Friday, February 13, 2015

Hilangnya Sebutir Mutiara - Pemimpin Islam ke 42 paling berpengaruh


 

[Gambar] Suasana Solat Subuh Di Pekarangan Rumah Almarhum Tok Guru Nik Aziz



Gambar Oleh Omak Kau!!!

Selepas Anwar Dipenjara, Pakatan Kehilangan Seorang Lagi Penyatu



Pakatan Rakyat (PR) hilang seorang lagi tokoh yang boleh menyatukan mereka selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghembuskan nafasnya yang terakhir pada umur 84 tahun malam ini.

Nik Aziz merupakan tokong penting yang menjadi penyatu antara PAS dengan PKR dan DAP selain Anwar.

Beliau menolak sebarang usaha untuk memecahkan PR apabila dikatakan ada usaha untuk merapatkan PAS dengan Umno oleh segelintir pemimpin PAS.

Anwar sentiasa akan ke Kota Baru untuk bertemu Nik Aziz ketika mahu membuat sebarang keputusan penting.

Mac tahun lalu Anwar bertemu Nik Aziz dan bersolat subuh bersamanya ketika mahu menghadapi perbicaraan di Mahkamah Persekutuan dan berkesudahan denga dijatuhkan hukuman lima tahun penjara Selasa lepas.

Pemergian Nik Aziz sama tarikh dengan tokoh besar Ikhwanul Muslimin Mesir Hassan Al Banna 66 tahun lalu yang turut meninggal pada 12 Februari 1949.

Jenazah Nik Aziz akan disolatkan jam 10 pagi esok di Masjid Pulau Melaka yang terletak bersebelahan dengan rumahnya di Kota Baru, Kelantan.

Ketika artikel ini ditulis, para pemimpin PAS dan penyokongnya berduyun-duyun ke Pulau Melaka bagi memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin kerohanian yang terbilang ini.

Kesihatan Nik Aziz dikatakan jatuh mendadak selepas diberitahu Anwar dijatuhkan hukuman penjara Selasa lepas.

Nik Aziz dibawa pulang ke rumahnya petang tadi dari Hospital Universiti Sains Malaysia selepas dibuang alat bantuan pernafasannya petang tadi.

Beliau menghembuskan nafas terakhir selepas kira-kira sejam sampai ke rumahnya.

"Rakyat Malaysia kehilangan seorang pemimpin dan 'guidance' kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam satu kenyataan segeranya selepas kematian Nik Aziz.

Bagi Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu, Nik Aziz merupakan pemimpin yang mencipta fenomena baru dengan teladan sebagai pemimpin kerajaan, bukan untuk mencari kekayaan peribadi, pangkat mahupun nama tetapi menjadi “guidance” untuk rakyat Kelantan dan semua rakyat Malaysia secara amnya.

- The Malaysian Insider


Nik Aziz selamatkan Pakatan, halang kerajaan‎ perpaduan di Selangor pada 2008

Mengingati Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Liew Chin Tong, mengenang Mursyidul Am PAS itu kerana berjaya menyelamatkan Pakatan Rakyat (PR) apabila berjaya menghalang cubaan membentuk kerajaan perpaduan Umno-PAS di Selangor selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu berkata, kini juga tiba masanya untuk parti pembangkang itu kembali sehaluan.

"Nik Aziz merupakan lelaki yang bijak. Jelas dalam tindakannya. Beliau menyelamatkan Pakatan pada 2008 selepas terdapat cubaan membentuk kerajaan perpaduan di Selangor.

"Ini minggu yang amat menyedihkan untuk Pakatan dan ada keperluan untuk bertindak sehaluan," katanya, ketika ditemui The Malaysian Insider selepas forum anjuran Malaysiakini di Petaling Jaya lewat malam tadi.

PAS dan Kelantan kehilangan pemimpin mereka yang paling berpengaruh, apabila Nik Aziz menghembuskan nafasnya yang terakhir pada umur 84 pada jam 9.45 malam tadi di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas sekian lama mengidap barah prostat.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang berada di rumahnya mengesahkan perkara ini kepada The Malaysian Insider.

Berada di sampingnya ialah isteri serta anaknya serta pemimpin PAS yang datang ke rumahnya di selepas mengetahui beliau sakit tenat sejak beberapa hari lalu.

Salah seorang daripada panel forum itu, Naib Presiden PKR Chua Tian Chang turut berkata, ciri-ciri tulen ajaran Islam yang menghormati semua agama jelas terpancar daripada pentadbiran beliau.

"Beliau adalah seorang lelaki yang lemah lembut. Inspirasi untuk ahli politik muda. Beliau mentadbir berdasarkan teladan.

"Prinsipnya adalah nilai sebenar Islam dan menghormati semua agama. Nik Aziz sentiasa melihat gambaran yang lebih besar apabila berbincang tentang isu melibatkan kepentingan awam.

Kita akan merindui kebaikan beliau, dan sifat lucu beliau," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Nasional PAS Datuk Mujahid Yusof Rawa yang turut hadir sebagai panel forum berkenaan berkata, berita mengenai kematian Nik Aziz itu amat mengejutkan, dan beliau turut sedih dengan pemergian tokoh berkenaan.

"Saya rasa amat sedih, terkejut mendengar berita tentang pemergian Nik Aziz. Beliau sakit hampir dua bulan lebih di hospital, keadaan beliau semakin buruk setiap hari.

"Pemergian dia walaupun kita agak terkejut, kebetulan sehari selepas Anwar dipenjarakan, itu menambahkan lagi kesedihan kita hari ini," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi, kematian Nik Aziz adalah bulan yang menyedihkan untuk PR, lebih-lebih lagi beliau menghembuskan nafas terakhir dua hari selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan selama lima tahun.

"Saya yakin peninggalan beliau akan beri semangat untuk kita teruskan dan perjuangkan.

"Saya akan ke Kota Baru malam ini, untuk memberi penghormatan terakhir, ini adalah hari menyedihkan untuk rakyat Malaysia, bukan sahaja PAS, beliau ada kejayaan sendiri di Kelantan, berjuang menentang ketidakadilan," katanya.

"Secara keseluruhannya, ini adalah bulan menyedihkan buat PR. Anwar dan Nik Aziz adalah pemimpin besar. Nik Aziz pemimpin instrumental buat PR."

Penaung NGO Negara-Ku Datuk Ambiga Sreenevasan turut melahirkan simpatinya, dan menyifatkan Nik Aziz seorang lelaki yang berperketi mulia.

"Nik Aziz lelaki yang baik, cintakan kedamaian, beliau bercakap dengan penuh bersemangat dan berani.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga beliau, walaupun kami hanya sekadar bertemu, tetapi tidak pernah berbual panjang," katanya.

- The Malaysian Insider

Perginya Pemimpin Islam Ke 42 Paling Berpengaruh Di Dunia, Al-Fatihah......



The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh Muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai katagori muslim radikal.

Nama tokoh Islam dari Malaysia yang tersenarai ialah Mursyidul Am PAS, TG Nik Abd Aziz Nik Mat yang menduduki tangga ke 42 dari keseluruhan 500 Muslim Yang Berpengaruh.

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.

Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Dato Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.

Dua orang pemimpin SIS yang kerap menimbulkan kontroversi dan pendokong Islam liberal di kalangan feminis, Sharifah Aljeffri dan Zaynah Anwar juga disenaraikan.

Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.


Al-Fatihah...perginya pemimpin ulung

SEBUT sahaja nama “Tok Guru” sudah pasti auranya sangat kuat khasnya terhadap rakyat Kelantan dan juga seluruh masyarakat dunia yang sentiasa dinanti-nantikan apa jua khabar mengenai beliau.

Tok Guru atau nama sebenarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan pada hari Sabtu iaitu 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Sebelum menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau seorang guru agama yang aktif dan pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi.

Jadi tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran ‘Tuan Guru’ atau ‘ Tok Guru’ yang melekat sehingga sekarang termasuk kanak-kanak sekalipun mengenalinya.

Mengenai pendidikannya, Nik Aziz mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka.

Bapanya, merupakan keturunan Raja Jembal, lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama dan terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Nusantara.

Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Aminah Majid.

Pada masa itu juga, Nik Aziz berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Datuk Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) mengenai ilmu Fekah.

Nik Aziz sewaktu berusia 9 tahun pula, dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu.

Beliau menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Nik Aziz masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih berusia darinya.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952.

Kemudian beliau juga menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan pelbagai lagi.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah.

Kemudiannya, pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir sebelum menyambung pelajaran pada tahun 1958 di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan Pengajian Hahasa Arab.

Selepas itu, beliau terus menimba ilmu menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama dua tahun.

Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanah air Februari
1962.

Pada usia 34 tahun (1962), beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu.

Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Pada tahun 1962 juga beliau membuka sekolah yang diberi nama sebagai Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka dengan menggunakan tanah wakaf diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom.

Beliau juga pada sebelah petang dan sebelah pagi berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin.

Manakala pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama dua tahun sebelum meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu pada 1 Januari 1964.

Menyentuh mengenai dunia politiknya pula, Nik Aziz mula menjadi ahli Pas sejak tahun 1967 dan pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon parti itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa).

Selanjutnya, pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Adun Semut Api.

Kemudiannya, pada tahun 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama Pas Pusat sehingga tahun 1995 kemudian dilantik sebagai Mursyidul Am Pas mengambil alih amanah ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990 dan di sinilah bermulanya era kepimpinan ulama.

Tok Guru seorang pemimpin yang sangat petah bercakap kerana setiap yang dituturkannya mahupun perumpamaan yang digunakan dalam ceramah mahupun kuliahnya mudah untuk difahami.

Dialek Kelantannya yang pekat dan juga bait-bait ayat digunakan dalam setiap tutur bicaranya dapat memikat hati para pengikutnya dan ia mudah melekat dalam sanubari apatah lagi ketika sesi kuliah mingguan pada hari Jumaat di adakan di Dewan Zulkifli Muhammad
Bangunan Pas.

Perkongsian minda beliau bukan sekadar dimanfaatkan oleh penyokong tempatan bahkan bahan kesetnya (rekod ceramah ketika itu) tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand sehinggakan menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Tidak terhenti di situ sahaja, biarpun sudah tidak menjadi menteri besar lagi selepas melepaskan jawatannya selepas PRU13 dan dalam keadaan kesihatan agak tidak berapa elok beliau masih lagi meneruskan ceramah biarpun tidak secara tetap.

Di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan Tok Guru.

Ketika era pentadbirannya juga Nik Aziz adalah seorang yang hebat kerama kehebatan yang dikurniakan ALLAH SWT kepada Mursyidul Am Pas itu tidak dapat dinafikan apabila pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) dan menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.

Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Pada 2009, beliau antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims”.

No comments:

Post a Comment