata kami dapat surat bertukar ke SMT Sg Petani 2. Ait kata nak dapat Pendang, macam mana boleh tertukar ke SP2. Sebelum balik ke Lahad Datu saya dan isteri lapor diri dulu dengan Pengetua SMT SP 2 dan tulis surat minta tangguh 1 bulan, macam-macam nak diurus , kereta perlu diperiksa sebelum masuk kapal, dokumen serah tugas belum buat. Antara gembira dan tak gembira, 7 tahun di sana. Kawan-kawan baik tak ada yang dengki, bagi sokongan adalah, kerjasama kuat, kerja rajin, orang kampong hormat ( saya siap jadi Imam kampong lagi), akhirnya saya mengambil keputusan bertukar.
SMT Pendang macam mana ?
Buat-buat tak kisah, mengajar saja di Sungai Petani, 5 tahun lagi kita pindah ke SMT Pendang. SMT Pendang tak siap lagi pembukaan tahun 2003 ditangguhkan. Mengajarlah dengan riang di SMT SP2 dibawah seorang pengetua yang begitu tegas dan saya suka dengan ketegasannya. Sebelum ini pun sudah kenal dengan Hjh Hamidah, kenal masa mesyuarat Pengetua di Ipoh, serentak dengan KAT di SMT Ipoh. Saya wakil tanggung kerja Pengetua kerana pengetua Berkursus di Nova Scotia , Amerika. Kami pi beli baju batik kerana diarahkan memakai baju batik secara tergempar untuk majlis makan malam bersama menteri besar Perak, Nizar belum ada waktu itu. Bila bertugas dibawah pentadbiran Hjh Hamidah, saya bai’ah taat setia dan minta beliau tak memperkenalkan saya sebagai bekas Penolong Kanan. Beberapa pegawai di JPT beri cadangan supaya saya dilantik sebagai PK di SP2 kerana PK nya telah bertukar, Hjh Hamidah tidak setuju. Kerana saya masih muda. Baru 35 tahun, nanti timbul kontroversi.
Maka saya pun mula mengajar dengan riangnya, tak ada beban kerja pengurusan, subjek PJK saja, waktu PJK saya curi-curi ajar silat ( saya kata ada dalam sukatan- tak percaya sila rujuk sukatan PJK tingkatan 4 dan 5). Tak senang juga… nak ambil pengurus kelab dan persatuan cikgunya tiada,.. nah jadi pegawai verifikasi. Boleh saja, nah ajar Pemprosesan Maklumat, tak ada masalah.
Mengajarlah saya sampai bulan Julai 2003 tiba – tiba pada suatu hari dalam bulan Julai.
Mana satu Pengetua SMT Pendang?
Sedang berbual dalam bilik guru, tiba – tiba ada orang datang cari Pengetua SMT Pendang. Mana satu cikgu Lutfi , berubah air muka saya sebab dia Tanya mana satu cikgu Lutfi Pengetua SMT Pendang. Bila pula cikgu Lutfi ni jadi Pengetua Teknik Pendang.
Soal pi soal mai.. dia adalah seorang kontraktor yang mahu menjual barang niaganya. Mana tau saya jadi pengetua teknik pendang? Adalah orang bagi tahu. Orang mana ? Mana boleh bagi tau. Nampaknya kontraktor dah tau siapa pengetua teknik pendang. Saya respek kepadanya kerana dia dapat maklumat terlalu awal, nak bisnes memang kena macam itu, peluang mesti dicari.
Saya sedar diri saya, takkan JPT nak lantik saya jadi Pengetua, kerana dalam SSM bukan boleh lantik macam tu saja, ada syarat-syaratnya dan saya belum pun melepasi syarat-syarat tersebut, syarat umurpun belum lulus.
Selang tak berapa hari kerani bagi surat kepada saya bertarikh 2 Julai 2003 Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian 4 buah sekolah menengah teknik baru pada 9 hingga 11 Julai 2003, bertempat di bilik katalis, Jabatan Pendidikan Teknikal. Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. Maklumat bocor lebih awal, saya tidak salahkan kontraktor kerana mereka terpaksa bersaing, saya tak salahkan pegawai atau sesiapa yang membocor maklumat kerana ia bukan maklumat terperingkat. Saya pun tau takkan depa tak semena-mena nak lantik saya jadi pengetua. Kalau masih SSB saya ada potensi besar (mungkin).
Maka bermulalah gurauan kawan-kawan memanggil saya Tn Pengetua SMT Pendang, saya faham itu hanya gurauan sahaja. Insya Allah kalau ada rezeki.
bersambung... terima kasih
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment